Pergi ke kandungan

Daerah Asajaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Asajaya
Lokasi Asajaya
Asajaya yang terletak di Malaysia Timur
Asajaya
Asajaya
Koordinat: 1°32′32″N 110°36′46″E / 1.5422°N 110.6127°E / 1.5422; 110.6127Koordinat: 1°32′32″N 110°36′46″E / 1.5422°N 110.6127°E / 1.5422; 110.6127
Negara Malaysia
Negeri Sarawak
BahagianSamarahan
Keluasan
 • Jumlah302.81 km2 (116.92 batu persegi)
Aras
12 m (39 ft)
Penduduk
 (2020)
 • Jumlah33,606
 • Kepadatan110/km2 (290/batu persegi)
Poskod
94xxx

Asajaya ialah sebuah daerah dan pekan yang terletak di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan, negeri Sarawak, Malaysia. Jumlah penduduk di daerah ini ialah 33,606 orang pada tahun 2020, dengan kebanyakannya berbangsa Melayu, Iban dan Cina.

Asajaya yang dahulunya dikenali dengan nama Nonok merupakan sebuah daerah kecil yang diwujudkan pada 1 Oktober 1970. Nonok pada mulanya berada dibawah pentadbiran Daerah Kuching dari tahun 1970 sebelum diambil alih oleh Daerah Samarahan pada tahun 1983 setelah Samarahan diiktiraf sebagai sebuah daerah penuh. Nama Nonok kemudiannya ditukarkan kepada Asajaya pada tahun 1988. Pada 31 Disember 1999, Asajaya telah diwartakan sebagai sebuah daerah penuh.[1]

Pentadbiran

[sunting | sunting sumber]

Daerah Asajaya terletak di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Kota Samarahan. Terdapat satu daerah kecil yang terletak di bawah pentadbiran daerah ini iaitu Sadong Jaya.

Terdapat 54 buah kampung yang terletak di daerah ini, dengan setiap kampung diketuai seorang ketua kaum yang telah dilantik.[2]

Daerah Asajaya terletak di bawah kawasan negeri Asajaya (N15) dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan (P197) dan kawasan negeri Sadong Jaya (N24) di bawah kawasan Parlimen Batang Sadong (P200).

Daerah Asajaya terletak di hujung barat daya negeri Sarawak dan berkeluasan kira-kira 303 kilometer persegi. Daerah ini bersempadan dengan daerah Kuching di barat, daerah Samarahan di selatan, daerah Simunjan di timur dan Laut Cina Selatan di utara,

Kebanyakan kawasannya merupakan dataran tanah pamah yang terdiri dari hutan paya bakau. Daerah ini juga diapit dengan dua aliran sungai iaitu Batang Samarahan di barat dan Batang Sadong di timur.

Demografi

[sunting | sunting sumber]
Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
200028,513—    
201031,874+11.8%
202033,606+5.4%
Sumber: [3]
Kumpulan etnik warganegara (2020)
Etnik Peratusan
Melayu
  
86.4%
Bumiputera lain
  
8.9%
Cina
  
4.6%
Lain-lain
  
0.03%
India
  
0.02%
Agama di Asajaya - Banci 2020
Agama Peratusan
Islam
  
88.3%
Kristian
  
8.0%
Buddha
  
3.6%
Lain-lain
  
0.1%
Hindu
  
0.01%
Tiada agama
  
0.01%

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Asajaya ialah seramai 33,606 orang dengan kepadatan penduduk 110 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 8,065 isi rumah dengan 7,577 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Asajaya berbangsa Melayu, seramai 28,797 orang. Penduduk bumiputera selain Melayu pula membentuk kelompok kedua terbesar, dengan majoritinya berbangsa Iban. Penduduk bukan warganegara hanya terdiri daripada 287 orang.[4][5]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[4]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 28,797
Bumiputera lain 2,973
Cina 1,533
India 5
Lain-lain 11
Bukan warganegara - 287
Jumlah 33,606

Di daerah Asajaya, agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 88 peratus diikuti agama Kristian sebanyak lapan peratus dan agama Buddha sebanyak lebih tiga peratus. Agama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[5]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]
SK Sambir, Asajaya

Kesemua sekolah kerajaan di daerah Asajaya terletak di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan. Antara sekolah rendah yang terletak di daerag ini termasuklah SK Tanjong Apong, SK Sambir, SK Sebandi Matang, SK Sebandi Ulu, SK Moyan Laut, SK Rebak, SK Serpan, SK Asajaya Laut, SK Asajaya Ulu, SK Sampun, SK Haji Kelali Semera, SK Jemukan, SK Jaie, SK Iboi, SK Haji Bujang Rangawan Putin, SK Sungai Bulu dan SJKC Chung Hua Asajaya. Daerah ini juga mempunyai empat sekolah menengah iaitu SMK Asajaya, SMK Sadong Hilir, SMK Sadong Jaya dan SMK Hajjah Laila Taib.

Kegiatan Ekonomi

[sunting | sunting sumber]

Pertanian

[sunting | sunting sumber]

Sektor pertanian merupakan sektor ekonomi utama dan merupakan aktiviti penting penduduk di Asajaya. Daerah ini juga dikenali sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Oleh itu, sektor ini memberi sumbangan sebagai pembekal bahan mentah kepada kepada keperluan harian, pasaran dan kegiatan ekonomi hiliran sama ada untuk pasaran luar atau tempatan.

Dengan adanya projek Pengairan dan Saliran di Asajaya, ia telah memberi manfaat kepada semua petani yang mengusahakan kelapa, koko dan limau. Kawasan tersebut adalah di antara kawasan yang paling subur di Sarawak dan telah dibangunkan secara intensif.

Dalam tahun 1997-1998, FELCRA telah menanam hampir 1000 hektar kelapa sawit di Blok 4 Asajaya Selatan dan dengan ini meningkatkan penggunaan tanah kepada 81% daripada keseluruhan projek. Segala usaha yang dijalankan telah berjaya mengatasi masalah keperluan tanah untuk pertanian dan sekaligus mengubah cara hidup penduduk-penduduk serta meningkatkan hasil pertanian.

Pengeluaran Pertanian

[sunting | sunting sumber]

Permintaan terhadap buah kelapa semakin meningkat. Ini berikutan daripada perkembangan sektor perindustrian berintensifkan buah kelapa sebagai bahan utama produk.

Hasil-hasil kelapa menunjukkan peningkatan berikutan permintaaan di pasaran tempatan meningkat. Malah permintaan terhadap buah tersebut melebihi penawaran sedia ada dan kebanyakan kebun-kebun kelapa telah dimusnahkan untuk tujuan penternakan udang harimau.

Keadaan ini telah menyebabkan harga kelapa di Asajaya meningkat dan banyak pemprosesan hiliran dibina oleh penduduk setempat sebelum dihantar kekilang yang berdekatan. Manakala banyak pokok-pokok koko telah dimusnahkan kerana serangan penyakit dan harga yang terlalu murah di pasaran.

  1. ^ "Sejarah Daerah Asajaya". Dicapai pada 2024-10-09.
  2. ^ "Profil Daerah Asajaya". 7 Julai 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Julai 2021. Dicapai pada 9 Oktober 2024.
  3. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  4. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  5. ^ a b "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]