Pergi ke kandungan

Laut Merah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Laut Merah
Laut Kulzum
Koordinat22°N 38°E / 22°N 38°E / 22; 38Koordinat: 22°N 38°E / 22°N 38°E / 22; 38
Nama asliبحر الأحمر
Panjang maksimum2,250 km (1,400 bt)
Lebar maksimum355 km (221 bt)
Luas permukaan438,000 km2 (169,000 bt2)
Kedalaman purata490 m (1,610 ka)
Kedalaman maksimum2,211 m (7,254 ka)
Isi padu air233,000 km3 (56,000 bt3)

Laut Merah (Jawi: لاوت ميره) atau Laut Kulzum (Jawi: لاوت قلزم‎ dalam sastera lama[1][2], Bahasa Arab: بحر القُلْزُمBaḥr al-Qulzum) ialah sebuah teluk di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia. Ia hampir bercantum di Teluk Aden dengan Bab el Mandeb. Yang berada di utaranya ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez. Laut Merah bertemu dengan Mesir, Sudan dan Eritrea di sebelah barat, manakala di sebelah timurnya ialah Arab Saudi dan Yaman. Laut Merah dikategorikan sebagai sebuah kawasan ekologi dalam senarai Global 200 oleh Tabung Alam Sedunia.

Laut Merah bertempat di Lembah Rengkahan Besar. Luasnya sekitar 438,000 km2.[3][4] Panjangnya 2250 km dan lebarnya 355 km. Kedalaman laut mencapai 3,040 m di Jurang Suakin di bahagian tengah.[5] Purata dalam laut ini ialah 490m.

Video tenggara Laut Mediterranean dan persisiran Laut Merah ini dirakam oleh pasukan Expedition 29 di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Terdapat pelbagai hidupan laut di dalamnya. Antaranya 1000 jenis invertebrata, 200 batu karang lembut dan keras. Airnya masin bertaraf keasinan antara 3.6 hingga 3.8%.

Asal nama

[sunting | sunting sumber]

Nama Laut Merah berasal daripada terjemahan bahasa Greek Ερυθρά Θάλασσα Erythra Thalassa, bahasa Latin: Mare Rubrum (atau Sinus Arabicus, "Teluk Arab"), bahasa Arab: بحر الأحمرBaḥr Al-Aḥmar atau بحر القُلْزُمBaḥr Al-Qulzum "Laut Kulzum [bandar berdekatan Suwais]",[6] bahasa Inggeris: Red Sea), bahasa Somali: Badda Cas dan bahasa Tigrinya: Qeyyiḥ bāḥrī (ቀይሕ ባሕሪ). Nama Laut Merah tidak merujuk kepada warna lautnya, sebaliknya ia merujuk kepada sejenis bakteria bernama Trichodesmium erythraeum yang membuatkan laut tersebut merah mengikut musim.[7] Mungkin juga namanya berasal daripada warna kayu Harei Edom yang berwarna merah.

Tihama di Laut Merah berdekatan Khaukha, Yaman

Nama laut ini dalam bahasa Ibrani Yam Suph (bahasa Ibrani: ים סוף‎, 'Laut Mensiang') berasal daripada kitab Taurat. Namanya dalam bahasa Qibti: ⲫⲓⲟⲙ `ⲛϩⲁϩPhiom Enhah ("Laut Hah") berkait dengan bahasa Mesir lama ḥḥ yang merujuk kepada air dan laut (misalnya nama dewa Ogdoad, Heh dan Hauhet).[8]

Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa menjelaskan batas Laut Merah seperti berikut:[9]

Di Utara. Batas Selatan Teluk Suez [Serentas garisan dari Ràs Muhammed (27°43'N) ke titik Selatan Pulau Shadwan (34°02'E) dan dari sana ke hala Barat selari (27°27'N) ke persisiran Afrika] dan Aqabah [Serentas garisan dari Ràs al Fasma hala Barat Daya ke Pulau Requin (27°57′N 34°36′E) menerusi Pulau Tiran ke titik Barat Daya sana dan dari situ hala Barat pada selari (27°54'N) ke persisiran Semenanjung Sinai].
Pada Selatan. Serentas garisan berhubung dengan Husn Murad (12°40′N 43°30′E) dan Ras Siyyan (12°29′N 43°20′E).

Zaman Kuno

[sunting | sunting sumber]
Kembara Mesir Purba ke negeri Punt di persisiran Laut Merah semasa pemerintahan Ratu Hatshepsut.
Penempatan dan pusat dagangan di kawasan Laut Merah terlibat dengan dagangan rempah, seperti dinyatakan dalam Periplus dari Laut Erythraea

Penduduk Mesir yang terletak di pinggir Laut Mesir merupakan orang pertama cuba meneroka Laut Merah, semasa mereka hendak mengasaskan jalan perdagangan ke negeri Punt. Contohnya satu kembaraan pada 2500 SM, dan satu lagi pada 1500 SM (oleh Hatshepsut). Kedua-dua kembara ini melibatkan perjalanan hulu ke hilir Laut Merah.[10] Dahulu, ahli sejarahwan berdebat akan dapatkah perjalanan sebegini dilakukan.[11] Dalam Kitab Keluaran, Bani Israel melintasi sebuah bentangan lautan, dalam bahasa Ibrani ia digelar Yam Suph (Hebrew: יַם סוּף). Yam Suph pada asalnya dianggap sebagai Laut Merah. Rabbi Saadia Gaon (882‒942), dalam terjemahan Ibrani-Arab Taurat, menggelari tempat melintas Laut Merah sebagai Baḥar al-Qulzum, bermaksud Teluk Suez.[12]

Telah dicatatkan dalam Al-Quran akan kisah Nabi Musa mengetuai Bani Israel untuk melarikan diri daripada dikejar Firaun dan bala tenteranya. Dengan takdir Allah, Laut Merah tiba-tiba terbelah dua dan Nabi Musa dan Bani Israel dapat menyelamatkan diri dengan mudah.[13][14]

Pada abad ke-6 SM, Darius I dari Parsi utuskan peninjau ke Laut Merah, bertujuan untuk memperbaikan dan memperluaskan penerokaan dengan mencatat arus dan batu-batu yang berbahaya. Sebuah terusan dibina antara sungai Nil dan hujung utara Laut Merah di Suez.

Pada abad ke-4 SM, Alexander Agung utuskan pengembara laut Yunani ke selatan Laut Merah ke Lautan Hindi. Pengembara Yunani teruskan penerokaan dan pengumpulan maklumat berkenaan Laut Merah. Agatharchus mengumpul maklumat laut tersebut pada abad ke-2 SM. Periplus dari Laut Erythraea ("Periplus dari Laut Merah"), sebuah catatan pelayaran Yunani yang ditulis sekitar abad pertama SM tanpa nama penulis, mengandungi catatan teliti berkenaan pelabuhan dan jalan perdagangan di Laut Merah.[15] Seorang pelaut Yunani bernama Hippalus juga dicatatkan telah belayar di Laut Eritrea dan berdagang dengan orang India.

Laut Merah digemari oleh puak Rumawi untuk berdagang ke India bermula pada zaman maharaja Augustus, semasa Empayar Rom berkuasa di Laut Mediterranean, Mesir, dan utara Laut Merah. Haluan dagangan ini telahpun digunakan oleh negeri-negeri yang ada tetapi makin ramai menggunakan ia dibawah kawalan orang Rom. Barangan dari China dibawa ke India dan disebarkan ke dunia Rom. Rom dan China berhubung dengan Laut Merah, tetapi haluan dagangan tersebut diputuskan oleh Empayar Aksum pada abad ke-3 TM.[16]

Zaman Pertengahan dan Zaman Moden

[sunting | sunting sumber]

Pada abad ke-15, barulah orang Eropah menunjukkan minat terhadap rempah ratus dan berdagang dengan orang Asia, dimulakan oleh negari Portugis, Belanda, Sepanyol, British dan lain-lain. Pada 1513, Afonso de Albuquerque mengepung Aden untuk cuba merampas kawalan haluan tersebut demi Portugal[17] tetapi akhirnya terpaksa berundur. Mereka berlayar ke Laut Merah di Bab al-Mandab, sebagai kapal Eropah pertama yang berlayar ke perairan tersebut.

Pada 1798, Jeneral Napoleon Bonaparte dari Perancis telah menjajah Mesir dan menakluk Laut Merah. Walaupun misi Napoleon Bonaparte gagal, seorang jurutera bernama Jean-Baptiste Lepère berjaya membina terusan. Terusan Suez pernah dicadangkan dibina semasa zaman Firaun di Mesir lagi. Beberapa terusan pernah dibina zaman dahulu dari sungai Nil ke Laut Merah berdekatan Terusan Ismailiyah, namun tidak pernah kekal. Terusan Suez dibuka pada November 1869. Pada masa itu, orang-orang British, Perancis, dan Itali berkongsi pusat perdagangan tetapi lambat laun dibubarkan selepas Perang Dunia Pertama. Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Amerika Syarikat dan Soviet perkukuhkan pengaruh mereka manakala jumlah aliran kapal tangki minyak meningkat. Akhirnya, Perang Enam Hari berakhir dengan penutupan Terusan Suez dari 1967 ke 1975. Kini, Terusan Suez tidak lagi capai kegemilangannya menentang Tanjung Harapan yang dianggap lebih selamat tanpa lanun, walaupun dengan rondaan angkatan laut di perairan Laut Merah.

Ekosistem

[sunting | sunting sumber]
Penyu karah di Terumbu Elphinstone
Pita telur nudibrank di Shaab Mahmoud

Laut Merah mempunyai ekosistem yang indah dan penuh kehidupan. Dengan lebih daripada 1200 ikan[18] telah dicatatkan wujud di Laut Merah, dan lebih kurang 10% daripadanya hanya wujud di sini.[19] Ini juga merangkumi 42 spesies ikan laut dalam.[18]

Kepelbagaian ini disebabkan oleh 2,000 km (1,240 mi) terumbu karang yang wujud di pesisiran pantai; terumbu pinggir ini berumur kira-kira 5000-7000 tahun dan terbentuk daripada batu karang akropora dan porit. Terumbu ini membentuk sebuah pelantar dan lagun di sepanjang pantai, dan kadangkala membentuk lubang selam (seperti Lubang Biru Laut Merah di Dahab). Terumbu-terumbu persisir ini juga dikunjungi oleh spesies ikan laut dalam di Laut Merah, termasuk 44 spesies jerung.

Ia mengandungi 175 spesies nudibrank, dan kebanyakan bilangan ini hanya wujud di Laut Merah.[20]

Laut Merah juga mengandungi banyak terumbu di tengah laut termasuklah beberapa atol. Banyak pembentukan terumbu tengah laut berbeza daripada terumbu karang biasa, dan ini disebabkan tahap aktiviti tektonik yang tinggi di kawasan ini.

Kerajaan Mesir sedar akan keanekaragaman haiwan dan keindahan di kawasan ini, dan menubuhkan Taman Negara Ras Mohammed pada tahun 1983. Undang-undang dan peraturan yang bertujuan untuk menjaga dan melindungi kehidupan laut, dan telah menarik minat untuk penyelam.

Penyelam dan pesnorkel perlu sedar bahawa walaupun kebanyakan spesies Laut Merah tidak mendatangkan bahaya, segelintir adalah berbahaya bagi manusia: lihat spesies Laut Merah yang berbahaya bagi manusia.

Habitat-habitat lain termasuklah rumput laut, kematu garam, paya bakau dan rawang garam.

Negara dikeliling Laut Merah

[sunting | sunting sumber]

Laut Merah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian: tengah-tengah Laut Merah, dan di utara, Teluk Aqabah dan Teluk Suez. Ada enam negara yang bersempadan dengan tengah-tengah Laut Merah iaitu:

Teluk Suez berada dalam sempadan Mesir. Teluk Aqabah bersempadankan Mesir, Israel, Jordan dan Arab Saudi.

Beberapa negara lain seperti Somalia juga kadangkala digelar sebahagian daripada kawasan Laut Merah. Ini disebabkan oleh kedekatan dan kesamaan bentuk bumi dengan negara-negara yang menghadap Laut Merah, mahupun kerana mempunyai hubungan politik dengan kawasan tersebut.[21][22]

Bandar-bandar

[sunting | sunting sumber]

Bandar-bandar yang bertempat di persisiran Laut Merah (termasuklah di Teluk Aqabah dan Suez):

  • Al-Hudaydah (الحديدة), Yaman
  • Al-Lith (الليِّث), Saudi
  • Al-Qunfuzah (القنفذة), Saudi
  • Al-Qusair (القصير), Mesir
  • Al-Wajah (الوجه), Saudi
  • Aqabah (العقبة), Jordan
  • Asseb (ዓሳብ), Eritrea
  • Dahab (دهب), Mesir
  • Duba (ضباء), Saudi
  • Eilat (אילת ، ايلات), Israel
  • El-Gouna (الجونة), Mesir
  • El-Suweis (السويس), Mesir
  • Hala'ib (حلايب) (dipertikaikan), Mesir/Sudan
  • Haqal (حقل), Saudi
  • Hirgigo (ሕርጊጎ), Eritrea
  • Hurghada (الغردقة), Mesir
  • Jeddah (جدة), Saudi
  • Jazan (جازان), Saudi
  • Marsa Alam (مرسى علم), Mesir
  • Massawa (ምጽዋ), Eritrea
  • Moulhoule (مول هولة ), Djibouti
  • Nuweiba (نويبع), Mesir
  • Bandar Safaga (ميناء سفاجا), Mesir
  • Port Sudan (بورت سودان), Sudan
  • Rabigh (رابغ), Saudi
  • Syaram el-Syeikh (شرم الشيخ), Mesir
  • Soma Bay (سوما باي), Mesir
  • Suakin (سواكن), Sudan
  • Taba (طابا), Mesir
  • Thuwal (ثول), Saudi
  • Yanbu (ينبع), Saudi
  1. ^ "laut Kulzum". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. Dicapai 1 Jun 2019.
  2. ^ Dalam kitab Bustanus al-Salatin, rujuk: Wormser, Paul; d’Hubert, Thibaut (2008) "Représentations du monde dans le golfe du Bengale au XVIIe siècle : Ālāol et Rānīrī" (dalam bahasa Perancis). Archipel. 76 (1) 20-2, 24. doi:10.3406/arch.2008.4096
  3. ^ "The Red Sea Diarkibkan 2016-01-07 di Wayback Machine". Dicapai 6 Januari 2009.
  4. ^ "Red Sea" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 25 Februari 2009. Dicapai 6 Januari 2009.
  5. ^ Robert Dinwiddie. Ocean_ The World's Last Wilderness Revealed [Lautan Dalam_ Rimba Liar Dunia Terakhir Diterokai]. Dorling Kindersley, London 2008, m.s. 452
  6. ^ M. Th. Houtsma; T. W. Arnold; R. Bassett; R. Hartmann, penyunting (1993). "Baḥr al-Ḳulzum". E. J. Brill's first encyclopaedia of Islam: 1913-1936. II. Leiden: Brill. m/s. 581. ISBN 90-04-09796-1.
  7. ^ "Red Sea". Encyclopædia Britannica Online Library Edition. Encyclopædia Britannica. Dicapai 14 Januari 2008
  8. ^ Vycichl, Werner (1983). Dictionnaire Etymologique de La Langue Copte. Leuven: Peeters. m/s 320.
  9. ^ "Limits of Oceans and Seas, 3rd edition [Batasan Samudera dan Laut, Edisi ke-3]" (PDF). Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa. 1953. Dicapai 7 Februari 2010
  10. ^ Fernandez-Armesto, Felipe (2006). Pathfinders: A Global History of Exploration [Perkelana: Sejarah Pengembaraan Sejagat]. W.W. Norton & Company. m/s 24. ISBN 0-393-06259-7.
  11. ^ Louis, Jaucourt de chevalier (1765). Red Sea. m/s 367–368.
  12. ^ Tafsir, Saadia Gaon, s.v. Exodus 15:22, et al.
  13. ^ Quran 7:136
  14. ^ Halim Ozkaptan (2010). Islam and the Koran- Described and Defended [Islam dan Al-Quran- Dijelas dan Dibela]. m.s. 41. ISBN 9780557740437.
  15. ^ Fernandez-Armesto, Felipe (2006). Pathfinders: A Global History of Exploration Pathfinders: A Global History of Exploration [Perkelana: Sejarah Pengembaraan Sejagat]. W.W. Norton & Company. m/s 32–33. ISBN 0-393-06259-7.
  16. ^ East, W. Gordon (1965). The Geography behind History [Geografi di sebalik Sejarah]. W.W. Norton & Company. m/s 174–175. ISBN 0-393-00419-8.
  17. ^ By M. D. D. Newitt, [1]Diarkibkan 2014-09-25 di Wayback Machine A History of Portuguese Overseas Expansion, 1400–1668 [Sejarah Perkembangan Luar Negeri Portugal, 1400–1668], m/s 87, Routledge, 2005, ISBN 0-415-23979-6
  18. ^ a b Froese, Ranier; Pauly, Daniel (2009). "FishBase". Dicapai 12 Mac 2009.
  19. ^ Siliotti, A. (2002). Verona, Geodia (ed.). Fishes of the red sea [Ikan-ikan di Laut Merah]. ISBN 88-87177-42-2.
  20. ^ Yonow, Nathalie (2012). "Nature's Best-Dressed". Saudi Aramco World. Jilid 63 no. 4. Aramco Services Company. m/s 2–9. Dicapai 11 Disember 2018.
  21. ^ Barth, Hans-Jörg (2002). Sabkha ecosystems, Volume 2 [Ekosistem Sabkha, Jilid 2]. Springer. m/s 148. ISBN 1-4020-0504-0.
  22. ^ Makinda, Samuel M. (1987). Superpower diplomacy in the Horn of Africa [Diplomasi kuasa terbesar di Tanduk Afrika]. Routledge. m/s 37. ISBN 0-7099-4662-7.