Isteri Wan Mohammad Khair-il calon BN di Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR - Balu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin
Mastura Mohd Yazid diumum sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kuala
Kangsar, 18 Jun ini.
Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan
raya kecil itu di Pusat Arahan BN di sini kira-kira jam 4.30 petang
tadi.
Mastura, 55, merupakan seorang graduan undang-undang daripada Lincoln's
Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam
tahun.
Ibu kepada empat orang anak ini juga merupakan seorang yang bergiat
dalam dunia politik dan menjadi AJK Umno Bahagian Chembong, Negeri
Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada
keluarganya serta arwah suaminya.
Meskipun tidak menyandang sebarang jawatan rasmi namun ramai mengetahui
Datin Mastura merupakan penasihat peneman setia arwah suaminya dalam
menggerakkan kerjanya sebagai wakil rakyat di Bukti Chandan dan
seterusnya mewakili Parlimen Kuala Kangsar.
Umum juga sering melihat kelibat Mastura seorang yang berani
mengeluarkan pendapat dan lantang bersuara untuk sebarang perihal
melibatkan kebajikan penduduk di sekitar Kuala Kangsar.
Kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar berikutan kematian
penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas
helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Pada PRU13, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il memperolehi 14,218 undi
dengan majoriti 1,082 undi menyingkirkan calon Pas, Khalil Idham Lim
Abdullah dan Calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.
Kuala Kangsar mempunyai 32,632 pengundi berdaftar dengan 312 merupakan pengundi awal.
0 orang berkata:
Post a Comment