KOTA BHARU - Muktamar Pas kali ke-62, satu kongres besar yang menjadi
penantian setiap perwakilan parti Islam itu, tidak kurang juga ilmuwan,
pengkaji politik, mahupun pengkritik dan penganalisis dari seluruh
negara.
Menjadi satu kebanggaan kepada hampir seluruh rakyat Kelantan apabila
kongres ini dilangsungkan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK)
Pengkalan Chepa, yang akan mendatangkan seribu satu rezeki kepada
masyarakat di Kelantan.
Bagi perwakilan, inilah masanya untuk mereka mendengar, berkongsi
pendapat, berbincang dan sebagainya mengenai hala tuju, dasar dan
perjuangan parti yang diperjuangkan selama ini, tambahan pula di negeri
tumpah darah bekas Mursyidul Amnya, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Ramai yang berpendapat, pelbagai isu akan menjadi topik utama kongres
tersebut kali ini, terutamanya apabila Pas ‘kehilangan’
pemimpin-pemimpin berpengaruh seperti Mat Sabu, Husam Musa dan
sebagainya.
Namun begitu, menurut Penganalisis Politik, Datuk Prof Dr Zainal Kling,
muktamar kali ini tetap akan meneguhkan, dengan kedudukan presiden dan
Majlis Ulamanya. Mungkin juga akan memperlihatkan seolah-olah
mengetepikan ahli-ahli yang menentang keputusan mereka selama ini.
Malah, pemecatan Datuk Husam Musa sebagai ahli Pas juga tidaklah
sehangat isu lain yang mungkin akan memberi kesan kepada perjuangan Pas
selepas ini untuk merebut pentadbiran negara daripada pemerintah kini.
“Muktamar tersebut tetap akan teguh. Husam tiada ada tempat lagi dalam
Pas. Kalau ada pun, sokongan mengenai hal itu (pemecatan Husam) sudah
lemah. Muktamar akan sokong Tuan Guru (Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang) dan ulama,”katanya kepada Sinar Harian.
Di antara beberapa topik hangat yang mungkin akan mendapat ‘sambutan’
hangat kali ini ialah berkenaan dengan kerjasama dengan Umno, yang
banyak dimainkan sejak ketiadaan Tok Guru Nik Abdul Aziz, dua tahun
lalu.
Malah, ia perlu dibincangkan, kerana rata-rata perwakilan mungkin
mempunyai hujah sendiri apabila Pas kini dilihat semakin tercabar dengan
pelbagai pergerakan baru, terutamanya daripada parti serpihannya, Parti
Amanah Negara (Amanah), yang juga boleh dikatakan ‘musuh’ utama Pas
kini.
Malah kini ramai pendukung-pendukung parti yang melihat Pas dan Umno
perlu berada di dalam satu bumbung walaupun dasar yang berlainan, demi
negara, demi bangsa Melayu, perkara tersebut perlu berlaku supaya kotak
pemikiran sempit itu tidak menjadi halangan kepada kerjasama tersebut.
Malah menurut Prof Dr Zainal juga, jika isu kerjasama tersebut
dimainkan muktamar kali ini, maka akan berbunyilah pelbagai gendang yang
menghujahkan pendapat masing-masing, sama ada menyokong, mempersoalkan,
berdiskusi, mahupun tidak kurang juga menghentam sesama sendiri.
“Kalau itu ada (perbincangan mengenai kerjasama), maka PRU 14 nanti
akan ada kerjasama antara parti Melayu dan Islam. Itu yang akan menjadi
perhatian kita (penganalisis). Sama ada kerjasama ini akan memberi kesan
yang positif atau negatif,” katanya.
Mana-mana parti sekalipun tidak akan lari daripada masalah dalaman,
malah Pas sendiri, berdepan dugaan dan cabaran getir apabila kehilangan
beberapa muka pejuang parti itu, sejak awal tahun ini.
Tetapi, menurut Prof Dr Zainal, isu dalaman bukanlah tajuk utama kali
ini. Walaupun ia tetap berada dalam agenda, namun ia akan menjadi
sekadar teguran kecil yang langsung tidak akan menggugat pimpinan.
Pas juga cukup berani untuk ‘kehilangan’ penyokong dari masyarakat
bukan Islam, demi memartabatkan hukum Allah dalam pelaksanaan Kanun
Jenayah Syariah. Namun kebanyakan penyokong Pas yang bukan Islam,
memahami dengan jelas mengenai perlaksanaan tersebut, berbanding dengan
parti-parti komponen BN. Sedangkan mereka sudah bersama dengan BN agak
lama, bukan sehari dua.
Mengupas isu tersebut, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia
(Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff
berkata, kejayaan Hadi mengemukakan usul persendirian di Parlimen
dijangka memberi nafas baru dan lonjakan besar dalam perjuangan Pas,
sekali gus menyebabkan wujudnya konsolidasi di dalam muktamar, iaitu
mengenai penegasan perjuangan Islamnya.
Bukan itu sahaja, kerjasama yang diberikan oleh pemimpin Umno di dalam
memberi ruang kepada Pas mengemukakan usul tersebut juga dijangka akan
menjadikan pemimpin parti Islam itu bersikap lebih lunak ke atas BN.
“Tetapi saya juga membayangkan, satu seruan akan turut dipalu supaya
mereka (pemimpin) yang cenderung menyokong bekas-bekas ahli Pas yang
dianggap ‘pengkhianat’ parti sebelum ini untuk meletakkan jawatan
sebagai wakil rakyat atau keluar dari Pas, walaupun mereka akan berdepan
bai'ah yang mereka lafazkan sewaktu terpilih menjadi calon Pas dahulu,”
katanya.
Pelbagai kemungkinan akan berlaku, namun untuk menunjukkan kematangan
parti itu, mungkin isu dalaman tidak akan diterjemahkan sebagai agenda
utama dalam kongres tersebut, walaupun tindakan sesetengah pemimpin kini
boleh dianggap sebagai duri dalam daging.
Walau apa pun, jika isu itu mendatangkan kebaikan dan manfaat yang
berguna kepada rakyat, maka ia seharusnya dibahaskan sewajarnya oleh
perwakilan seluruh negara.