Pergi ke kandungan

Nilometer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tiang ukur di sebuah nilometer di Pulau Rawdah, Kaherah

Nilometer ialah sebuah struktur yang dahulu digunakan untuk mencerap kejernihan dan paras air Sungai Nil pada musim banjir yang berlaku setiap tahun.[1] Nilometer mempunyai tiga rupa bentuk, ditentukurkan dengan hasta Mesir: (1) tiang, (2) balai bertangga yang turun ke Sungai Nil, atau (3) sebuah perigi yang dalam dengan sebuah pembetung.[1] Jika paras air terlalu rendah, makanan akan kekurangan. Jika paras air terlalu tinggi, boleh berlakunya kemusnahan. Terdapat tikas, iaitu tanda paras air, untuk menandakan paras banjir yang sesuai supaya ladang-ladang boleh menjadi subur.[2][1]

Dari Julai ke November, Sungai Nil yang membelah Mesir akan melimpah dan melitupi dataran banjir bersebelahan dengannya. Apabila air surut, pada bulan September atau Oktober, lanar hitam yang subur akan tertinggal di kawasan pertanian. Akhet, atau Musim Pembanjiran, ialah satu daripada tiga musim dalam kalendar Mesir purba.

Banjir tahunan amat penting kepada tamadun Mesir. Banjir sederhana adalah penting dalam kitaran pertanian mereka; tetapi banjir yang sedikit akan menyebabkan kebuluran dan terlalu banyak akan memusnahkan bina-binaan dan harta benda di dataran banjir. Rekod dari 622–999 TM menunjukkan bahawa secara purata, 28% banjir dari julat tahun itu tidak mencapai tahap banjir yang memberangsangkan.[2]

Kebolehan meramal isi padu banjir yang akan datang ialah salah satu kemahiran para pendeta Mesir purba. Kebolehan ini juga memainkan peranan dalam politik dan pentadbiran, memandangkan kualiti banjir tahun itu akan menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar. Dalam hal inilah nilometer penting. Para pendeta akan memerhatikan paras sungai dari hari ke hari dan umumkan kedatangan banjir musim panas.

Rupa bentuk

[sunting | sunting sumber]
Nilometer di Pulau Elefantin

Rupa bentuk nilometer yang paling mudah ialah sebuah tiang yang dibenamkan ke dalam air sungai, dengan tikas yang berselang untuk menandakan kedalaman air.[1] Terdapat satu yang menggunakan rupa bentuk ini di pulau Rawdah di tengah-tengah Kaherah, tetapi ia berada di dalam sebuah struktur batu yang dihias cantik[1][2] (30°00′25″N 31°13′30″E / 30.0069°N 31.2250°E / 30.0069; 31.2250 (Rhoda Island nilometer)). Nilometer ini berasal dari 861 TM, semasa khalifah Abbasiyah al-Mutawakkil menitahkan ia dibina,[3] diseliakan oleh seorang ahli falak bernama Al-Farghani. Nilometer ini dibina di sebuah tapak yang dahulunya terdapat spesimen yang lebih awal, diselia oleh seorang biskop Ortodoks Syria bernama Dionysius al-Telmahre pada tahun 830.[perlu rujukan] Nilometer yang lebih tua ini dipesan pada tahun 715 TM oleh Usamah bin Zaid bin Adi, yang ditugaskan untuk mengutip cukai hasil tanah (kharaj) di Mesir untuk khalifah kerajaan Umaiyah, Sulaiman bin Abdul Malik.[2][4]

Struktur berbentuk kon ini menudungi nilometer di selatan Pulau Rawdah di Sungai Nil di Kaherah. Struktur ini sendiri moden tetapi nilometer itu dari tahun 715 TM.[2]

Rupa bentuk nilometer yang kedua ialah sebuah balai bertangga yang turun ke air sungai, dengan tikas pada dindingnya.[1] Contoh terelok untuk rupa bentuk yang ini boleh dijumpai di pulau Elefantin di Aswan,[1] di mana 52 anak tangga turun ke sebuah pintu ke Sungai Nil.[5] Pulau ini agak penting kerana sepanjang sejarah Mesir, Elefantin menjadi sempadan selatan Mesir dan ialah tempat pertama yang mana permulaan banjir tahunan dikesan.

Rupa bentuk yang paling kompleks menggunakan sebuah saluran atau pembetung yang bersambung ke tebing Sungai Nil—biasanya dijarakkan agak jauh—kemudian disalurkan ke perigi ataupun tangki.[1] Perigi nilometer seperti ini sering ditempatkan di perkarangan kuil, yang mana hanya pendeta dan pemerintah saja dibenarkan masuk. Rupa bentuk ini boleh dijumpa di Kuil Kom Ombo, utara Aswan, dengan perigi yang dalam dan sebuah kerek pembetung pada dindingnya.

Walaupun nilometer berasal dari zaman firaun, ia tetap digunakan oleh tamadun-tamadun seterusnya yang menguasai Mesir.[1] Ada juga yang dibina pada zaman jajahan Rom.[1]

Pada abad ke-20, banjir tahunan Sungai Nil sangat sedikit, kemudian langsung tiada selepas empangan di Aswan dibina. Empangan Aswan telah memberi dampak terhadap Mesir dan sektor pertaniannya, serta menimbulkan banyak kontroversi, sementara juga menyebabkan nilometer langsung tidak digunakan lagi.

 

  1. ^ a b c d e f g h i j Nilometer. 2008. m/s. 1753. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "H" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  2. ^ a b c d e Brian Fagan (1 Ogos 2010). The Great Warming: Climate Change and the Rise and Fall of Civilizations. Bloomsbury Publishing. m/s. 167. ISBN 978-1-59691-780-4. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Fagan2010" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ Doris Behrens-Abouseif (1992). Islamic Architecture in Cairo: An Introduction. BRILL. m/s. 51. ISBN 90-04-09626-4.
  4. ^ Ibn ʿAsākir. Tārīkh Madīnat Dimashq. m/s. 8:84.
  5. ^ Farid Atiya (2008). Pocket Book of Ancient Egypt. m/s. 370. Dicapai pada 2017-04-26.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Abbeloos, Jean Baptiste; Lamy, Thomas Joseph, penyunting (1877). Bar Hebraeus, Chronicon Ecclesiasticum (3 jilid). Paris.