Pergi ke kandungan

Kenderaan utiliti sukan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ford Explorer

Kenderaan utiliti sukan (SUV) merupakan istilah pemasaran umum bagi kenderaan yang menyerupai sebuah kereta estet tetapi dibina menggunakan casis lori ringan.[1] Ia biasanya dilengkapi pacuan empat roda bagi keupayaan di atas dan luar jalan raya, serta dengan keupayaan untuk digunakan sebagai kenderaan luar jalan raya. Tidak semua kenderaan pacuan empat roda diistilahkan sebagai SUV. Sesetengah SUV menyertakan keupayaan menunda seperti pada lori pikap dengan ruang penumpang seakan MPV atau sedan besar. Memandangkan SUV dianggap sebagai lori ringan serta berkongsi pelantar dengan lori pikap, peraturan yang dikenakan juga kurang ketat berbanding kereta di bawah dua undang-undang di Amerika Syarikat, iaitu Akta Pemulihan dan Dasar Tenaga bagi penggunaan bahan api, dan Akta Udara Bersih bagi keluaran asap.[2]

Istilah ini tidak digunakan di semua negara, dan di luar Amerika Utara istilah seperti "kenderaan luar jalan raya", "pacuan empat roda" (termasuk kependekan "4WD" atau "4x4") atau sekadar menggunakan jenama seperti "Jeep", "Land Rover" atau "Pajero" adalah lebih lazim. Namun, tidak semua SUV ada keupayaan pacuan empat roda, dan tidak semua kenderaan pacuan empat roda adalah SUV. Sementara pengeluar kereta sering mengiklankan keupayaan Luar jalan raya pada SUV keluaran masing-masing, kebanyakan penggunaan SUV lebih tertumpu kepada jalan raya berturap serta kawasan bandar.

Asalnya sangat popular pada lewat 1990an dan awal 2000an, populariti SUV mula merosot berikutan harga minyak yang tinggi serta ekonomi yang merudum. SUV tradisional berasaskan lori kini digantikan dengan SUV pindah silang yang menggunakan pelantar kereta supaya lebih ringan dan lebih jimat minyak (contohnya Honda CR-V yang dibina menggunakan pelantar Honda Civic), susulan kritikan terhadap SUV.

Reka bentuk

[sunting | sunting sumber]
Jeep Cherokee.

Walaupun rekaan mungkin berbeza, SUV secara tradisionalnya adalah kenderaan saiz sederhana dengan casis jenis badan atas kerangka sebagaimana lori ringan. SUV terawal kebanyakannya jenis dua pintu dengan bumbung boleh tanggal. Namun demikian, berikutan permintaan pasaran serta peraturan lebih ketat menjurus kepada SUV empat pintu, model SUV dua pintu sudah pupus menjelang 2002. Setakat 2011, hanya Jeep Wrangler sahaja kekal sebagai SUV 2 pintu, walaupun Jeep turut menawarkan varian 4 pintu. Sejak pertengahan 1990an, pasaran SUV 2 pintu dirampas oleh SUV 4 pintu.

Kebanyakan SUV direka dengan ruang enjin serta ruang penumpang dan kargo yang digabungkan. SUV kecil mempunyai dua baris tempat duduk manakala SUV saiz sederhana dan besar mempunyai tiga baris tempat duduk dengan ruang kargo betul-betul di belakang tempat duduk paling belakang. Penahan kargo ada kalanya turut disertakan bagi melindungi penumpang daripada muatan kargo yang muungkin akan melambung semasa nyahpecutan tiba-tiba atau pelanggaran.

SUV dikenali kerana badannya yang berkotak serta mempunyai kelegaan tanah yang tinggi, di samping titik H yang tinggi. Ia menjadikan SUV lebih mudah terbalik berikutan pusat graviti yang tinggi. Badan SUV kini semakin lebih aerodinamik, tetapi saiz yang besar serta badan yang berat menjadikan SUV kekal kurang jimat minyak.

Kegunaan di pedalaman

[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, SUV lebih popular di Malaysia Timur berbanding Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada jaringan jalan raya berturap serta hanya dihubungkan melalui jalan tanah merah yang kurang baik. Ruang dalamannya boleh jadi lebih ringkas berbanding keadaan asalnya supaya lebih mudah dibaiki berikutan kekurangan alat ganti di pedalaman. Terdapat juga sebilangan pemilik SUV di kawasan pedalaman yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik dari pedalaman ke pekan terdekat dengan mengenakan sedikit bayaran.

Di kawasan pertanian seperti Cameron Highlands, petani selalunya menggunakan SUV, lori ringan atau lori pikap untuk mengangkut hasil pertanian mereka dari ladang. Ia berikutan kebanyakan jalan pertanian adalah tidak berturap.

Sebagai kenderaan rekreasi dan sukan permotoran

[sunting | sunting sumber]

Sejak pengenalan SUV, terdapat budaya sekumpulan pemilik SUV yang gemar menjelajah di kawasan hutan tebal sebagai satu aktiviti rekreasi kerana gemarkan cabaran melalui permukaan jalan yang kurang baik. Biasanya ia dilakukan secara berkumpulan supaya bantuan boleh disalurkan sekiranya ada kenderaan peserta yang bermasalah ataupun tersangkut.

Selain itu, SUV yang diubahsuai juga boleh digunakan dalam sukan bermotor khususnya rali. Rali Paris-Dakar adalah salah satu kejohanan rali yang sering dikaitkan dengan penyertaan SUV.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
Dalam rencana
  1. ^ "sport-utility vehicle". Merriam-Webster Online Dictionary. 2010. Dicapai pada 2010-11-17.
  2. ^ Yacobucci, Brent D. (2003-04-17). "Sport Utility Vehicles, Mini-Vans, and LightTrucks: An Overview of Fuel Economy and Emissions Standards" (PDF). CRS Report for Congress. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-01-16. Dicapai pada 2010-11-16.
Umum
  • Gladwell, M. "Big and bad." (2004, January 12). The New Yorker, LXXIX, 28–30. Retrieved on 2008–05–12.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Keith Bradsher. High and Mighty: SUVs—The World's Most Dangerous Vehicles and How They Got That Way. Published by PublicAffairs. ISBN 1-58648-203-3.
  • Josh Lauer. "Driven to Extremes: Fear of Crime and the Rise of the Sport Utility Vehicle in the United States", Crime, Media, Culture, vol. 1, no. 2 (2005), OCLC 201726443 pp. 149–168.
  • Adam Penenberg. Tragic Indifference: One Man's Battle with the Auto Industry over the Dangers of SUVs. Published by HarperBusiness. ISBN 0-06-009058-8.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Media berkenaan Sport utility vehicle di Wikimedia Commons