Ahad, 29 Disember 2019

Kongres Jawi juga dinasihatkan batal

HARAKAHDAILY

 

KAJANG: NGO Islam tampil membantah satu lagi persidangan membantah Jawi iaitu Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) yang dijadualkan pada esok di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menasihatkan penganjur kongres tersebut supaya menghentikan persidangan itu demi memastikan keharmonian negara.

Katanya, semua pihak khususnya Dong Zong wajar akur kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November lalu yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu dan juga Bahasa Kebangsaan.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh terhadap permohonan parti GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diteruskan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/T).

Malah mahkamah memutuskan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi adalah tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita nasihatkan sekali lagi kepada penganjur Kongres esok supaya dia hentikan persidangan itu supaya ini akan dapat memberikan satu keharmonian kepada negara kita.

“Saya nak nyatakan juga bahawa MPM (Majlis Perundingan Melayu) dan juga NGO di bawah UMMAH akan terus memastikan bahawa Jawi dan Bahasa Melayu terus dimartabatkan di negara kita,” kata Mohd Zai.

Beliau bersama beberapa wakil NGO hari ini menyuarakan bantahan itu dalam satu sidang media yang diadakan berhampiran Kolej New Era.

Menurutnya, jika Dong Zong masih berdegil meneruskan bantahan tulisan Jawi, UMMAH dan ratusan NGO yang terdiri daripada NGO Bahasa, Pendidikan akan menggerakkan satu lagi himpunan raksasa yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur.

Berkata pada sidang media sama, Pengerusi Semangat Gelombang Rakyat, Ellie Suriati berkata mereka menyambut baik keputusan Dong Zong yang akur dengan keputusan mahkamah supaya membatalkan perhimpunannya pada hari ini.

Namun katanya, Dong Zong tidak membuat maklum balas mengatakan bahawa mereka akan tidak meneruskan langkah untuk menolak tulisan Jawi secara formal.

Hari ini sepatutnya berlangsung Kongres Bantah Tulisan Jawi di Kolej New Era di sini, walau bagaimanapun Dong Zong selaku penganjur persidangan tersebut akur dengan perintah mahkamah yang melarang meneruskan persidangan tersebut.

Arahan itu dikeluarkan sejurus mahkamah meluluskan permohonan polis untuk mengeluarkan perintah larangan kepada Dong Zong supaya tidak meneruskan persidangan tersebut.

Dalam pada itu juga, sebagai tindak balas kongres anjuran Dong Zong itu, satu lagi Himpunan Julang Perlembagaan ‘Rempuh 2812’ yang sepatutnya berlangsung pada hari ini turut dibatalkan.

Sementara itu di Kolej New Era, beberapa wakil media berkumpul di luar perkarangan kolej tersebut yang sedang dikawal polis sejak dari awal pagi tadi dan masih membuat sekatan jalan hingga kini. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: