Pergi ke kandungan

James M. Gavin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
James Maurice "Jumpin' Jim" Gavin paling dihormati di kalangan askar payung terjun Amerika Syarikat

James Maurice "Jumpin' Jim" Gavin adalah seorang Jeneral dalam perkhidmatan Tentera Darat Amerika Syarikat yang mencipta nama sebagai askar payung terjun yang terulung semasa Perang Dunia II. Dia menerima nama jolokan "the jumping general" kerana turut bersama-sama askarnya membuat penerjunan tempur payung terjun. James Gavin paling terkenal kerana menjadi pegawai pemerintah Divisyen ke-82 Payung Terjun dalam pertempuran semasa D-Day dan juga semasa Operasi Market-Garden.

Latar Belakang

[sunting | sunting sumber]

James Gavin dilahirkan pada 22 Mac 1907 sebagai James Nally Ryan di Brooklyn, New York. Leluhurnya tidak dapat dipastikan dengan tepat, tetapi ibunya kemungkinan besar seorang pendatang dari Ireland bernama Katherine Ryan sementara bapanya adalah James Nally yang juga berasal dari Ireland. Tetapi rekod rasmi menunjukkan nama bapanya adalah Thomas Ryan mungkin kerana hendak menjadikan kelahiran itu bukan sebagai kelahiran di luar nikah. Surat daftar kelahiran James Gavin menyenaraikan James Nally Ryan sebagai nama bapa, tetapi dengan nama “Ryan’ dipotong.

Semasa dia berumur dua tahun, ibunya meletakkannya dalam jagaan rumah anak-anak yatim Convent of Mercy di Brooklyn. Sejak itu, James Gavin menjadi jagaan pihak berkuasa sehingga beliau diambil sebagai anak angkat oleh Martin and Mary Gavin, yang berkeluarga di Mount Carmel, Pennsylvania. Martin Gavin bekerja di lombong arang batu. Martin dan Mary Gavin menanam sikap disiplin yang kuat di dalam diri James Gavin, satu sikap yang mencirikan kejayaan James Gavin semasa perkhidmatan tenteranya.

Disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu di kampung halamannya, dan juga dengan pengetahuan bahawa ibu bapa mahukan dia memilih kerjaya sebagai pelombong arang batu, James Gavin mengambil keputusan melarikan diri ke New York. Sebaik sampai ke New York, beliau segera menghantar telegram kepada ibu bapanya memberitahu mereka bahawa dia berada dalam keadaan selamat supaya mereka tidak melaporkan dia “Hilang”. James Gavin mencari kerja di New York. Dalam bulan Mac 1924, James Gavin bertemu pegawai perekrutan Tentera Darat. Oleh kerana dia masih berumur bawah 18 tahun, dia perlu mendapat pengesahan daripada ibu bapanya. James mengetahui ibu bapanya tidak akan memberikan kebenaran kepadanya menjadi askar. James tangkas memberitahu pegawai perekrutan itu bahawa dia seorang anak yatim. Pegawai perekrutan berkenaan membawa James bersama beberapa orang “anak yatim” yang lain berjumpa seorang peguam yang mengisytiharkan dirinya sebagai penjaga kanak-kanak tersebut dan menandatangani borang kebenaran kemasukan menjadi tentera.

Perkhidmatan Tentera

[sunting | sunting sumber]

Pada 1 April 1924, James Gavin secara rasminya menjadi anggota tentera. Dia dihantar ke Panama, dan menerima latihan dalam pekerjaan dalam pasukan Artileri Pantai di Fort Sherman. James menjadi anggota meriam 155mm di bawah penyeliaan seorang Sarjan berbangsa pribumi Amerika Syarikat yang mempunyai gelaran "Chief" Williams. Panama bukanlah satu tugasan yang selesa kerana cuacanya yang panas dan ramai yang menghidap demam malaria. Tambahan pula, 95 daripada askar-askar yang ditugaskan di Panama mempunyai penyakit kelamin. Tetapi Gavin mempunyai pengalaman yang baik di Panama.

Gavin menghabiskan masa lapangnya membaca buku yang dipinjam dari perpustakaan, khususnya buku mengenai pemimpin tentera tersohor di masa lampau seperti Hannibal. Gavin juga suka melancong dan dalam fikirannya membuat perancangan perang untuk kawasan yang dilancong. "Chief" Williams mengenali potensi yang ada dalam diri Gavin dan mengambil Gavin sebagai pembantunya dan Gavin dinaikkan pangkat menjadi Koperal.

Di atas nasihat "Chief" Williams, Gavin mendaftar masuk ke sekolah angkatan tentera, dari mana calon-calon yang terbaik diberikan peluang memasuki Akademi Tentera Darat di West Point. Gavin memulakan persekolahan dalam bulan September 1924. Semasa ini, Gavin diasuh oleh Leftenan Percy Black selama 4 jam setiap hari dalam ilmu Algebra, Geometri, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Leftenan black membantunya membuat permohonan masuk ke West Point.

Gavin menyertai West Point dalam musim panas tahun 1925. Dia menuliskan umurnya sebagai 21 tahun dan bukannya 18 tahun di atas borang kemasukannya, untuk menyorokkan hakikat bahawa dia memasuki askar semasa di bawah umur. Oleh kerana Gavin tidak mempunyai persekolahan asas yang diperlukan, di bangkit pada jam 4:30 pagi setiap hari untuk membuat bacaan di dalam bilik air di mana terdapat pencahayaan yang cukup untuk membaca. Selepas 4 tahun, Gavin lulus dalam bukan Jun 1929. Selepas mendapat tauliah sebagai Leftenan Muda, Gavin mengahwini Irma Baulsir pada 5 September 1929.

Penempatan Tugasan

[sunting | sunting sumber]

Gavin ditempatkan bertugas selama 3 tahun ke Kem Harry J. Jones berhampiran Douglas, Arizona berhampiran sempadan Mexico bersama-sama Rejimen Infantri ke-25 (pasukan ini pasukan terdiri dari anggota-anggota kulit hitam dan rejimen ini antara rejimen-rejimen yang digelar rejimen “Buffalo Soldier”)

Selepas itu, Gavin menghadiri Sekolah Infantri di Fort Benning, Georgia di bawah kelolaan Kolonel George C. Marshall. Joseph Stillwell pula mengetuai jabatan yang mengelolakan pengajian taktik di sekolah tersebut. Di sini Gavin menjumpai apa yang dia hasratkan, sebuah angkatan tentera yang sedang mencari pembaharuan pendekatan mengadakan perang dan inovasi dalam perlaksanaan perang.

Marshal dan Stillwell mengajar penuntut mereka untuk tidak bergantung kepada penulisan arahan yang panjang lebar, tetapi sebaliknya memberikan garis panduan kepada pemerintah di medan untuk melaksanakan mengikut keperluan dan kebolehan mereka. Ini membolehkan pemerintah medan membangunkan kemahiran taktikal mereka dan menyesuaikan taktik mereka dengan keadaan di medan. Ini bertentangan dengan pendekatan Tentera Darat sehingga itu. Pendekatan pendidikan ini membolehkan Gavin membentuk gaya kepimpinannya tersendiri.

Walaupun Gavin gembira di Fort Benning, rumah tangganya mula runtuh. Isterinya tidak gembira berada di Georgia dan pulang ke Washington untuk bersama ibu bapanya. Dalam tahun 1933, Gavin mendapat pertukaran ke Rejimen Infantri ke-28 di Fort Sill, Oklahoma di bawah pimpinan Jeneral Lesley J. McNair. Sekali lagi, Gavin banyak menghabiskan masa membaca di perpustakaan.

Dalam tahun 1936, Gavin ditukarkan ke Filipina. Semasa di sana, Gavin memikirkan rancangan untuk menangkis kemungkinan penaklukan Jepun. Askar-askar di Filipina seramai 20,000 orang mempunyai kelengkapan yang tidak mencukupi, dengan persenjataan “yang serupa dengan yang digunakan semasa Perang Dunia I”. Selepas 18 bulan di Filipina, Gavin kembali ke Washington dan bertugas dengan divisyen Ketiga Infantri di Vancouver Barracks. Gavin kini menjawat pangkat Kapten dan diberikan pemerintahan Kompeni K dalam Rejimen ke-7 Infantri.

Gavin diarahkan semula ke West Point untuk mengajar taktik. Gavin gembira mendapat tugasan ini, kerana ia membolehkan perkembangan ilmu perangnya. Gavin dilihat sebagai pengajar yang baik dan semula jadi. Anak-anak muridnya menganggap beliau pengajar terbaik pernah mereka jumpai.

Apabila Jerman memulakan perang Blitzkrieg untuk menewaskan Poland dan lain-lain negara, Gavin membuat analisis taktik dan strategi yang digunakan oleh pihak Jerman untuk menilai keupayaan taktik, kenderaan dan persenjataan Jerman .

Pada masa ini Gavin mula mengajukan penggunaan askar payung terjun. Katanya, “Daripada apa yang dilihat sehingga kini, amat jelas sekali bahawa bidang yang mempunyai potensi perkembangan adalah di dalam bidang perang bawaan udara, iaitu pengguguran askar yang diberikan latihan khusus dan dilengkapkan khusus untuk peperangan tersebut dengan askar payung terjun dan askar bawaan udara di bawa masuk dalam ke medan peperangan dalam kumpulan yang besar.

Gavin amat tertarik dengan serangan oleh askar payung terjun Jerman ke atas perkubuan Fort Eben-Emael di Belgium, di mana serangan waktu malam dibuat oleh askar-askar payung terjun Jerman (Fallshirmjaeger) yang mempunyai kelengkapan lengkap. Gavin menggabungkan kajian serangan ini dengan konsep pergerakan Stonewall Jackson sebagai asas peperangan askar payung terjun. Gavin mencari jalan menyertai askar payung terjun.

Kolonel Gavin
Tidak seperti lain-alin pegawai tinggi, Gavin suka menggunakan raifel Garand M1 sebagai senjata peribadinya

Pembangunan Tentera Payung Terjun

[sunting | sunting sumber]

James Gavin memulakan latihan di Sekolah Payung Terjun di Fort Benning dalam bulan Julai 1941 dan tamat kursus dalam bulan Ogos 1941. Selepas tamat kursus, Gavin menyertai satu unit percubaan, terdiri daripada sukarelawan yang akan menguji dan membentuk taktik dan doktrin penggunaan askar payung terjun.

Gavin dilantik menjadi Pegawai Pemerintah Kompeni “C” dalam Batalion ke-503 Infantri Payung Terjun yang baru sahaja ditubuhkan. Bersama-sama dengan Gavin dalam unit percubaan ini termasuklah sahabatnya William Ryder (ketika itu menjadi Pemerintah Latihan Payung Terjun) dan William Yarborough yang ketika itu menjadi Pegawai Perhubungan di Gerup Sementara Payung Terjun.

Ryder dan Yarborough meyakinkan Jeneral William C. Lee untuk membenarkan Gavin membentuk dan mengembangkan taktik dan peraturan asas penggunaan askar payung terjun dalam peperangan. William C. Lee kemudiannya menjadikan Gavin Pegawai Operasi dan Latihan (S-3) di Gerup Sementara Payung Terjun. Dalam bulan Oktober Gavin dinaikkan pangkat menjadi Mejar.

Salah satu keutamaan Gavin adalah untuk menentukan bagaimana askar payung terjun patut digunakan supaya kekuatan mereka dapat digunakan dengan cara paling berkesan. Langkah pertama Gavin adalah menulis manual medan (field Manual) bertajuk FM 31-30: Tactics and Technique of Air-Borne Troops. Gavin menggunakan maklumat mengenai pengalaman askar payung terjun Jerman (Fallshirmjaeger) dan juga askar payung terjun Rusia khususnya mengenai pengalaman penggunaan askar payung terjun dan juga askar infantri yang dibawa menggunakan peluncur angin (glider). Gavin amat teruja melihat kejayaan Jerman dalam penggunaan pasukan gabungan askar payung terjun dan askar bawaan peluncur angin semasa serangan ke atas Fort Eben-Emael di Belgium.

Gavin juga memasukkan ideanya mengenai taktik dan cara peperangan penggunaan askar payung terjun, dengan menekankan mobiliti pasukan tersebut. Manual yang ditulis mengandungi juga maklumat mengenai susunan askar payung terjun, operasi yang boleh dijalankan oleh askar payung terjun dan juga mengenai keperluan yang diperlukan oleh askar payung terjun untuk menjalankan operasi mereka dengan berkesan. Kelak, apabila ditanya bagaimana kerjayanya berkembang dengan begitu cepat, Gavin menjawab, “Saya yang menulis buku itu” ("I wrote the book").

Dalam bulan Februari 1942, Gavin dihantar menghadiri kursus yang diringkaskan di Kolej Turus dan Perintah (Command and General Staff College) di Fort Leavenworth, Kansas. Ini akan melayakkan Gavin menjawat jawatan Turus di markas divisyen. Apabila dia kembali kepada Gerup Sementara Payung Terjun, Gavin ditugaskan dengan kerja-kerja membangunkan sebuah divisyen askar payung terjun. Dalam musim gugur tahun 1942, Jeneral William C. Lee dan Gavin pergi ke Washington, D.C. untuk membincangkan aturan perang (order of battle) untuk Divisyen Askar Payung Terjun pertama dalam sejarah tentera Amerika Syarikat.

Divisyen Infantri ke-82 yang bertempat di Camp Claiborne, Louisiana dipilih menjadi divisyen pertama untuk ditukarkan menjadi Divisyen Askar Payung Terjun. Pengaruh Leslie McNair menjadikan Divisyen 82 Payung Terjun terdiri daripada 2 rejimen askar bawaan peluncur angin dan 1 rejimen askar payung terjun. Gavin sendiri diberikan pemerintahan Rejimen 505 Infantri Payung Terjun (505 PIR) dan dinaikkan pangkat kepada Kolonel. Gavin membina Rejimen 505 PIR daripada asas permulaan lagi, dengan alasan beliau mahu mencorakkan rejimen tersebut mengikut keperluan dan cara peperangan yang beliau mahukan. Gavin membuatkan 505 PIR menjalankan latihan kawat lasak dan juga latihan peperangan yang realistik. Gavin sendiri menuliskan tugasan latihan dan selalu mendahului rejimennya semasa jalan lasak.

Gavin menanamkan sifat kepimpinan di kalangan pegawai-pegawainya, dengan mewajibkan mereka mendahului askar-askar lain semasa membuat penerjunan. Pegawai mesti yang pertama terjun daripada kapal terbang. (Amalan ini berterusan sehingga ke hari ini. Dalam Operasi Urgent Fury, pegawai pemerintah Batalion Pertama Rejimen Ke-75 Renjer Amerika Syarikat merupakan orang yang pertama membuat penerjunan.)

Selepas berbulan-bulan menjalankan latihan, Gavin memberikan rejimennya ujian terakhir. Dia membuatkan latihan di mama 505 PIR meninggalkan berek mereka pada jam 7.00 malam dan berkawat sepanjang malam sejauh 37 kilometer ke bandar Cottonwood, Alabama. Apabila sampai ke Cottonwood, mereka membuat latihan perang sepanjang hari membuatkan simulasi menawan dan mempertahankan satu kawasan jambat udara (airhead). Selepas latihan selesai jam 8.00 malam, Gavin membawa mereka berkawat menuju berek mereka melalui hutan pain yang tebal dan jalan belakang. Pada jam 100.00 malam, mereka berhenti berehat. Selepas berehat selama satu jam, Gavin dan askar-askarnya meneruskan kawat lasak mereka ke berek mereka. Latihan tersebut melihat 505 PIR membuat kawat sejauh 80 kilometer, membuat latihan perang, menawan dan mempertahankan kawasan pendaratan daripada serangan balas, kesemuanya sambil membawa peralatan lengkap dan dengan hanya diberikan rangsum kecemasan sahaja. Latihan tersebut membuktikan kepada Gavin bahawa 505 PIR sudah bersedia untuk operasi perang.

Dalam bulan Februari 1943, Divisyen 82 Payung Terjun (dengan dua rejimen infantri peluncur angin dan 1 rejimen askar payung terjun) dipilih untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tentera yang akan menakluk Sicily. Ini menyebabkan kejutan besar kerana ramai yang memikirkan bahawa Divisyen 101 Payung Terjun akan dipilih, kerana dipimpin oleh Jeneral William C. Lee yang dianggap “bapa askar payung terjun” Amerika Syarikat. Oleh kerana bilangan peluncur angin tidak mencukupi, kepimpinan tentera menggantikan Rejimen Ke-326 Infantri Peluncur Angin dengan pasukan 505 PIR pimpinan Gavin.

Sebagai persediaan terakhir, Gavin mengaturkan satu penerjunan latihan besar-be3saran untuk kali terakhir sebelum pergerakan 505 PIR ke Afrika. Malangnya satu kemalangan semasa latihan ini menyebabkan kematian 3 orang askar, dan menjejaskan moral anggota 505 PIR.

Pada 10 April 1943, Jeneral Matthew Ridgway menerangkan matlamat untuk Divisyen 82 Payung Terjun : Operation Husky iaitu nama samaran untuk penaklukan Pulau Sicily. Pasukan 505 PIR pimpinan Gavin akan melakukan penerjunan tempur buat pertama kali bagi pasukan bersaiz rejimen. Gavin menyatakan rasa teruja dan bangga apabila diberitahu bahawa 505 PIR akan membuat penerjunan tempur buat pertama kali bagi pasukan bersaiz rejimen.

Pada 29 April 1943, Gavin dan 505 PIR menaiki kapal SS Monterey di New York. Kapal mereka adalah sebahagian daripada satu konvoi sebanyak 23 buah kapal menuju ke Afrika Utara dengan iringan 8 buah kapal pembinasa, sebuah kapal induk kapal terbang dan kapal perang bear USS Texas. Selepas lebih seminggu, konvoi tersebut sampai ke Pelabuhan Casablanca pada 10 Mei 1943. 505 PIR kemudiannya ke bandar Oujda di tengah-tengah padang pasir. Masa dipenuhkan dengan latihan.

Perbalahan meletus di antara panglima-panglima Amerika Syarikat dan Britain mengenai pihak mana yang akan menyediakan askar pa (Pihak British amhu menggunakan Divisyen 1 Payung Terjun yang telah berperang di Afrika sebelum ketibaan Divisyen 82 Payung Terjun dan hanya memerlukan penyediaan pesawat pengangkut oleh Amerika Syarikat). Jeneral Eisenhower campur tangan dan mengarahkan pihak tentera Amerika Syarikat menyediakan 250 buah pesawat pengangkutan dan tentera British menyediakan baki 150 buah lagi.

Jeneral George S. Patton mencadangkan askar payung terjun digugurkan pada waktu malam, tetapi Matthew Ridgway dan Gavin membangkang dengan alsan pasukan mereka tidak pernah membuat operasi pada waktu malam.

505 PIR berkumpul di Kairouan, Tunisia sebagai persediaan. Objektif mereka dalam operasi melibatkan pendaratan di sebelah utara dan di sebelah timur bandar Gela dan menawan dan mengawal kawasan tersebut untuk memotong saluran perbekalan dan perhubungan askar Jerman. Untuk tugas ini Gavin diberikan perintah 505 PIR dengan dibantu batalion 3/504 Para, Rejimen ke-456 Artileri Medan Payung Terjun, Kompeni “B”, Batalion ke-307 Askar Jurutera Payung Terjun, terup askar semboyan dan lain-lain pasukan kecil pembantu.

Dalam penerbangan ke Sicily, Gavin bersendirian. Dia diberitahu kelajuan angin di kawasan pendaratan adalah 56 km/j sedangkan perancangan dibuatkan atas dasar kelajuan angin 24 km/j. Selepas 1 jam penerbangan, Gavin diberikan isyarat terjun. Gavin menjadi askar pertama membuat penerjunan. Akibat kelajuan angin yang lebih tinggi dari jangkaan, Gavin terseliuh buku lali semasa pendaratan. Sejurus mendarat, Gavin mencari pasukannya. Dia menjumpai pegawai operasi G-3 Mejar Benjamin H. Vandervoort dan G-1 Kapten Ireland. Selepas mencari Gavin berupaya mengumpulkan kumpulan seramai 20 orang , kebanyakannya pegawai. Gavin menyedari bahawa mereka mendarat jauh dari kawasan pendaratan yang ditetapkan. Dia mengetuai kumpulannya menuju ke kawasan pertempuran.

Gavin mengingati pengalamannya ini dengan berkata “Apabila kami terjun ke Sicily, unit-unit menjadi terpisah antara satu sama lain. Saya tidak menjumpai sesiapa, Selepas itu, saya menjumpai dua orang Kolonel, seorang Mejar, tiga orang Kapten, dua orang Leftenan dan hanya seorang perajurit. Kami menawan sebuah jambatan. Tidak pernah dalam sejarah peperangan di mana yang perajurit yang sedikit bilangannya dipimpin oleh pegawai yang begitu ramai. (When we jumped into Sicily, the units became separated, and I couldn't find anyone. Eventually I stumbled across two colonels, a major, three captains, two lieutenants, and one rifleman, and we secured the bridge. Never in the history of war have so few been led by so many.)

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]