Hogmanay
Hogmanay adalah perkataan dalam bahasa Scots untuk hari terakhir dalam suatu tahun dan merupakan sinonim dari perayaan Tahun Baru (kalendar Gregorian) dengan cara khas masyarakat Scotland. Hogmanay merupakan festival akhir tahun masyarakat Scotland yang selalunya diadakan di Edinburgh.
Dari 30 Disember hingga 1 Januari, orang akan berpesta di Edinburgh untuk menyambut Tahun Baru. Hogmanay diadakan di pelbagai tempat, dari jalan raya ke pusat bandar. Sebelum ini, festival ini adalah percuma, tetapi lama-kelamaan dan pelbagai aktiviti yang ditawarkan, orang Scotland dan pelancong asing akan dikenakan tiket masuk untuk menyertai festival Hogmanay ini.
Festival Hogmanay biasanya dibuka dengan perarakan obor bermula dari Jambatan George IV menuju pusat bandar. Aktiviti ini kemudian diteruskan dengan pesta dan persembahan muzik, mulai dari muzik tradisional hingga muzik moden. Terdapat juga acara Bairns Afore yang merupakan acara baru dan ditujukan khas untuk mereka yang ingin menghabiskan Tahun Baru dengan keluarga mereka dan juga Street Party yang selalu menjadi sasaran peserta Hogmanay.
Street Party sendiri adalah salah satu pesta terbaik dan pesta akhir tahun terbesar di dunia dengan muzik live, persembahan DJ, hiburan jalanan, dan juga pertunjukan bunga api dengan latar belakang Istana Edinburgh. Festival Hogmanay akan berakhir dengan Loony Dook, di mana ribuan orang akan terjun bersama ke Sungai Forth dalam keadaan sejuk.