Pergi ke kandungan

Asparagus

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Asparagus
Ikatan-ikatan pucuk asparagus dipangkas
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
A. officinalis
Nama binomial
Asparagus officinalis
Sinonim[1]
Senarai
  • Asparagus altilis (L.) Asch.
  • Asparagus caspius Schult. & Schult.f.
  • Asparagus esculentus Salisb.
  • Asparagus fiori Sennen
  • Asparagus hedecarpus Andrews ex Baker"
  • Asparagus hortensis Mill. ex Baker
  • Asparagus littoralis Steven
  • Asparagus oxycarpus Steven
  • Asparagus paragus Gueldenst. ex Ledeb.
  • Asparagus polyphyllus Steven ex Ledeb.
  • Asparagus sativus Mill.
  • Asparagus setiformis Krylov
  • Asparagus vulgaris Gueldenst. ex Ledeb.

Asparagus (Jawi: أسڤاراݢوس), sapersi (juga: sepersi, Jawi: سڤيرسي‎), saperji, akar parsi atau akar separuh keras adalah tumbuhan saka berbatang kecil yang berasal dari daerah timur Mediterranean, tetapi juga tumbuhan asli di kebanyakan negara Eropah, utara Afrika dan barat Asia. Ia juga diklasifikasikan sebagai sayur-sayuran kerana pucuknya boleh dimakan dengan mengutip bahagian pucuk muda (rebung) yang keluar dari pangkal pokok. Ia kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, natrium, kalium, vitamin A dan C dan niasin.

Di kawasan Asia Tenggara, asparagus ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand iaitu di kawasan tanah tinggi dan ada juga di kawasan tanah rendah. Malaysia menanam asparagus di kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron dan Kundasang dengan anggaran keluasan direkodkan sekitar 160-175 hektar setiap tahun. Penanaman asparagus dunia ialah sekitar 150,000 hektar setiap tahun dengan anggaran pengeluaran sebanyak 500,000 metrik tan. Penanaman asparagus paling luas ditanam di kawasan Amerika Utara (52,000 ha) diikuti dengan Eropah (45,000 ha) dan kawasan Asia (20,000 ha) setiap tahun. Tanaman asparagus di Asia Tengara paling luas diusahakan di Thailand (1,800 hektar/tahun) iaitu 85% adalah pengeluaran asparagus hijau dan 15% asparagus putih. Di Indonesia, kawasan seluas 1,000 hektar asparagus ditanam setiap tahun iaitu 60% untuk asparagus hijau dan 40% asparagus putih.

Nama-nama sapersi, sepersi, saperji dan akar parsi meminjam dari kata bahasa Belanda asperge serapan bahasa Perancis turunan kata Latin asparagus;[2] kata akar parsi ini hasil pertindihan dengan kata "Parsi" yang disangka sama makna.[3] Perkataan bahasa Latin asparagus turut diserapkan terus sebagai istilah moden melalui bahasa Inggeris.

Nama akar separuh keras tercatat dalam kamus dwibahasa Wilkinson 1932 (dieja akar sa-paroh kĕras) daripada kefahaman setempat terhadap cara memakan sayur diperkenalkan ini yang "hanya separuh sahaja dimakan" (only half is eaten).[4]

Sejarah perubatan

[sunting | sunting sumber]

Ditemui oleh orang Greek yang tumbuh sepanjang pantai di timur Mediterranian, asparagus telah ditanam oleh orang Rom pada tahun 200 SM. Walaupun begitu, terdapat lukisan makam Mesir kuno mengenai asparagus dari tahun 4000 SM, dan menjadi petunjuk yang ia telah digunakan untuk penyakit kencing dan en:deworming. Semasa zaman Pembaharuan asparagus digunakan sebagai afrodisiak dan telah diharamkan dari dapur biara untuk rahib perempuan. Dalam bukunya Herba Lengkap (1653) Nicholas Culpeper menasihati ia 'meningkatkan nafsu badan dalam lelaki atau wanita, apapun telah ditulis dengan sebaliknya'. Dalam manual cinta Arab Taman Wangian oleh Sheikh Nefzaoui (diterjemahkan pada 1880), ia telah ditulis bahawa dia yang memakan hidangan ini setiap hari akan mendapati ia peransang untuk kemahuan berahinya. Kemudiannya, Theodoor Henrick van de Velde (1873-1937), ahli perubatan Belanda, ahli ginekologi dan seksologi, juga mengangkat asparagus sebagai satu afrodisiak.

Ciri-ciri morfologi

[sunting | sunting sumber]

Asparagus mempunyai 'lembing' tegak ke atas (pucuk dari mahkota bawah tanah) yang boleh tumbuh sehingga 2 meter tinggi. Daun asparagus halus berbentuk seperti jarum dari batang yang tidak bercabang. Bunga asparagus ialah unisexual, kecil, berbentuk tiub kampanulat dan menghasilkan buah kecil seperti beri, berwarna hitam dalam 1-6 biji benih. Apabila ia sedang ingin berbunga, braktea atas kepala-lembing bercabang ke batang dengan pelepah lembut, yang dinamakan 'paku sisik'. Bahagian yang boleh dimakan ialah pucuknya setelah dimasak.

Pucuk asparagus baru tumbuh.
Illustrasi botani Jerman asparagus.

Kandungan pemakanan asparagus adalah berbeza antara asparagus hijau dan asparagus putih. Setiap 100 gram asparagus hijau mengandungi 92 g air, 2.8 gm protein, 0.2 gm lemak, 2.2 g karbohidrat, 980 IU vitamin A, 0.23 g vitamin B, 2.2 mg niasin dan 52 mg fosforus serta 132 kJoule tenaga. Kandungan zat pemakanan asparagus putih lebih rendah sedikit. Berat setiap 1,000 biji benih asparagus bersamaan 40 gram.

Bagi mereka yang menghadapi masalah kulit yang berpunca daripada pengumpulan asid yang berlebihan dalam darah seterusnya menyebabkan wujudnya masalah-masalah kulit seperti jerawat atau kudis, asparagus merupakan jawapan yang tepat bagi mereka. Ini kerana kandungan alkali yang tinggi dalam jus asparagus boleh mengatasi masalah-masalah kulit.[perlu rujukan]

Penanaman

[sunting | sunting sumber]

Penanaman asparagus menggunakan biji benih perlu disemai terlebih dahulu dalam tapak semaian. Pembiakan menggunakan kaedah lain seperti keratan, kultur tisu didik dan sebagainya kurang berjaya. Disyorkan memilih varieti asparagus yang mampu menghasilkan hasil tinggi, rintang penyakit dan mendapat permintaan pasaran terbaik. Penyediaan kawasan atau tanah disyorkan dengan membina batas tanaman diatas tanah yang digembur dan pastikan mempunyai saliran yang baik untuk mengelakkan banjir. Benih yang siap sedia ditanam dengan jarak 1.5 meter x 0.3 meter. Pembajaan dengan NPK 15:15:15 bersama baja organik dengan kadar disyorkan adalah penting untuk memastikan pengeluaran tunas dan mempunyai sistem pengairan sempurna. Kawalan rumpai mesti dijalankan dengan manual (cabut dengan tangan atau tajak) bagi menggalakkan pertumbuhan pucuk dan mengurangkan persaingan. Elakkan menggunakan racun rumpai di kawasan penanaman asparagus.

Penyakit dan perosak

[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, tanaman asparagus diserang bintik daun pada bahagian daun oleh kulat Stemphylium botryosum, Cercospora parangi atau Phoma asparagi. Busuk akar lembayung terjadi akibat kulat bawah-tanah Helicobasidium purpureum dan membunuh gelangan akar pokok.

Kawalan perosak dibuat dengan semburan racun kulat seperti Mancozeb pada kadar disyorkan. Penyakit layu Fusarium (Fusarium spp) menyerang terutama di kawasan lembab dan terlalu kerap membuat tuaian berlebihan. Kekurangan nutrien baja juga boleh menyebabkan berlakunya serangan layu fusarium. Amalan pertanian baik seperti disyorkan dapat mengelak serangan penyakit ini.

Pucuk atau tunas asparagus akan dipetik sebaik sahaja mencapai ketinggian 16-25 cm dari paras tanah. Asparagus hijau terjadi apabila pucuk yang keluar dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari dan asparagus hijau diperolehi dengan menimbus pangkal pokok dengan tanah. Lazimnya asparagus putih berada dalam tanah dan mempunyai saiz batang lebih besar berbanding dengan asparagus hijau.

Penuaian asparagus dijalankan selepas 12 minggu (3 bulan) penanaman dengan syarat pertumbuhan pokok subur dan banyak tunas asparagus muncul sepanjang tahun. Penuaian mesti mempastikan 'pokok ibu' atau pokok induk sentiasa subur dan meninggalkan 3-5 tunas untuk dijadikan pokok. Pemotongan dengan pisau tajam sepanjang 18-25 cm dari paras tanah untuk asparagus hijau. Bagi asparagus putih, potongan sepanjang 10 cm dari pangkal pucuk muncul bermula di permukaan tanah. Kambus balik pangkal rumpun tanaman asparagus selepas menuai. Kajian ahli agronomi mendapati purata hasil asparagus adalah dalam lingkungan 1.5 - 1.8 mt/ha di Malaysia, 2.1 mt/ha di Indonesia, 4.4 mt/ha di Thailand. Purata penghasilan asparagus di seluruh dunia adalah sekitar 3 mt/ha.

Pengendalian lepas tuai

[sunting | sunting sumber]

Pucuk asparagus yang dituai masih aktif mmenjalani proses respirasi menyebabkan ianya perlu dipasarkan segera atau terus dimasukkan ke dalam bilik sejuk untuk mengekalkan kesegarannya. Penyimpanan asparagus dalam keadaan suhu sejuk 2 darjah celsius dengan kelembapan yang tinggi mampu mengekalkan kesegarannya selama 4 minggu. Tanaman asparagus di Malaysia memerlukan perhatian khusus jika hendak di perluaskan. Harga asparagus hijau di Kundasang Sabah adalah sekitar RM 50 - RM 60.00 sekilogram dan Asparagus Putih dalam lingkungan RM 60.00-RM89.00 sekilogram.

  1. ^ "Asparagus officinalis L." World Flora Online. Dicapai pada 22 Jun 2021.
  2. ^ "asperge". EtymologieBank., memetik:
    • van der Sijs, Nicoline (2010). "asperge". Nederlandse woorden wereldwijd. Den Haag: SDU Uitgevers. ISBN 9789012582148.
    • M. Philippa, F. Debrabandere, A. Quak, T. Schoonheim & N. van der Sijs, penyunting (2009). "asperge". Etymologisch Woordenboek van het Nederlands. Amsterdam.CS1 maint: multiple names: editors list (link)
  3. ^ Wilkinson, Richard James (1932). A Malay-English dictionary (romanised). Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
    • "akar", m/s. 13, jilid I
    • "parsi", m/s. 216, jilid II
  4. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "paroh". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 216 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Vegetables: Plant Resources of SEA Region terbitan PROSEA.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]