Pergi ke kandungan

Amduat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Amduat (Mesir Purba: jmj dwꜣt, harfiah "Yang Berada Di Dunia Selepas Mati", juga diterjemahkan sebagai "Teks Kamar Tersembunyi yang di Alam Ghaib" dan "Buku tentang Apa Berada di Alam Ghaib"; Arab: كتاب الآخرة, rumi: Kitab al-Akhirah)[1] ialah satu teks pengebumian Mesir purba yang penting dari zaman Kerajaan Baru Mesir. Seperti pelbagai teks pengebumian yang lain, ia ditemui di dalam makam firaun untuk dirujuknya. Namun berbeza daripada teks pengebumian yang lain, ia hanya dikhaskan untuk firaun (sehinggalah Dinasti Kedua Puluh Satu dengan secara eksklusif) atau hanya dibenarkan untuk bangsawan.[2]

Buku papirus Amduat. Perincian: Thebes, antara 1076 dan 722 SM.

Teks tersebut mengisahkan Ra, dewa matahari Mesir yang mengembara melalui alam ghaib dari waktu matahari terbenam di barat ke masa ia terbit semula di timur. Jenazah firaun dipercayai melalui perjalanan yang sama, akhirnya bersatu dengan Ra dan hidup selama-lamanya.

Alam ghaib terbahagi kepada dua belas jam pada waktu malam, setiap jam dengan sekutu dan musuh yang berbeza untuk dihadapi oleh firaun/dewa matahari. Amduat menamakan semua dewa dan raksasa ini. Tujuan utama Amduat adalah untuk memberikan nama-nama dewa dan raksasa ini kepada roh firaun, supaya dia boleh menyeru mereka untuk mendapatkan bantuan atau menggunakan nama mereka untuk mengalahkan mereka.

Selain menyenaraikan dan menamakan penghuni Duat, baik dan buruk, ilustrasi teks jelas menggambarkan topografi alam ghaib. Versi lengkap Amduat terawal ditemui di KV34, makam Thutmose III di Lembah Para Raja.

Dua belas jam

[sunting | sunting sumber]
Kamar pengebumian KV35, makam Amenhotep II, dihiasi dengan gambar-gambar daripada Amduat

Pada jam 1, dewa matahari memasuki ufuk barat (akhet) iaitu peralihan antara siang dan malam.

Pada jam 2 dan 3, dia melalui dunia dengan air yang banyak dipanggil "Wernes" dan "Perairan Osiris".

Pada jam 4, dia sampai ke Imhet, alam berpasir yang mencabar Sokar, dewa alam ghaib berkepala helang, di mana dia perlu melayari laluan yang gelap dan berliku-liku, di atas bahtera ular.

Pada jam 5, dia menemui makam Osiris iaitu petak yang di bawahnya tersembunyi sebuah tasik api; makam itu dilitupi oleh busut berbentuk piramid (dikaitkan dengan dewi Isis) dan di atasnya Isis dan Nephthys menjelma dalam bentuk dua ekor helang.

Pada jam keenam peristiwa paling penting di alam ghaib berlaku. Ba (atau roh) Ra bersatu dengan tubuhnya sendiri, ataupun dengan ba Osiris dalam bulatan yang dibentuk oleh ular mehen. Peristiwa ini titik yang mana matahari memulakan pemulihan; ia saat yang sangat penting tetapi juga bahaya.

Pada jam 7, seterunya Apep menghendap dan harus dirantai dengan sihir Isis dan Set, dan kekuatan Serqet, yang dibantu oleh dewa Her-Tesu-F.

Pada jam 8, dewa matahari membuka pintu makam dan Horus memanggil seekor ular yang dahsyat dengan api yang tidak dapat dipadamkan untuk memusnahkan musuh-musuh bapanya, Osiris, dengan membakar mayat mereka dan memasak roh mereka.

Pada jam 9, mereka meninggalkan pulau berpasir Sokar dengan mendayung kembali ke perairan.

Pada jam 10, proses pemulihan diteruskan dengan berendam di dalam perairan tadi.

Pada jam 11, mata Ra (simbol kesihatan dan kesejahteraannya) pulih semula sepenuhnya.

Pada jam 12, dia memasuki ufuk timur untuk terbit semula sebagai matahari hari baharu.

Setelah tamat perjalanan si mati melalui alam ghaib, mereka tiba di Dewan Maat. Di sini mereka akan menjalani upacara Penimbangan Jantung dan kesucian mereka akan menentukan jika mereka akan dibenarkan memasuki Kerajaan Osiris.

  1. ^ Forman dan Quirke (1996), m/s 117.
  2. ^ Hornung (1999), m/s 27
  • Forman, Werner and Stephen Quirke. (1996). Hieroglyphs and the Afterlife in Ancient Egypt. Norman: University of Oklahoma Press. ISBN 0-8061-2751-1.
  • Erik Hornung trans. David Lorton (1999). The Ancient Egyptian Books of the Afterlife. Cornell University Press.
  • Hornung, Erik; Abt, Theodor (editors): The Egyptian Amduat. The Book of the Hidden Chamber. English translation by David Warburton, revised and edited by Erik Hornung and Theodor Abt. Living Human Heritage Publications, Zurich 2007. (Images, hieroglyphs, transcription and English translation).
  • Knowledge for the Afterlife - the Egyptian Amduat - a quest for immortality (1963), Theodore Abt and Erik Hornung, Living Human Heritage.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]