6/10/2014

Khutbah Iktibar Ramadhan



Khutbah Iktibar Ramadhan
Oleh: Zuridan Mohd Daud al-Teminie

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 
أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تمَوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah Taala dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya, mudah-mudahan kita menjadi umat yang bertaqwa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Bulan Ramadhan bukan sahaja merupakan saat dan peluang untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT semata-mata, malah ia juga mempunyai hikmah untuk kita hayati sebagai pedoman dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT, justeru bulan Ramadhan bukan sahaja digelar sebagai Syahrul Ibadah malah juga digelar sebagai Syahrul Jihad kerana Ramadhan yang dilalui oleh baginda SAW dan para sahabat serta umat terdahulu diwarnai dengan tinta perjuangan menegakkan kalimah Allah dan memerangi kemungkaran dan kesesatan.
Ibadah puasa Ramadhan di samping bertujuan melahirkan manusia yang bertaqwa dan taat kepada perintah Allah Taala dan sunnah Rasulullah Saw, ia juga berfungsi melahirkan para pejuang yang sanggup berkorban jiwa raga demi kedaulatan Islam. Keikhlasan, pengorbanan, kesusahan dan ketahanan diri melawan bisikan hawa nafsu ketika melaksanakan ibadah puasa adalah merupakan satu bentuk latihan bagi membentuk jiwa dan peribadi seorang pejuang di jalan Allah. Ini kerana dalam perjuangan pastinya ada cabaran yang datang sama ada dalam bentuk bisikan hawa nafsu ataupun dalam bentuk fitnah harta dan pangkat. Sepertimana yang berlaku kepada baginda SAW yang pernah ditawarkan dengan kedudukan yang tinggi dan harta yang banyak namun baginda SAW menolaknya demi menegakkan Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Dalam surah surah Ali Imran ayat 123 Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedangkan kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan peralatan perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Bulan Ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masehi. Ia adalah peperangan pertama yang dilalui oleh baginda dalam keadaan tentera Islam begitu sedikit jumlahnya dan berdepan dengan tentera musuh yang mencecah angka seribu orang dengan peralatan yang lengkap. Namun kemenangan dianugerahkan kepada tentera Islam kerana mendapat bantuan Allah SWT yang dijanjikan kepada golongan yang beriman.

Allah Taala menamakan peperangan Badar dengan Yaumul Furqan yang bermaksud pemisah antara dua pihak iaitu yang hak dan batil, yang beriman dan yang kufur. Ia menjadi peristiwa yang menguji antara perasaan iman kepada Allah dan perasaan asobiyah puak dan bangsa. Allah Taala menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia walaupun di kalangan mereka yang paling hampir hubungan kekeluargaannya yang akhirnya membawa kepada peperangan akibat daripada pertembungan aqidah.
Pada bulan Ramadhan juga berlakunya peristiwa Fathu Makkah iaitu pembukaan kota Mekah di tangan Rasulullah SAW dan para sahabat. Setelah mereka disiksa dan dihalau dari tanah air sendiri hingga terpaksa berhijrah ke Madinah baginda SAW telah menggunakan kesempatan tersebut untuk membina kekuatan iman umat Islam dan membangunkan negara dengan sistem Islam yang sempurna dan adil. Akhirnya pada tarikh 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah Rasulullah SAW kembali semula dan Islam dapat ditegakkan di bumi Makkah tanpa berlaku sebarang tentangan.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Fath ayat 1-3:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينًا, لِيَغْفِرَ لَكَ اللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا, وَيَنْصُرَكَ اللَّهُ نَصْرًا عَزِيزًا
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah memberi kemenangan kepadamu (wahai Muhammad) dengan kemenangan yang nyata. Kemenangan itu supaya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang akan dating dan menyempurnakan nikamy-Nya kepadamu serta memimpinmu ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hakamnya). Dan supaya Allah memberikan pertolongan (untuk mencapai kejayaan) kepadamu dengan pertolongan yang mulia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Abu Said r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, Allah menjauhkan diri orang itu dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (Hadis Muttafaqun 'alaih)
Banyak lagi peristiwa-peristiwa jihad dan perjuangan yang berlaku di bulan Ramadhan meskipun dalam keadaan umat Islam berpuasa, antaranya ialah:
Pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah berlakunya peristiwa perang Tabuk yang akhirnya umat Islam menang setelah tentera Rom mengundur diri kerana takut kepada kekuatan tentera Islam.

Pada bulan Ramadhan tahun ke 10 Hijrah Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera di bawah pimpinan Saidina Ali r.a ke Yaman dengan membawa surat  daripada Nabi SAW. Akhirnya satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima  dan memeluk Islam pada hari itu juga.

Pada bulan Ramadhan tahun ke 91 Hijrah  pasukan tentera Islam mendarat di selatan pantai Andalusia iaitu Sepanyol dan terus melancarkan jihad ke atas musuh Islam dan pada bulan Ramadhan tahun ke-92 Hijrah  panglima Tariq bin Ziad mengalahkan Raja Frederick dalam perang Fashillah di Andalusia.
 
Pada bulan Ramadhan tahun ke-584 Hijrah pahlawan Islam Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bersama-sama kaum muslimin mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salibiyyah. Tentera Islam berjaya menguasai daerah-daerah yang sebelum ini dikuasai oleh tentera Salib. Penasihat-penasihat Sultan Salahuddin menyarankan agar beliau berehat kerana risau akan kesihatannya namun beliau menjawab, "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang di bina oleh musuh. 

Pada tarikh 25 Ramadhan tahun ke 658 Hijrah kerajaan Tartar berjaya dikalahkan oleh tentera Islam di bawah pimpinan panglima Saifudin Qutuz di
 kota ‘Ain Jalut, Palestin. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Taala,
Cebisan kisah perjuangan dan jihad yang berlaku di bulan Ramadhan memberikan gambaran kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukanlah bulan rehat bagi umat Islam,  ia adalah bulan kesungguhan, perjuangan dan jihad pada jalan Allah.
Beberapa peristiwa yang tercatat dalam sejarah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang sentiasa bergerak dengan dakwah dan jihad walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga. Peristiwa al-futuhat (pembukaan wilayah baharu) yang berlaku adalah bertujuan menghapuskan sebarang bentuk halangan fizikal yang menyekat perkembangan dakwah Islam untuk sampai kepada seluruh umat manusia. Sebagai Muslim, kita perlu sedar bahawa hidup kita di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan berjuang di atas jalan Nya. Suasana kehidupan Islam yang telah lenyap mestilah dikembalikan semula agar keindahan Islam yang syumul dapat dizahirkan.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra ayat 81:
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Maksudnya: Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang batil (kufur dan syirik). Sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ القُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ، وَالمُؤْمِنِيْن وَالمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.