Melalui ayat di atas terdapat tiga perkara yang disentuh oleh Allah Taala mengenai fungsi Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang pendidik iaitu:
1) Membacakan ayat-ayatNya (al-Quran) kepada mereka.
يتلو عليهم آياته
3) Mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah.
ويعلمهم الكتاب والحكمة
Melalui tiga ayat ini bolehlah pula dibuat kesimpulan bahawa terdapat tiga kaedah utama pembangunan insan bersumberkan al-Quran, iaitu:
1.Kaedah Tilawah Al-Ayat.
2.Kaedah Tazkiyyah.
3.Kaedah Ta’ lim Al-Kitab Wa Al-Hikmah.
Bagi mencapai matlamat melahirkan manusia yang seimbang dalam aspek jasmani, akal dan rohnya maka ketiga-tiga kaedah pendidikan yang dinyatakan oleh al-Quran di atas adalah amat bertepatan dan berkesan di dalam melahirkan manusia yang seimbang dalam kehidupannya.
Pertama ialah kaedahTilawatul Ayat yang bermaksud membaca ayat Al-Quran atau mendengar bacaannya. Melalui amalan membaca ayat Al-Quran ia dapat mencetuskan kedamaian di dalam hati manusia. Dengan adanya kedamaian di dalam hati maka seterusnya akan mudahlah proses pencetusan hidayah daripada Allah Taala. Kerana Al-Quran mempunyai kekuatan dari aspek susunan bahasanya dan hukum tajwid yang boleh melahirkan alunan suara dan bunyi yang dapat mencairkan hati manusia yang keras, lantas menumbuhkan bibit-bibit iman kepada Allah Taala. Ini dibuktikan melalui kisah Saidina Umar Al-Khattab yang hatinya sekeras batu tetapi akhirnya tunduk kepada kekudusan alunan suara bacaan Al-Quran oleh adik perempuannya. Kaedah Tilawah Ayat yakni dengan membaca atau memperdengarkan Al-Quran tidak seharusnya diabaikan oleh para pendidik dan murabbi. Guru boleh memulakan kelasnya dengan memetik ayat-ayat tertentu yang ada kaitan dengan pengajarannya di dalam kelas. Pensyarah boleh menjadikan ayat Al-Quran sebagai pendahuluan pengajarannya di dalam bilik kuliah. Ibubapa boleh mengumandangkan ayat Al-Quran di dalam rumah setiap hari agar anak-anak membesar dengan barakah dari ayat Al-Quran. Sesiapa sahaja yang ada minda dakwah boleh menjadikan ayat Al-Quran sebagai senjata paling berkesan di dalam mengetuk hati-hati manusia.
Kedua ialah kaedah Tazkiyyah iaitu menyucikan jiwa dari kotoran-kotoran mazmumah[2]. Jika tubuh badan manusia mesti dibersihkan daripada najis aini dan hukmi maka jiwapun mesti dibersihkan juga daripada najis maknawi. Jiwa biasanya akan terdedah dengan sifat-sifat tercela seperti sombong, riak dan takabbur yang akan menjadi penyebab utama terhalangnya jiwa dari mendapat simbahan cahaya hidayah daripada Allah SWT. Sifat-sifat ini jika tidak dibuang dan dibersihkan dari jiwa manusia, maka akan terhalanglah ia daripada melihat sesuatu kebenaran dan akan lahirlah tindakan-tindakan yang bercanggah dengan nilai mulia dan tuntutan agama. Oleh itu melalui kaedah Tazkiyyah, jiwa yang kotor dapat disucikan dan dihidupkan, seterusnya dihiasi dengan sifat-sifat hati yang terpuji seperti tawadhuk, sabar, ikhlas dan lain-lain. Dengan ini akan memudahkan seseorang memperolehi ilmu yang berguna dan memperolehi hidayah daripada Allah SWT sebagai penyuluh kepada hidupnya. Jiwa yang kotor akan terhijab dari melihat kebenaran dan sukar menerima sebarang teguran dan nasihat. Jiwa yang kotor amat sukar menerima perintah Allah SWT dan sentiasa berburuk sangka dengan ketetapan-Nya. Justeru kesucian jiwa amat penting sebagai persediaan tapak yang sesuai bagi menerima hidayah Allah SWT.
Ketiga ialah kaedah Ta’ lim al-kitab wa al-Hikmah yang bermaksud pengajaran ilmu dan pengetahuan yang bersumberkan Al-Quran Al-Karim. Bermula dengan membaca Al-Quran kemudian diikuti dengan kesucian hati barulah jiwa seseorang itu bersedia menerima ilmu yang akan menjadi panduan baginya menjalani kehidupan ini. Ilmu yang dimaksudkan ialah merangkumi segala bentuk ilmu yang berkaitan dengan kehidupan manusia seperti sains, matematik, fizik, geografi dan sebagainya yang didasari oleh Al-Quran. Kaedah ini sebagai pelengkap kepada dua kaedah sebelumnya yang mana ia akan melahirkan manusia yang seimbang hidupnya samada dari aspek aqidah, emosi dan intelektualnya. Pengajaran yang berada dalam ruanglingkup pedoman al-Quran akan mencetuskan rasa kewujudan Allah SWT yang mendalam dan pastinya akan membimbing manusia ke arah membuat sesuatu keputusan dan tindakan dalam kerangka mentaati kehendak Yang Maha Pencipta.
Oleh kerana itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: ((Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya)). Surah Al-Baqarah ayat 269.
Di dalam tafsir Ibnu Katsir ada diriwayatkan huraian mengenai hikmah antaranya apa yang dikatakan oleh Ibnu Abbas r.a: (Hikmah) itu ialah Mengetahui al-Quranul Karim. Manakala Muhajid r.a pula berkata: (Hikmah) ialah ilmu, fiqh dan al-Quran. Kemudian Abul ‘Aliah menjelaskan bahawa Al-Hikmah ialah:
الحـِكـْمـَة ُ خـَشْيـَة ُ اللّهِ، فـَإنَّ خـَشيـَة َ اللّهِ رَأسُ كـُلِّ حـِكـْمَةٍ
Ertinya: "Al-Hikmah itu ialah takutkan Allah, maka sesungguhnya takutkan Allah itu ialah kepala segala hikmah".
Ini bermakna ketiga-tiga kaedah berkenaan tujuan akhirnya ialah mahu melahirkan manusia yang bertaqwa yakni sentiasa takutkan Allah SWT dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya agar tidak mengundang murka Allah SWT.
Ketiga-tiga kaedah yang dinyatakan oleh Al-Quran iaitu kaedah Tilawah Al-Ayat, kaedah Tazkiyyah dan kaedah Ta’ lim Al-Kitab Wa Al-Hikmah adalah sama-sama penting di dalam pembangunan insan. Jika salah satu aspek diabaikan maka akan lahirlah manusia yang tidak seimbang sifatnya dan menyebabkan berlakunya berbagai kerosakan sepertimana yang dapat dilihat sekarang.