Cadang Mahathir, jelas ahli kabinet Najib lemah


SHAH ALAM: Cadangan Tan Sri Zainuddin Maidin agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kabinet memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, malah seluruh ahli kabinetnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam skop yang lebih luas, cadangan tersebut menggambarkan semua anggota dalam kabinet Najib hari ini, lemah dan tidak boleh diharap.

"Kenyataan beliau itu benar-benar menunjukkan bahawa Najib gagal dalam pentadbirannya, malah terlalu lemah serta tidak layak untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Beliau jua tidak mencadangan nama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya nama Dr Mahathir dicadangkan, ini jelas membuktikan barisan kabinet Najib ini tidak ada seorang pun yang layak untuk mentadbir negara ini," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Zainuddin yang juga bekas Menteri Penerangan, yang mengakui kelemahan pentadbiran Najib sehingga mencadangkan Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Mneteri kembali semula menerajui negara.

Zainuddin ketika mengulas kewajaran Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula berkata, akta itu tidak perlu malah lebih perlu adalah Dr Mahathir itu dikembalikan dalam kabinet bagi mengatasi kelemahan Najib.

Najib katanya terlalu lemah khususnya apabila diancam dari sudut perkauman, agama dan tekanan ekonomi.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kenyataan Zainuddin itu turut membuktikan negara ini sedang dalam krisis terutama dari sudut ekonomi, perkauman dan agama.

Jelasnya, Zainuddin dan bekas Perdana Menteri itu perlu mendesak agar Najib segera membubarkan parlimen bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan dalam pilihanraya.

"Dari sudut perundangan itu tidak boleh dilakukan, adalah lebih baik kedua-dua mereka mendesak kerajaan agar membubarkan parlimen bagi memberi laluan pilihanraya yang baru.

"Rakyat boleh membuat pilihan, apatah lagi mereka berada dalam keadaan yang tertekan akibat dari kos sara hidup yang begitu tinggi, mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang lebih perihatin dan bukan sebuah kerajaan yang lemah," sambung beliau yang juga merupaka Ahli Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz turut berpendapat pembubaran parlimen adalah satu langkah terbaik bagi memastikan negara ini tidak terjerumus dalam keadaan yang lebih teruk.

Ditanya adakah gesaan agar ISA dikembalikan menjadi isu utama, jelas beliau perkara itu hanya menjadi sandaran semata-mata tetapi motif utama adalah untuk meminta agar Dr Mahathir kembali dalam kerajaan yang semakin lemah sepanjang berada di bawah pentadbiran Najib.
Seterusnya >>>

Polis siasat Mufti Perak


KUALA LUMPUR: Polis telah merakam kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengenai komen beliau bahawa darah mereka yang berhimpun dalam protes ambang tahun baru adalah halal atau 'bughah', lapor The Malaysian Insider.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu wartawan di Bukit Aman hari ini bahawa Harussani telah ditemubual oleh polis tentang komen beliau itu.

"Sebarang kenyataan yang dianggap sebagai ugutan kepada keselamatan negara akan disiasat secara mendalam, tak kiralah siapa yang membuat kenyataan itu," katanya.

Beliau menidakkan kenyataan bahawa hanya sesetengah orang sahaja yang boleh mengugut keselamatan negara.

"Kita menyiasat semua orang tetapi rakyat hanya berminat kepada sesetengah pihak sahaja," Kata Khalid kepda media.

Harussani ketika mengulas Himpunan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) di Dataran Merdeka 31 Disember lepas berkata, peserta himpunan ini adalah 'bughah' atau penderhaka kepada kerajaan.

Oleh itu katanya, darah mereka adalah halal.

Ekoran itu, pelbagai pihak membantah fatwa seumpama itu termasuk Dewan Ulama PAS dan juga Bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin
Seterusnya >>>

Mufti dengan fahaman BUGHAHNYA

Mufti dengan fahaman BUGHAHNYA
Pandangan rasmi Jabatan Agama Islam Kedah terhadap 14 orang Memali yang terbunuh bersama Ibrahim Libya yang menentang ISA adalah bughah.
Maksudnya menderhaka. Ia mesti menderhaka kepada Istana/kerajaan. Hukuman kepada penderhaka ialah bunuh atau antara Yahudi yang derhaka kepada perjanjian Madinah dengan Rasulullah SAW, ada yang perintah keluar dari wilayah Islam itu tanpa harta bendanya kecuali bekalan melapik perut untuk perjalanan ke tempat barunya.
Jika orang Memali itu bughah ke semuanya tentu dikukum mengikut hukum bughah seperti yang disebut oleh  Mufti  Perak, bukan sekadar yang terbunuh itu saja.
Yang menjadi lawak atas tohmah bungah itu Sultan Kedah, Yang Dipertuan Agong sekarang berangkat menziarahi pusara as-Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakannya. Ulil Amri tentu tidak mencemar duli ke kubur bughah. Di mana kita hendak letak maruah Jabatan Agama?
Sekarang Mufti Harussani dari Perak pula menghukum bughah terhadap penunjuk rasa terhadap kos sara hidup yang melambung kerana mereka dikatakan mahu menggulingkan kerajaan. Hukumnya darah mereka halal.
Adakah sabit tunjuk perasaan sedemikian sebagai bughah sekalipun motif dan agendanya menggulingkan kerajaan? Adakah penunjuk rasa di Thailand yang menentang Perdana Menteri wanitanya dari terus berkuasa sudah bughah? Apa juga tema dan slogan unjuk rasa adalah dihalalkan oleh demokrasi dan diiktiraf oleh PBB.
Mohamad Sabu, orang penting unjuk itu menolak ia mahu menggulingkan kerajaan. Unjuk rasa itu bagi membantah tanpa senjata tentang kenaikan kos rasa hidup yang melangit itu. Sekalipun ia permulaan kepada penggulingan kerajaan dalam PRU14 nanti, ia adalah proses penggulingan mengikut perlembagaan dan lunas demokrasi.
Mana ada tunjuk perasaan terhadap kerajaan dikira bughah  dan didakwa di mahkamah selain dari di Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin. Tindakan itupun bukan bughah tetapi justeru gerakan keganasan.
Gerakan mengguling kerajaan tidak disebut-sebut dan diwarwarkan dalam unjuk rasa seperti malam tahun baru itu. Tiada dipapar dalam kain rentang. Orang yang sungguh hendak merampas kuasa bergerak  dalam diam-diam. Tiba-tiba berlaku saja penggulingan. Orang ramai tahu melalui siaran TV dan radio.
Biasanya yang buat kerja ini pempn-pemimpin tentera atau orang yang mendapat sokongan tentera.
Dr Mahathir tidak sukakan PM Abdullah Badawi dulu berpakat dengan orang-orang Umno yang dekat dengan PM itu. Mereka tidak runding dengan orang lain-lain. Mereka sesama Umno sepakat menggulingkannya dengan mendesaknya berundur.
Gerakan itu tidak dikatakan bughah. Walaupun kerja itu sudah macam bughah tetapi dari segi politik, ia biasa dilakukan oleh parti-parti yang memerintah. Ia buat cara diam-diam dulu dalam parti dan  kemudian baru kerajaan dipaksa berndur.
Menggulingkan biasanya orang buat dalam tempoh yang segera supaya kerajaan yang ada tidak sedar. Tetapi kalau dihebohkan dalam ceramah dan kain rentang, ia bukannya sungguh-sungguh mengguling kerjaan. Ia hendak meributkan  saja. Tidak apa yang mereka buat untuk menjadikan kerajaan dalam waktu yang sesengkatnya.
Mufti Perak  itu tiada pengalaman politik. Bagaimana rupa bughah dan bagaimana gendang-gendang saja.
Perak dihormati umum kerana kehabatan Raja Mudanya. Pandangannya mengkagumkan ramai orang. Baginda berjaya mengatasi kehebatan Ayahanda baginda. Ayahanda baginda adalah Ketua Hakim pertama dalam dunia jadi Sultan atau Raja. Pandangannya sangat dihajati. Tetapi cara baginda menghadapi penggulingan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak, menyebabkan kebijaksanaan itu tidak menggambarkan wibawa Ketua Hakim. Maka yang menonjol di kalangan raja-raja ia Raja Muda. Ia mengkagum dan membanggakan.
Tiba-tiba dengan penonjolan Muftinya, tidak  seimbang dengan kehebatan Raja Muda. Raja Muda menjulang ke  angkasa. Mufti boleh  menyamai lawak Abu Nawas dengan fahaman bughahnya. - Harakahdaily


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=115962:mufti-dengan-fahaman-bughahnya&Itemid=2#ixzz2pySamMg3
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter
Seterusnya >>>

Setiap kenaikan bebankan rakyat, Najib faham tak?


KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa kerajaan BN akan memastikan kadar kenaikan tol- yang belum dimuktamadkan itu- tidak akan membebankan rakyat, sekali lagi mengguris hati rakyat terbanyak.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, pemimpin BN seharusnya memahami bahasa rakyat bahawa 'setiap kenaikan adalah membebankan'.

Menurutnya, pada rakyat tiada istilah 'kenaikan yang tidak membebankan' dan kenyataan itu hanya keluar dari mulut-mulut menteri BN sejak sekian lama, sedangkan rakyat yang menanggung beban.

"Kita masih ingat, sebelum pilihan raya dahulu mereka janji akan menurunkan tol secara berperingkat.

"Tapi hari ini, mereka tidak menunaikan janji itu apabila bertindak mahu menaikkan lagi kadar tol tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Perdana Menteri semalam menegaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan mengenai kenaikan kadar tol dan pertimbangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas kajian makmal secara mendalam dilakukan.

Najib berkata, kajian makmal itu penting kerana kerajaan mahu pendekatan terbaik bagi memastikan 'pengguna tidak terbeban' jika pengumuman kadar baharu tol terpaksa dibuat kerana penangguhan kenaikan seperti dituntut konsesi telah dilaksanakan sejak 2008 lagi.

Mengulas lanjut perkara itu, Suhaizan berkata, jika BN sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, langkah yang sewajarnya diambil adalah mengkaji untuk menurunkan harga sekaligus menghapuskan tol pada masa akan datang dan bukannya mengkaji untuk terus dinaikkan.

"Inilah yang kita lihat kelemahan ketara kerajaan BN hari ini. Semua benda yang dibuat kajian oleh makmal kajian adalah untuk tujuan dinaikkan harga.

" Petrol naik, tol naik, gula naik, elektrik naik, gas memasak naik, ais naik dan kita jangka beberapa barangan lagi akan naik.

"Ini tidak termasuk kesan berantai dari kenaikan itu yang menyebabkan kos perkhidmatan, barangan keperluan harian serta harga makanan meningkat mendadak," katanya.
Beliau juga menegaskan,jika pemimpin BN sukar baham bahasa keluhan rakyat, maka rakyat bersedia untuk menggunakan bahasa 'jalan raya' untuk membuat bantahan.
Seterusnya >>>

Masih bergunakah Perdana Menteri kepada kita?

Kedudukan penyandang jawatan Perdana Menteri paling dipertikaikan ketika ini. Ketika rakyat bergelut dengan bermacam-macam masalah dan kesulitan, di samping isu demi isu yang muncul serta menjadi perdebatan ramai, seorang Perdana Menteri yang seharusnya memainkan peranan meredakan keadaan dan menunjuk jalan penyelesaian lebih banyak membisu dan menghilangkan diri daripada memainkan peranan yang sewajarnya.

Ketika rakyat bising dengan kenaikan harga barang dan melakukan demonstrasi bantahan mengenainya, Najib yang menjadi Perdana Menteri lebih selesa menghabiskan masanya bercuti bersama keluarga. Sehingga kini ke mana percutian hujung tahun Najib, sama ada ke Sydney, Los Angelas atau hujung dunia yang lain, masih lagi menjadi misteri.

Tapi yang pastinya, ketika rakyat bising, merungut dan digelar bughah, beliau sedang bersenang-lenang di luar negara.

Ketika isu kalimah Allah muncul kembali dan menghangatkan pertikaman antara Islam dan Kristian, walaupun beliau ada di dalam negara tetapi keberadaannya tidak memberi erti. Sudah berminggu-minggu isu ini menjadi perdebatan, apa pendirian Najib sebagai Perdana Menteri langsung tidak diketahui.

Beliau bukan saja tidak mahu menyatakan pendiriannya, malah tidak mahu bercakap dengan media mengenainya. Begitu juga, walaupun beliau turut mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet ketika isu kalimah Allah ini sedang hangat diperkatakan, kita juga tidak tahu sama ada ia dibincangkan atau tidak. Yang kita tahu, sehingga ini Najib masih membisu mengenai isu Allah ini sedangkan sebahagian punca timbulnya masalah ini adalah daripada tindakannya menyetujuinya formula 10 perkara dengan penganut agama Kristian pada 2010 dahulu.

Begitu juga, ketika harga barang naik, kos sara hidup meningkat dan rakyat dipaksa mengikat perut, apa yang kita dengar perbelanjaan kerajaan untuk menampung kehidupan keluarga Perdana Menteri terus bertambah, termasuk bertambahnya jet mewah yang disewa.

Hutang negara yang semakin membesar dan hampir mencecah tahap 55 peratus iaitu kategori yang boleh dianggap muflis, ia langsung tidak menzahirkan perubahan kepada gaya hidup, gaya perbelanjaan dan langkah berjimat cermat Perdana Menteri dan kerajaan.

Dalam analogi yang mudah, Perdana Menteri adalah umpama nakhoda bagi sebuah kapal. Dalam pelayarannya kapal itu, nakhoda inilah yang semestinya memainkan peranan untuk memastikan perjalanan sentiasa selamat, cukup bekalan makanan, anak-anak kapal terpelihara, tiada kemalangan atau kecederaan apabila ribut dan badai melanda serta menentukan pelbagai perkara lagi. Yang penting, nakhoda mesti tahu peranannya dan sentiasa berperanan ketika saat-saat genting.

Tidak dikatakan nakhoda yang baik apabila seseorang nakhoda itu tidak memainkan peranan sepanjang pelayaran sehingga kapal sering terumbang-ambing, dimasuki air dah tidak tentu hala tujunya.

Dalam kedudukan Najib yang sering tidak berperanan, membisu dan mendiam diri terhadap berbagai isu yang muncul sedangkan beliau sebagai nakhoda begitu dituntut peranannya, beliau kini tidak ubah seperi nakhoda yang gagal dan tidak berguna. Tindakannya yang tidak mahu bersuara atau takut bersuara di ketika rakyat dibebankan dengan banyak permasalahan menjadikan beliau semakin tidak berperanan di mata rakyat.

Negara seolah-olah tiada Perdana Menteri ketika isu kalimah Allah ini hangat diperkatakan. Ia seperti dibiarkan begitu saja tanpa sebarang kawalan dan panduan. Semua orang boleh bercakap, menuduh, mengkritik, menghentam dan melemparkan tuduhan kepada sesiapa saja.

Amatlah malang dalam keadaan yang boleh mencetuskan perbalahan bila-bila masa ini, Mahathir terpaksa bersuara dan mengajar Najib seperti menyarankan supaya kerajaan berjimat cermat dan mengurangkan kos serta meminta pihak swasta menyuarakan kebimbangan dalam isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan mengembalikan ISA dalam menangani kemelut isu kalimah Allah yang kian memuncak sekarang ini.

Ini nyata berbeza ketika era Mahathir dulu. Semua perkara dalam kawalannya dan semua isu yang berbangkit akan mendapat perhatian daripadanya. Tidak pernah, walau sekecil mana sesuatu isu itu yang tidak mendapat perhatian daripadanya. Begitu juga ketika zaman Pak Lah, walaupun beliau dituduh lemah dan tidak sepantas Mahathir tetapi dalam semua isu yang berlaku, suaranya tetap kedengaran.

Apabila seorang Perdana Menteri bersuara dan memberi kenyataan dalam sesuatu isu, sekurang-kurangnya petunjuk kepada jalan penyelesaian dapat dilihat. Berbanding sekarang, dalam isu kalimah Allah misalnya, oleh kerana Najib memilih untuk berdiam diri dan membisu, ke arah mana penyelesaiannya masih lagi menjadi kabur dan tidak ketahuan. Semua orang seperti dibiarkan menyalakan api dan mencurahkan minyak.

Dalam hal ini, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri atau nakhoda kepada sebuah kapal, hampir tidak ada. Oleh kerana peranan Perdana Menteri lebih terlihat dalam aspek perbelanjaan mewah dan pemborosan sahaja, kelakuannya tidak ubah seperti nakhoda yang asyik tidur ketika kapal sedang belayar tetapi hanya muncul ketika waktu makan sahaja. Sungguh jelek nakhoda seperti itu.

Di mata rakyat, itulah kedudukan Najib sekarang. Ada atau tiada beliau, hampir tiada bezanya. Kedudukan Perdana Menteri sebagai nakhoda, penunjuk jalan dan pembimbing dalam meredakan keadaan apabila berlaku krisis, nampaknya sudah tidak berfungsi lagi. Malah dalam banyak keadaan, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri lebih merupakan beban dan masalah kepada rakyat.

Sudah ramai yang menyoal, apa gunanya seorang Perdana Menteri kepada kita sekarang ini?

Selagi Najib atau yang sefesyen dengannya menjadi nakhoda negara ini, jawatan Perdana Menteri bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah lebih dianggap beban yang hanya meningkatkan kos saraan semata-mata. 

-/ http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Seterusnya >>>

‘BUGHAH’ berjaya alih isu kenaikan harga barang

‘BUGHAH’ berjaya alih isu kenaikan harga barang
KUALA LUMPUR - Kini sudah lebih seminggu isu kos sara hidup tenggelam oleh kerana isu 'bughah' mengambil tempat perbincangan Masyarakat Melayu Islam di luar bandar khasnya sehingga menenggelami isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Adakah isu 'bughah' akan menangguhkan kenaikan harga tol lebuhraya dan kenaikan tarif elektrik dalam negara kita?” tanya Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar dalam satu kenyataan.
Menurut Iskandar, isu kenaikan tarif elektrik pernah seketika menjadi topik tetapi turut tenggelam dengan isu 'bughah' yang menyentuh sentimen masyarakat Melayu Islam.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Harga barang tidak naik? Tahun 2014 adalah tahun kenaikan barangan keperluan harian berikutan sudah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 yang lalu, Barisan Nasional sudah mendapat mandat daripada rakyat untuk terus memerintah.
Dan Barisan Nasional juga mendapat mandat untuk menarik subsidi dan yang akan memberikan kesan langsung kenaikan harga barang dari sekecil-kecilnya hinggalah yang paling besar.
Barisan Nasional juga turut meluluskan kebenaran kepada beberapa syarikat perkhidmatan seperti pengguna lebuhraya dan tarif eletrik untuk menaikan harga sedia ada.
Siapakah yang akan terkesan dengan kenaikan ini? Sudah tentu rakyat yang berpendapatan rendah yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Melayu Islam dan orang kampung yang duduk di luar bandar.
Siapakah yang mengenali Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak yang begitu popular dikalangan Mufti-Mufti di Malaysia?
Sudah tentu Masyarakat Melayu dan Islam yang duduk di luar bandar atau kampung-kampung Melayu amat meminati Tan Sri Harussani cara persembahannya. Apa yang keluar dari mulut 'orang penting' ini akan menembusi pemikiran orang Melayu Islam terutamanya.
Satu himpunan besar-besaran telah dianjurkan pada malam tahun baru yang lalu oleh Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang dapat perhatian ramai dan kebetulan tahun 2014 adalah Tahun Melawat Malaysia.
Banyak pihak mengecam himpunan tersebut kerana isu yang di bawa adalah bertujuan mengguling kerajaan, tetapi tampaknya hanya mainan pihak-pihak yang bersetuju agar kerajaan yang diperintah Barisan Nasional tidak hairan dengan kos sara hidup rakyat meningkat berikutan penarikan subsidi, perkhidmatan dinaikkan harga dan langsungnya barangan keperluan turut menyumbang naik.
Dengan satu tuduhan mengguling kerajaan, Tan Sri Harussani menggelar mereka yang berhimpun tersebut sebagai 'bughah' dan darah mereka halal serta wajar diambil tindakan drastik yang membahayakan suasana dalam negara kita.
Apakah tujuan kenyataan Tan Sri Harussani tersebut sebenarnya? Dengan kata mudah, ianya telah berjaya mengalihkan isu sebenar iaitu kesan kenaikan barang tidak dibincangkan secara umum tetapi isu 'bughah' menjadi topik perbincangan semua.
Siapakah yang membincangkan isu kos sara hidup dan isu 'bughah'? Sudah tentu Masyarakat Melayu / Islam di luar bandar tertarik dengan kedua-dua isu tersebut.
Kini sudah lebih seminggu isu kos sara hidup tenggelam oleh kerana isu 'bughah' mengambil tempat perbincangan masyarakat Melayu Islam di luar bandar khasnya, berjaya juga isu bebanan rakyat dialihkan tetapi harga barang tetapi naik tanpa disedari dan dibantah.
Adakah isu 'bughah' akan menangguhkan kenaikan harga tol lebuhraya dan kenaikan tarif elektrik dalam negara kita?
Ada seketika isu kenaikan tarif elektrik menjadi topik tetapi turut tenggelam dengan isu hangat iaitu 'bughah' yang begitu mendalam perhatian masyarakat Melayu Islam yang mengikutinya sepanjang masa tanpa memikirkan isu lain yang sedia ada.
Tahniah BN dan penyokong-penyokong tegar mereka kerana berjaya 'melembutkan' hati rakyat yang marah oleh kerana tekanan sara hidup yang semakin hari semangkin meningkat.
Marah rakyat berjaya dilembutkan kerana rakyat tidak tertumpu dengan membincangkan masalah di depan mata mereka, tetapi membincangkan perasaan mereka yang sayangkan kepada bangsa dan agama mereka.
Senjata ampuh ini begitu berkesan tanpa disedari dan ianya meninggalkan kesan mendalam serta tidak menjejaskan kenaikan yang tidak ditentang oleh rakyat yang sebahagian terkesan olehnya.
 -/  Harakahdaily
Seterusnya >>>

Rakyat terbeban, angkara BN gagal mengurus


Rakyat Malaysia bernasib malang memiliki pemimpin negara yang tidak berwibawa, sehingga gagal mencegah penyeludupan, menjadi sebab kerajaan mengenakan GST. Inilah alasan pak pandir yang dikeluarkan oleh pemimpin BN. Sebelumnya kerajaan menaikkan harga gula kerana mengelak rakyat mengidap penyakit  kencing manis. 

Menurut  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015, mampu menyumbang pertambahan 0.3 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport sebanyak 0.5 peratus pada 2015/2016. 

Kerajaan menjangkakan negara akan mengumpul pendapatan bersih hasil GST sebanyak RM3.7 bilion pada 2015 dan RM9.09 bilion pada 2016. Jika dinisbahkan dengan ketirisan dan salah laku ketika berbelanja hampir RM10 bilion setiap tahun seperti yang dilapor oleh Ketua Audit Negara, pertambahan itu tidak bermakna.

Menurut Ahmad, negara membangun seperti Malaysia mempunyai kadar peratusan wang gelap atau aktiviti pengelakan cukai, yang tinggi iaitu sekitar 30 peratus daripada keseluruhan KDNK, berbanding negara maju sekitar 10 hingga 15 peratus.

Ertinya akibat kelemahan kerajaan mengawal penyeludupan wang haram dan mengelak cukai, rakyat pula dibebankan. Sebenarnya pemimpin BN sudah tepu otak mereka untuk menjana kewangan  negara sehingga terpaksa dibebankan kepada rakyat dengan dikenakan GST. 

Sebenarnya kantung negara kosong kerana ketirisan, rasuah, penyeludupan, pengaliran wang haram. Ketika hasil Petronas melimpah ruah, kerajaan tidak beringat dan berbelanja dengan tidak berhemah. Jika kerajaan BN berwibawa dan bijak, tidak timbul masalah negara mengalami krisis kewangan. 

Cuba bayangkan ketika GST belum bermula, kehidupan rakyat di ambang tahun 2014 di dalam keadaan muram durja akibat kenaikan kos sara hidup. Tahun 2015 rakyat akan tercekik dengan bebanan GST. Pemimpin BN masih bermewah, tidak pula merasa bersalah dengan apa yang berlaku. Teguran pembangkang dibakul sampahkan sahaja.
Seterusnya >>>

Kadir Jasin: Najib 'keramat hidup' tak boleh disentuh?


Tokoh wartawan A Kadir Jasin mempertahankan siri kritikannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya boros, cemerkap menguruskan kewangan dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat.

Ini kerana, menurut bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu, masih banyak masalah membimbangkan dalam pentadbiran Najib, selain kesan negatif rasionalisasi terhadap ekonomi.

“Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?

“Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?” sindir Kadir.

Menulis di blognya semalam, Kadir juga membangkitkan langkah Najib dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara dan kemudian “menjanjikan khabar buruk” kepada rakyat dengan memansuh dan mengurangkan subsidi secara serentak.

Dalam tulisan panjang itu, Kadir juga membangkitkan soal kemerosotan nilai ringgit, masalah defisit belanjawan, hutang negara yang makin meruncing serta penjualan aset bagi mengatasi masalah kewangan negara.

“Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya,” katanya lagi.

-/ Malaysiakini
Seterusnya >>>

Dengar rintihan bukan rendahkan suara rakyat


MAPIM berpendapat sangat penting para ulama berperanan menjernihkan keadaan ketika umat menghadapi kemusykilan menghadapi isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut hidup akibat kepincangan urustadbir pemerintah.

Di kala umat sangat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan dari pemerintah dan bila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan agar masalah mereka didengari, ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu.

Rakyat mengharapkan ulama menegur umara supaya tidak terus mengenepikan keresahan rakyat.

Untuk mendakwa penyaluran maklumat mengenai isu kos sara hidup kepada perdana menteri tidak diusahakan adalah tidak tepat.

Suara rakyat, termasuk ahli akademik dan pemimpin politik dalam dan luar kerajaan yang dikumpul dan disiar dalam media sepatutnya sudah cukup untuk perdana menteri memberi respon yang wajar terhadap keresahan rakyat.

Tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut agar kos sara hidupkan diturunkan.

Sudah banyak pengajaran dari negara-negara di seluruh dunia bila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban rakyat .

Lagi pun perkataan mengguling kerajaan telahpun dinafikan oleh pihak yang penganjur perhimpunan dan siasatan telahpun dijalankan oleh pihak polis.

Ternyata yang menjadi arahan polis ialah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan.

'Persepsi perlu dibuktikan'

Jika tuduhan niat asal untuk menggulingkan kerajaan masih diungkit maka ia hanya persepsi yang perlu dibuktikan.

Perhimpunan Turun yang diadakan oleh pihak penganjur jelas bermakna mendesakkan pihak kerajaan menurunkan kos sara hidup bukan menggulingkan kerajaan.

Pilihan menubuh atau menukar kerajaan melalui pendekatan demokrasi masih menjadi pilihan rakyat.

Rakyat sudah biasa dengan terlibat beramai-ramai dalam perhimpunan yang tidak dibenar oleh -pihak keselamatan namun tidak berlaku usaha penggulingan kerajaan seperti yang diuar-uarkan.

Kerap ditegaskan bahawa perhimpunan yang hendak diadakan adalah perhimpunan aman.

Namun jika ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk melakukan provokasi ganas dengan bertindak liar atau membawa senjata maka ia harus disiasat dan bukan terus didakwa ia bukti pihak penganjur mahu melakukan kekerasan.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan dari maklumat yang tidak tepat dengan hanya bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

Kami sangat mengharapkan ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat agar penyelesaian yang lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding  berterusan.

-/ Malaysiakini   

Seterusnya >>>

Anak Mahathir kata Perkasa banyak mengarut

Marina: Perkasa banyak mengarut
KUALA LUMPUR - Walau dikecam pelbagai pihak, termasuk dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir mengambil pendekatan enggan layan.
Menurut Marina, beliau tidak akan membuang masa membalas komen yang dilemparkan terhadapnya ekoran hadir menyokong perhimpunan penganut Kristian di Gereja Our Lady of Lourdes di Klang, Ahad lalu.
"Saya tidak mahu mengulas mengenai Perkasa kerana mereka banyak bercakap mengenai perkara mengarut," katanya dipetik sebuah portal, semalam.
Marina yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sister in Islam (SiS) berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pertama Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).
Terdahulu, Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mempersoalkan tindakan Marina menghadiri perhimpunan menyokong penganut Kristian tersebut.
Menurut Irwan Fahmi, Marina sengaja mahu mencetuskan kontroversi dan mencari publisiti murahan ketika isu berkaitan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam hangat diperdebatkan.

-/ Sinar Harian
Seterusnya >>>

Bibit perbezaan Najib dan Muhyiddin mula ketara


Sekembalinya daripada percutian hujung tahun dan negara diselebungi dengan pelbagai masalah serta kekalutan, Perdana Menteri, Najib Razak seperti tidak menyembunyikan kekecewaan sepanjang hanya tidak sampai dua minggu ketiadaannya. Dalam kemunculan sulungnya di tahun 2014 ini iaitu berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, antara perkara yang disentuh Najib dalam ucapannya ialah meminta semua pihak bertenang dan mengikut saluran undang-undang dalam isu berkaitan kalimah Allah yang kembali hangat ketika ini.

Isu kedua yang disentuh Najib ialah berkenaan subsidi dan dengan tegas beliau menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi akan tetap diteruskan sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan. Ini bermakna selepas pemotongan subsidi beberapa bulan lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak dan petrol, di masa mendatang ini akan berlaku lagi beberapa kenaikan akibat pemotongan subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Ketika isu kalimah Allah mula meletus dan UMNO Selangor berhasrat mengadakan demonstrasi di depan gereja bagi menyatakan bantahan, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyatakan sokongan terhadap langkah itu dengan menyatakan ia merupakan hak UMNO Selangor untuk berbuat demikian.

Demo di depan gereja itu, walaubagaimanapun akhirnya dibatalkan setelah Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar tidak membenarkannya, sebaliknya telah diadakan di padang Kelab Sultan Sultan, Kelang yang turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO negeri itu.

Tetapi sokongan Muhyiddin itu telah diketahui umum dan ia berlaku ketika ketiadaan Najib di dalam negara.

Ketika ketidaan Najib juga di mana setelah berlakunya demonstrasi membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada malam sambutan sambutan tahun baru, Muhyiddin turut berkata bahawa kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi secara holistik bagi memastikan ia benar-benar membantu golongan sasaran iaitu rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Dalam kedua-dua perkara yang disentuh oleh Muhyiddin, ia jelas ada perbezaan dengan pendekatan Najib. Ketika Muhyiddin menyokong demonstrasi di depan gereja, Najib mahu semua pihak bertenang. Ketika Muhyiddin membuat kenyataan lunak bahawa rasionalisasi subsidi akan dilihat dan dikaji semula, Najib tetap bertegas dengan berkata "tidak" mengenainya.

Selain memperkenalkan dasar 1Malaysia, Najib juga memperlihatkan dirinya lebih toleransi dengan penganut Kristian. Beliau bukan saja mengunjungi Pope dan menjemput paderi Kristian beramah-mesra dengannya, malah menginisiatifkan penyelesaian 10 Perkara yang antara lainnya membenarkan penggunaan nama Allah dan pengedaran Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin pula, dengan melihat perkembangan semasa yang menunjukkan semakin membesarnya kemarahan golongan konservatif Islam berhubung penggunaan kalimah Allah ini, cuba menonjolkan dirinya bersama-sama dengan perjuangan mereka itu. Sokongannya terhadap demonstrasi di gereja (walaupun tidak menjadi) tetapi telah menunjukkan Muhyiddin lebih pro Islam berbanding Najib.

Begitu juga dengan kenyataannya untuk melihat semula dasar rasionalisasi subsidi, selari dengan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, Muhyiddin juga cuba menunjukkan beliau pro rakyat.

Namun, Najib nampaknya tidak menunggu lama untuk memangkah kenyataan Muhyiddin itu dan memberitahu bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan nakhoda dalam negara ini, walaupun dalam suasana semakin banyak masalah dan penyakit yang timbul.

Najib, menurut ramai pemerhati, dengan meminta semua pihak bertenang berhubung isu kalimah Allah dan kemudian menyatakan subsidi tidak mungkin akan dikekalkan, walaupun menujukannya kepada semua rakyat tetapi seperti dalam masa yang sama sedang menyindir timbalannya itu.

Lebih-lebih lagi, kelihatan wajah Muhyiddin yang tidak ceria dan macam mencuka ketika berdiri di belakang Najib di perhimpunan itu. Di dalam akhbar dan beberapa portal berita, wajah Muhyiddin yang masam itu amat jelas kelihatan, malah mereka yang menonton berita di televisyen juga menyatakan perkara yang sama.

Bibit perbezaan antara Najib dan Muhyiddin ini bukan saja mula dirasai, malah sudah mula menjadi bualan di kalangan rakyat dan di dalam UMNO sendiri. Dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang, Najib bukan saja semakin kurang popular, malah keyakinan terhadap kepimpinannya sedang berada di tahap paling rendah sekali.

Berlakunya terus perbezaan antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua memang sukar dielakkan, tidak terkecuali antara Najib dengan Muhyiddin tetapi kebijaksanaandan kecekapan akan menentukan bagaimana ianya akan berakhir nanti. 

-/http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Seterusnya >>>

Kerajaan Anakku Sazali, siapa Sazali hari ini – Zaharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti mencari kelemahan dan musuh yang sebenar menyebabkan ekonomi Malaysia merosot dengan pendapatan negara dari segala cukai dan hasil tidak mencukupi mentadbir kerajaan.  

“Kerana musuh itu bukan berada di luar, sebaliknya di dalam tubuh kerajaan itu sendiri. Carilah,” tulis Setiausaha Penyelaras Barisan Nasional P124 Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan, Zaharin Mohd Yasin di dalam blognya.

Menurutnya, dasar penswastaan yang diguna pakai sekarang adalah ditiru daripada British apabila mereka menghadapi ekonomi yang lemah bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan tetapi hari ini dasar penswastaan Kerajaan Barisan Nasional telah membebankan rakyat. 

Bagi beliau, sepatutnya yang berlaku ialah penswastaan akan membantu rakyat dan kerajaan dapat hasilnya tetapi apa yang berlaku hari ini, kerajaan bergantung kepada syarikat-syarikat penswastaan seperti alat sokongan hayat. 

“Maka rakyat menjadi bingung, maka bertanya lagi rakyat. Adakah kerajaan membuat perniagaan dengan rakyatnya?” tanya beliau

Menurut beliau, kesimpulannya apa yang berlaku hari ini bukan salah rakyat, sama ada seperti yang berlaku kepada ‘Anakku Sazali’.

“Yang mula-mulanya si bapa selalu menyebut anakku Sazali dan akhirnya menjadi penderhaka kerana dia dipelihara dengan dimanjakan. Bapa Sazali memanjakan Sazali kerana terlalu sayang akan anaknya. Kerajaan BN memanjakan rakyat mahukan sokongan. Itu sahaja perbezaan,” tulisnya lagi.

Beliau yang menggunakan nama Sang Kelambai di akhir tulisannya menyatakan: Teringat dialog Sazali. Sazali ada banyak pengikut dan mereka sanggup mati kerana Sazali. Siapa Sazali hari ini?

-/ Harakahdaily
Seterusnya >>>

Cuba alih isu kenaikan kos sara hidup? - Suaram

bn-barang-naikKUALA LUMPUR 6 JAN: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu pejabat Bible Society Malaysia (BSM) seolah-olah buba mengalih perhatian orang ramai dari isu kenaikan kos sara hidup.
“Apakah serbuan yang dilakukan itu hanyalah satu langkah politik yang digunakan untuk mengalihkan perhatian orang ramai mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Ini berikutan tindakkan tersebut dibuat serta-merta selepas perhimpunan bagi membantah kenaikkan harga barangan berjaya dianjurkan oleh kumpulan pelajar dan belia pada 31 Disember 2013 menyaksikan lebih 10,000 rakyat turun ke Dataran Merdeka,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng
2 Januari lalu, Jais) menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan menahan pengerusinya, Lee Min Choon dan setiausaha agung, Simon Wong.
Jais turut merampas 321 salinan bible dalam bahasa Melayu dan 10 naskah lagi dalam bahasa Iban.
Suaram turut menyifatkan Jais gagal kerana tidak berunding dahulu dengan kerajaan negeri Selangor.
Exco Agama Selangor, Sallehan Mukhyi pada hari sama berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Jais untuk melakukan serbuan.
Jais dalam kenyataannya sehari kemudian memberitahu agensi itu terlupa memaklumkan jabatan-jabatan berkaitan dalam kerajaan negeri.
Justeru, Sallehen meminta pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad menyediakan laporan berhubung serbuan tersebut.
Seterusnya >>>

Segerakan rekonsiliasi nasional wahai Najib

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melaksanakan segera agenda Rekonsiliasi Nasional seperti yang dicadangannya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inilah masa sebenar dan terbaik bagi mewujudkan Rekonsiliasi Nasional antara Kerajaan BN dan Pakatan Rakyat khususnya bagi menangani kemelut ekonomi dan pertentangan agama yang sedang melanda negara.

Menurutnya, dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, nampaknya BN seolah-olah tidak mampu lagi menanganinya.

"Saya menyambut usul yang dibawa oleh perdana menteri tentang agenda rekonsiliasi selepas pilihan raya umum yang lalu.

"Kalaulah kerajaan dalam kemelut ini sudah tidak boleh menangani isu ekonomi dan pertentangan agama maka sudah sampai masanya rekonsiliasi dilaksanakan tapi bukan kerajaaan perpaduan yang kita mahu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau berkata, BN dan Pakatan Rakyat harus mengambil langkah-langkah tertentu bagi menangani krisis ini.

"Kedua-dua pihak mengadakan langkah-langkah untuk menangani dua krisis ini yang pastinya melibatkan reform dan langkah penambahbaikan institusi kerajaan," katanya.

Ujarnya lagi, antara cadangan merealisasikan agenda itu ialah membentuk kaukus di parlimen secara dwipartisan dan sidang parlimen khas untuk membincangkan agenda tersebut.

-/ Harakahdaily
Seterusnya >>>