Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, August 26, 2010

Presiden PAS: Waspada Dengan Mainan Api Perkauman

Permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kita ini. Keadaan ini tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan. Kegagalan inilah juga yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa UMNO akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara kita ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok UMNO-putra. Ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara kita, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO-BN.

Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN dikala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini.

Oleh itu, saya menyeru agar semua lapisan rakyat dalam negara kita agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan UMNO-BN.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan UMNO-BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

TUN MAHATHIR UGUT MELAYU

Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal dengan kenyataan Tun Dr Mahathir mengugut melayu supaya bersatu atau hilang kuasa politik kepada bukan melayu jika terus berpecah. PAS berpandangan Dr Mahathir sengaja buat tidak faham senario politik di negara ini. Berkali-kali PAS tegaskan kepada rakyat kalau umno kalah yang menangnya ialah PAS. Umno akan berhadapan dengan PAS di kawasan kerusi Melayu, yang tukarnya parti sahaja yang membawa dasar yang lebih jauh baik daripada umno. Memang beliau ini jenis manusia yang buat-buat tidak faham.
Baca lagi di sini >>

Jambatan Perlis-Langkawi: Mat Jenin Berangan-angan Lagi

Polemik jambatan Perlis – Langkawi buat masa ini agak panas seolah-olah jambatan itu akan mula dibina tahun hadapan. Saya fikir ada banyak tujuan tersirat di sebalik polemik ini.

Mungkin mengalih isu, menarik perhatian, menunjuk hebat atau mempromosikan syarikat, semuanya serba mungkin.

Dua buah syarikat bakal mengemukakan cadangan kepada kerajaan Perlis pada September ini. Saya percaya cadangan itu bakal diterima. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Mengapa cadangan ini hanya bakal dikemukakan kepada kerajaan Perlis? Kedah bagaimana? Bukankah Langkawi sebahagian daripada wilayah Kedah?

Baca lagi di sini

Lawatan Najib Ke Perlis

Berakhirnya Suatu Penantian

1. Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya melawat Perlis pada tanggal 20 Ogos 2010 sekaligus menamatkan penantian rakyat Perlis selama 504 hari sejak Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009.

2. Selain daripada kakitangan kerajaan dan lebih kurang 15% dari pimpinan akar umbi UMNO di Cawangan, ketibaan Datuk Seri Najib di majlis berbuka puasa disambut oleh ramai mahasiswa dari institusi pengajian tinggi di Perlis.

Baca selanjutnya
di sini

Tuesday, August 24, 2010

Doa Untuk Bukan Islam Ketika Khutbah & Bersin

Dipetik daripada website Ust Zaharuddin Mohammad
(http://www.zaharuddin.net/content/view/950/72/)

Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan "blessed you". Terima kasih

JAWAPAN

InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di tanahair.

Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang info jelas berkenaannya.

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

a. HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.

Imam An-Nawawi menyebut :

وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-

  • · Firman Allah :-

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)

  • · Hadis Nabi :

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )

Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )

b. HUKUM HARUS

Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.

Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-

  • · Hadis nabi : -

فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).

  • · Hadis nabi :-

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)

Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, elok ditukar kepada "May you be guided" atau apa-apa yang seerti dengannya. Jika disebut 'get well soon' juga dibenarkan ia ia bersifat dunia.

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)

  • · Hadis nabi :

Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين

Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)

Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.

KESIMPULAN

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله

Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 Ramadan 1431 H

23 Ogos 2010

Wednesday, August 18, 2010

Pementasan semula bangsawan Melayu, opera Cina 1987 : Mahfuz

Sejak 13 Mei 1969 pentas politik bangsawan Melayu dan opera bangsawan Cina menjadi daya tarikan untuk dipersembahkan di khalayak. Peristiwa 13 Mei telah tersedia maklum akan latar belakang politik pada waktu itu.

Pementasan 1987 dipentaskan pada ketika keadaan politik Malaysia dilanda dengan krisis kepercayaan rakyat berbilang kaum terhadap parti-parti politik perkauman yang mewakili kaum masing-masing khususnya dua parti politik Melayu dan Cina iaitu Umno dan MCA.

Masyarakat Cina hilang kepercayaan terhadap parti dan pimpinan MCA yang dilihat gagal membela dan melindungi bangsa Cina. Sebaliknya pimpinan MCA dilihat membina kekayaan denasti kepimpinan mereka.

Begitu juga dengan parti dan pemimpin Umno yang dilihat mengamalkan kronisma dan nepotisma untuk memunggah dan mengumpul kekayaan suku sakat mereka.

Krisis dalam kepimpinan Umno nampak jelas menjejaskan kedudukan Umno sebagai parti tulang belakang BN ketika itu. Orang Melayu kususnya ahli Umno mula memperikaikan Umno dan pemimpinnya.

Bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Melayu pada Umno dan Cina pada MCA maka dipentaskanlah pentas bangsawan dan opera politik perkauman untuk disandiwarakan di seluruh negara dengan pelakon utamanya Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Lee Kim Sai.

Dihunuskan keris bangsawan Melayu dan pedang opera Cina bergegak gumpita seluruh negara. Datuk Lee Kim Sai lantang memperlihatkan keberanian dia mempersoalkan hak Melayu. Umno pula berlagak seperti Hang Jebat pembela ketuanan Tuah.

Umno mencadangkan himpunan umat Melayu di Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Jelajah mereka seluruh negara berpesan pada Melayu jangan lupa bawa mancis api dan senjata tajam ke perhimpunan Melayu di Kuala Lumpur untuk bakar rumah Cina dan basahkan Kuala Lumpur dengan darah orang Cina.

Seluruh negara jadi tegang keluarlah ilmu kebal selendang merah di kalangan bangsa Melayu. Akhirnya polis mengumumkan perhimpunan tersebut tidak dibenarkan.

Maka, berlakulah Operasi Lalang ISA yang menahan pemimpin pembangkang dan NGO yang dikambinghitamkan dari tragedi ini. Pelakon watak utama sandiwara bangsawan Melayu dan Opera Cina, Datuk Seri Najib dan Datuk Lee Kim Sai diberi cuti ke Australia. Pemimpin pembangkang dan NGO diberi cuti rehat di Kem Kemunting.

Melayu pun terpanggilah kononnya untuk terus dalam keadaan apa pun mempertahankan Umno kerana dilihat Umno lah hero yang kacak dan berani dalam sandiwara bangsawan ini dan Cina terus dalam apa keadaan pun pertahankan MCA kerana dilihat MCA menjadi hero dan membawa watak yang berjaya kepada Opera Cina yang dipentaskan.

Kini, selepas 23 tahun sandiwara bangsawan Melayu dan Opera Cina dipentaskan dengan jayanya ,sekali lagi sedang dipentaskan semula dalam situasi politik yang sama.

Hanya yang berbeza ialah pelakon utamanya. Kalau dulu Datuk Seri Najib dan Datuk Lee Kim Sai, kini Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Apakah selepas ini ada operasi lalang 2?

Pemimpin pembangkang yang akan dikambing hitam, Umno BN akan terus berkuasa untuk meratah rakyat dan khazanah negara.

Kepada Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) diharap tidak melatah untuk masuk dalam perangkap politik murahan Umno BN yang menjijikan dan membusukkan.

Kepada rakyat pelbagai kaum adalah diingatkan jangan sampai kita menjadi kuda tunggangan Umno BN, kita dipukul untuk berlari laju untuk menang dalam perlumbaan. Bila menang, yang mendapat hadiahnya joki (Umno BN). Kuda tidak dapat apa-apa.

Joki tinggal di hotel mewah makan yang enak-enak, kuda yang kononnya menang tinggal di kandang makan rumput kering sahaja. Jika kalah, kuda ditembak mati (rakyat ditinggal pergi).

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS

Thursday, August 12, 2010

Perutusan Khas Ramadhan 1431H : Ramadhan - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah


Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Sunday, August 08, 2010

Sekitar PAS Sayang Perlis

Ustaz Ya'akub Abu Seman sedang menyampaikan ucapan

Kaunter Pendaftaran Pemilih akan dibuka setiap kali program

Antara orang ramai yang hadir bagi memastikan Perlis bersih

YB ADUN Simpang Empat turut hadir dalam gerak kerja kemasyrakatan

Antara peserta yang hadir bergambar kenangan

Thursday, August 05, 2010

Majlis Pakatan Rakyat Negeri Perlis ditubuhkan


KANGAR - Parti-parti di dalam Pakatan Rakyat di negeri Perlis secara rasminya menubuhkan Majlis Pakatan Rakyat Negeri (MPRN) Perlis.

Persefahaman tersebut termaktub dalam perbincangan yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS Perlis, 5 Ogos lalu yang dihadiri oleh pimpinan PAS, KeADILan dan DAP.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata penubuhan MPRN Perlis bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antar ketiga-tiga parti bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Kita juga akan menggerakkan jentera bersama khusus dalam gerakan mendaftarkan pemilih baru dan juga penerangan," katanya.

Dalam perbincangan yang diadakan itu, kesemua pihak sepakat memilih Ustaz Hashim untuk menerajui MPRN Perlis.

Beliau akan dibantu oleh Adun Kota Darulaman, Lee Guan Aik dari DAP dan Ab Ghani Ismail dari KeADILan sebagai Timbalan Pengerusi.

Setiausah Perhubungan PAS Perlis, Muhammad Syukri akan bertidak selaku Setiausaha dan Dr Ghazali Busseri dari KeADILan sebagai Penolong Setiausaha. Sementara itu, Ketua DAP Cawangan Padang Besar, Teh Seng Chuan dilantik sebagai Bendahari.

MPRN Perlis akan turut dianggotai oleh tiga wakil dari setiap parti.

Perjumpaan yang diadakan itu turut dihadiri Naib Pengerusi KeADILan Perlis, Ko Chu Liang dan Ketua Cabang Arau, Hashim Bakar.

Sementara itu, Guan Aik memberitahu bahawa DAP perlis akan mempunyai pentadbiran sendiri yang berasingan dari DAP Kedah.

"Sekarang DAP Kedah/Perlis diletakkan di bawah satu pentadbiran. Kita akan mengadakan Mesyuarat Agung dan dengan perkembangan terkini yang begitu baik bagi DAP di Perlis, besar kemungkinan DAP Kedah/Perlis akan dipecahkan,"katanya.

Tuesday, August 03, 2010

Sidang DUN Perlis: Kecewa MB tidak hadir rasmi RFC

KANGAR- Wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perlis mempertikaikan kenapa kerajaan negeri Perlis memberikan tumpuan dan usaha bersungguh-sungguh dalam tanaman anggur keranan ianya tidak memberikan pulangan.

Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) yang berucap membahaskan titah ucapan Tuanku Raja Perlis berkata ada pilihan tanaman lain seperti mempelam sala yang mampu memberikan pulangan yang lebih baik.

"Kita tahu anggur bukanlah tanaman yang boleh memberi pulangan yang baik, anggur diusahakan hanya sebagai pertanian pelancongan sedangkan kita mempunyai pilihan lain seperti mempelam sala," katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan kegagalan wakil kerajaan negeri untuk hadir ke majlis perasmian Radix Fried Chicken milik HPA Industries di Kangar baru-baru ini.

Menurutnya, ada mesej yang disampaikan oleh Pengarah Urusan HPA dalam ucapan perasmiannya pada hari itu.

"Kita berasa sedih kerana wakil kerajaan negeri tidak hadir hari itu walaupu Menteri Besar sendiri mengaku untuk hadir merasmikannya. Dalam ucapan Pengarah Urusan HPA, beliau berkata sanggup untuk memberikan peluang kepada pengusaha mempelam sala di Perlis kerana untuk dibuat kordial mempelam,pengeluaran buah mempelam di Perlis hanya cukup untuk tiga bulan sahaja dan syarikat terbabit perlu mengimport buah dari India dengan kuantiti yang lebih baik.

"Kerajaan mestilah mengambil sikap terbuka kepada sebuah syarikat milil rakyat negeri ini yang memberikan sumbangan kepada negeri Perlis ini yang turut memberikan peluang pekerja kepada ratusan orang di negeri ini,"katanya.

Menteri Besar semasa membuat penggulungan berkata beliau tidak dapat hadir kerana mempunyai jadual yang bertindih.

Sidang DUN Perlis: Saya bukan MB 'rubber stamp'

KANGAR- Menteri Besar Perlis, Dato' Sri Dr Md Isa Sabu menolak dakwaan bahawa beliau adalah Menteri Besar "rubber stamp" sepertimana yang didakwa oleh Mantan Menteri Besar (BN-Tambun Tulang), Dato' Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang berucap menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Tuanku Raja Perlis pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis 28 Julai lalu.

Terdahulu, Shahidan dalam ucapannya mendakwa Md Isa tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam mentadbir kerajaan negeri dan menganggap beliau hanya sebagai "rubber stamp".

"Sampai hati Yang Berhormat Tambun Tulang kata saya MB 'rubber stamp',"katanya.
Md Isa berkata, beliau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri besar yang menjalankan tugas mengikut bidang kuasanya tanpa menerima arahan daripada pihak tertentu.

Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan wujudnya perjanjian agihan kuasa antara beliau dengan anggota Exco tertentu kerajaan negeri.

"Tidak benar adanya perjanjian yang mengatakan saya jaga bidang pentadbiran dan ada pula exco yang jaga bidang perniagaan,"jelasnya.

Sidang DUN Perlis: Ustaz Hashim perjelas perpaduan hanya atas dasar Islam

KANGAR - Perpaduan yang berasaskan perkauman tidak akan dijamin sedikitpun berjaya, kata Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang).

Berucap membahaskan Titah Ucapan Tuanku Raja Perlis Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis 28 Julai lalu, beliau berkata perpaduan yang dianjurkan oleh Islam adalah seperti yang termaktub di dalam Surah Ali Imran, ayat 103.

"Suka disebut di sini, kita sebagai orang Islam, Nabi S.A.W tidak berjuang atas dasar assobiyah atau perkakuman. Nabi berpandukan ayat al-Quran, surah Ali Imran, berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah jangan kamu berpecah belah.

"Kalau ayat ini dah sebut begitu dan ayat ini turun dari Allah, maka berbaik-baiklah dengan hablillah, kalau kita cari yang lain dari itu, maka kita tak dijamin sedikitpun untuk kita berjaya dalam usaha kita untuk perpaduan ini,"katanya.

Menurutnya lagi, perkara ini perlu diberikan tumpuan betul-betul kerana dalam keadaan sekarang ini, dari segi politiknya orang ramai sibuk memperkatakan tentang perpaduan PAS-Umno.

"Nak berpadu atas dasar apa? Kita boleh berpadu, tapi biarlah kita dasarkan kepada Islam. Apabila kita berdasarkan pada Islam, maka PAS tak boleh kata apa sebab dasarnya adalah Islam dan Umno pun tak boleh kata apa sebab dasarnya Islam. Inilah yang terbaik yang kita kena lakukan,"jelasnya.

Ekoran itu kata Ustaz Hashim, penumpuan juga perlu diberikan kepada masyarakat bukan Islam di mana mereka tidak boleh ditakut-takutkan berkaitan Islam.

"Bagaimana pukla dengan orang bukan Islam yang kita kena fikir juga. Kita sebenarnya orang Islam tak boleh takutkan orang bukan Islam dengan Islam. Adalah menjadi satu kesalahan besar apabila kita berperanan menakut-nakutlan meraka dgn hukum-hukum Islam

"Oleh kerana itu kita kena tunjuk kepada mereka apa sahaja yang dibuat oleh Islam, umat selain dari Islam pun akan mendapat kebaikan darinya. Sebab itu, pada tahun 1982, apabila kempimpinan PAS bertukar kepada kepimpinan ulama, maka PAS meneruskan usaha-usaha mendekati berdakwah dan memahamkan orang-orang bukan Islam tentang Islam.

"Hasilnya, kini orang bukan Islam kini, sudah bersedia nak berhujah dengan al-Quran, Umno pun dah lama berkawan dengan orang bukan Islam tapi tak mengajar mereka tentang Islam,"ujarnya.

Sidang DUN Perlis: Ustaz Hashim tegur sikap jabatan kerajaan

KANGAR- Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini menyaksikan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) menegur sikap sesetengah jabatan kerajaan yang tidak menjawab surat yang dihantar oleh beliau dan seorang lagi wakil pembangkang, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) khusus berkaitan permasalahan yang dihadapi rakyat.

Beliau membuat teguran demikian dalam ucapannya membahaskan Titah Ucapan Tuanku Raja Perlis yang merasmikan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis Kedua Belas 27 Julai lalu.

"Dalam titah Tuanku Raja semalam ada menyentuh tentang Kod Etika Perkhidmatan Awam, tapi bila wakil rakyat hantar surat tapi tidak dijawab, ini kod etika apa macam ni?

"Saya berharap jabatan kerajaan pada masa-masa akan datang dapat terus berhubungan, sebab kami nak sampaikan hasrat dan rungutan dari rakyat mengenai perkara tertentu, kami bukan nak merosakkan tapi tujuan kami adalah untuk memperbaiki, harap perkara ini boleh berjalan dengan baik,"katanya.

Sidang DUN Perlis: Ketepikan sentimen politik

KANGAR - Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) berharap kerajaan negeri mengenepikan sentimen politik dalam melantik ahli-ahli dalam Yayasan Perlis yang bakal ditubuhkan.

Berucap membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Perlis pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, beliau berkata kerajaan negeri perlu melihat kriteria berasaskan kebolehan dalam bidang tertentu sebelum membuat pemilihan.

"Cuba ketepikan sentimen politik dalam pemilihan ini, yan perlus kita kena tengok mereka yang mempunyai latarbelakang yang baik dalam bidang tertentu selain politik seperti ekonomi atau sukan. Kita kena juga perlu membabitkan NGO-Ngo dalam yayasan ini,"katanya.

Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Md Isa Sabu yang membentangkan rang undang-undang tersebut, antara lainnya bertujuan membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kebajikan penduduk Perlis.

Sidang DUN Perlis lulus usul kutuk Israel

KANGAR- Sidang Dewan UNdangan Negeri Perlis yang bersidang baru-baru ini sebulat suara meluluskan usul mengutuk sekatan dan kekejaman rejim Zionis-Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) yang turut mengambil bahagian membahaskan usul terbabit berkata, siri kezaliman rejim Zionis Israel ini tidak berkesudahan malahan tahap keganasan mereka terus meningkat.

"Masyarakat dunia masih belum mempunyai penyelesaian yang konkrit ke atas isu ini walaupun dipergiatkan untuk memberikan tekanan, tetapi dalam masa yang sama rejim Zionis Israel ini terus mengganas," katanya.

Untuk itu, Ustaz Hashim turut mengemukakan 14 usul sebagai cadangan penyelesaian isu ini termasuk mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan mengenakan sekatan-sekatan ke atas Israel.

Antaranya, Malaysia perlu menjadi pelobi utma gerakan anti-Israel selain memipin para pelobi sokongan untuk rakyat Palestin selaku negara yang menjadi hub untuk memgumpul derma bantuan kepada rakyat Palestin.

Begitu juga, Ustaz Hashim turut mencadangkan agar kerajaan Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan yang sah bukannya Fatah.

"Bukan mudah untuk kita laksanakan pelbagai cadangan-cadangan ini, tapi kerajaan perlu mengambil kesempatan atas kebencian rakyat pada masa ini ke atas isu ini. Kerajaan kena wujudkan semangat bencikan Zionis-Isreal di kalangan rakyat,"katanya

Exco Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah,Jafperi Othman yang menggulung perbahasan usul ini berkata, Amerika Syarikat telah menjadi dalang untuk menjatuhkan pemerintahan hamas di Gazza pada tahun 2007 kerana mereka tidak mahu melihat sebuah kerajaan yang diperintah oleh Hamas yang meahu melaksanakan syariat Islam.