Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, June 24, 2006

Artis jangan jadi alat Umno

Oleh Wartawan Harakah

KANGAR, 24 Jun - Golongan artis di negara ini diminta jangan mejadi alat kepada Umno untuk menjalankan agenda politik mereka walaupun dikatakan parti itu mampu membela nasib mereka.

Exco Dewan pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin membuat seruan demikian apabila diminta mengulas saranan Timbalan Menteri Pelancongan, Dato' Zahid Hamidi yang mahu golongan artis menyertai politik, seperti yang dilaporkan Berita TV1 baru-baru ini.

Zahid berkata demikian dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh seorang artis, Aziz Singah yang kini menjadi Bendahari Umno bahagian Puchong.

Dalam temuramah media, Aziz menyeru agar golongan artis supaya menyertai Umno yang dakwanya boleh membela nasib mereka.

Dalam laporan Harian Metro Edisi Utara berberapa hari lalu pula, artis veteran, Senator Dato' Jins Shamsudin menyatakan tentang usaha untuk menubuhkan sebuah cawangan Umno yang disertai oleh para artis.

"Bukan semua artis mahu sokong Umno," kata Ustaz Zolkharnain ringkas.

Menurutnya, keterlibatan artis dalam politik khususnya dalam Umno dilihatnya sebagai mahu dijadikan sebagai alat untuk kepentingan politik mereka.

"Lihat sahaja pelbagai contoh di mana artis dipergunakan untuk memeriahkan program Umno yang mana tujuan utamanya adalah untuk menarik orang ramai. Dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini, Mawi sendiri telah diarak kesana-kemari," katanya.

Katanya lagi, sepatutnya Umno mendekati golongan artis untuk memberikan bimbingan kepada mereka supaya menjadi "role model" kepada masyarakat.

"Artis perlu difahamkan tentang Islam. Tanpanya mereka akan hanyut dalam dunia glamor dan sebahagiannya pula tebabit dalam gejala maksiat, dadah dan pelbagai lagi," tambahnya.

Selain itu, Ustaz Zolkharnain mempersoalkan mengapa baru kini wujudnya suara agar artis menyertai politik khususnya dalam Umno sendiri.

"Adakah mereka gerun dengan kecenderungan beberapa orang artis atau bekas artis kepada parti pembangkang malahan ada pula yang kini mulai dekat dengan Islam dan menceburi bidang dakwah," soalnya.

Kesal penganjur peraduan memancing tipu peserta

Oleh Wartawan Harakah

ARAU, 24 Jun - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) melahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku semasa pertandingan memancing di Sungai Baru baru-baru ini.

Ini berikutan adanya pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan cuba memperdaya orang ramai dengan pelbagai bentuk hadiah atau cabutan bertuah yang tidak wujud.

Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil melihat kejadian ini sebagai satu kegagalan pihak berkuasa untuk memantau satu program yang besar seperti ini sehinggakan terjadinya kekecohan.

"Ini membuktikan mereka gagal membuat pemantauan sedangkan ia turut diiklan di radio dan dilaporkan disertai tiga ribu orang peserta," katanya.

Dalam kejadian tersebut, para peserta yang berasa terperdaya oleh pihak penganjur yang gagal menyediakan hadiah cabutan bertuah seperti kereta Proton GEN 2 telah mengamuk dan bertindak membelasah dua orang penganjur.

Sebuah kereta penganjur juga turut dihumbankan ke dalam laut.

Dua orang lelaki yang terbabit menganjurkan pertandingan tersebut kini ditahan polis untuk siasatan.

Sehubungan dengan itu juga, Ustaz Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terperdaya dengan apa jua bentuk penganjuran yang menjanjikan hadiah yang lumayan.

"Jangan jadikan budaya masuk sesuatu pertandingan itu semata-mata untuk mengejar hadiah yang lumayan. Sebaliknya jadikanlah sesuatu pertandingan sukan dan sebagainya untuk memupuk silaturrahim dan semangat setia kawan di kalangan masyarakat," katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan Perlis perlu memantau sebarang pertandingan sukan atau yang lainnya yang bakal dianjurkan bagi mengelak berlaku lagi kejadian seperti ini.

"Kita juga tidak mahu rakyat dibudayakan memasuki sesuatu perandingan semata-mata mengejar hadiah atau cabutan bertuah. Saranan MB Perlis agar diharamkan cabutan bertuah adalah satu yang baik," tambahnya

Peserta umrah buat laporan polis, dakwa ditipu penganjur

Oleh Wartawan Harakahdaily

KANGAR, 24 Jun (Hrkh) - Setelah hilang sabar dengan karenah penganjur umrah, berberapa orang peserta yang merasakan tertipu telah membuat aduan polis apabila penganjur gagal memulangkan wang dan pasport mereka. Tiga laporan polis telah dibuat ke atas Mansurah Travel & Tours yang beralamat di Alor Setar, Kedah oleh peserta pakej Umrah dan Ziarah Musim Cuti Sekolah Mei 2006 baru-baru ini.

Seramai 22 orang telah mendaftarkan diri untuk pakej tersebut yang dijangka berlepas ke tanah Suci Mekah pada 26 Mei dan pulang pada 10 Jun. Sejumlah RM81,190.00 telah diserahkan kepada syarikat tersebut.

Namun selepas pembayaran dibuat dan pasport diserahkan, pengajur mengatakan penerbangan pada 26 Mei terpaksa ditunda ke 4 Jun kerana masalah tiket. Hampir dengan tarikh berlepas, ianya ditunda pula ke 6 Jun dan kemudiannya ke 7 Jun dengan alasan tiket dan visa pula.

Para peserta kemudiannya sepakat untuk membatalkan pemergian mereka berikutan masa cuti sekolah yang sudah hampir tamat sedangkan asalnya pakej tersebut adalah untuk musim cuti sekolah.

Oleh itu, mereka telah mengadakan pertemuan dengan pemilik syarikat tersebut pada7 Jun dan beliau telah berjanji dengan hitam-putih untuk menyerahkan semula wang dan pasport dalam masa seminggu (15 Jun).

Namun selepas tarikh tersebut beliau mungkir janji untuk memulangkan wang dan pasport peserta dengan pelbagai alasan yag diberikan. Pihak polis sendiri menasihatkan agar peserta menunggu lima hari lagi sebelum membuat laporan kerana mereka akan cuba membantu menghubungi pemilik syarikat tersebut.

Selepas lima hari, pada 20 Jun lepas tiga orang peserta pakej umrah tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Ketika dihubungi Harakah, salah seorang peserta Abu Bakar Ali menegaskan bahawa pendendahan ini perlu dibuat utuk menyedarkan orang ramai akan kejadian ini.

"Kita dengar sudah ada orang lain yang terkena, jadi kita tidak mahu lagi pekara seperti ini berulang lagi," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Syed Kamal Bharin memerlukan segera wang dan pasport yang dipegang oleh syarikat tersebut. Ini kerana selain pasportnya, turut sama ialah tiga pasport ahli keluarganya.

"Anak saya akan ke Australia Julai ini untuk sambung belajar. Kami sekeluarga juga akan menghantarnya, jadi kami sangat perlukan pasport tersebut," katanya.

Bakal pelajar IPT diingat jangan lupa diri, keluarga dan Islam

Oleh Wartawan Harakahdaily

KANGAR, 24 Jun - Para pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan agar tidak lupa diri, ingat kepada keluarga dan masa depan jemaah Islam.

Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin berkata demikian dalam ucapannya dalam satu majlis penyerahan sumbangan kepada kepada bakal pelajar IPT dari kalangan anak-anak ahli dan penyokng PAS baru-baru ini.

Menurut Ustaz Hashim, para pelajar diingatkan bahawa kejayaan yang dikecapi adalah nikmat daripada Allah dan esok kita pasti akan ditanya tentangnya.

"Ingat kita ini hamba Allah dan kita dijadikan Allah untuk keluarga kita, masyarakat dan Islam," katanya.

Katanya lagi, para pelajar perlulah menjadi seorang yang akan bermanfaat kepada jamaah dan kepada masyarakat dan Islam umumnya pada masa akan datang.

"Apakah sumbangan kita kepada masyarakat dan Islam? Esok-esok jangan kita dilanda penyakit bakhil harta benda, masa dan tenaga untuk dicurahkan kepada jemaah dan masyarakat," nasihatnya.

Ustaz Hashim menegaskan bahawa, para pelajar bukan sahaja membawa amanah keluarga unt
uk menuntut ilmu tetapi juga harapan dan doa setiap ahli PAS di negeri ini agar setiap anak ahli mahupun pimpinan dapat memberikan sumbangan kepada jemaah di kemudian hari.

"Jangan hanya memikirkan kepentingan peribadi, esok nak kerja gaji besar tetapi kena fikir juga Islam dan gerakan Islam yang didokongi oleh ibu bapa kita. Jangan bila dah berjaya bergaji besar kerja baik, kita lupa tanggung jawab kepada Islam," katanya lagi.

Menurut Ustaz Hashim lagi, ibu bapa sudah meletakkan harapan yang tinggi untuk belajar di peringkat tertinggi, jadi jangan selewengkan tanggungjawab ini.

"Ini adalah tanggung jawab yang diberikan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan jamaah sendiri. Ibubapa anak-anak sekalian adalah amilin gerakan islam yang bekerja dan berkorban untuk PAS tanpa memikirkan kepentingan peribadi," jelasnya.

Akhirnya beliau menasihati mereka agar jangan hanyut dengan kebebasan yang ada di IPT yang tidak seperti masa persekolahan dulu.

"Di sana kamu lebih bebas. Kebebasan inilah yang akan merosakan jika tidak dikawal. Jaga nama baik ibu bapa dan jamaah. Kalau sesuatu terjadi yang akan rosak ialah nama keluarga dan juga jemaah PAS sendiri," katanya lagi.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis telah berlangsung di Pejabat Perhubungan PAS Perlis di sini.

Friday, June 16, 2006

Shahidan galak minum kopi pahit
Petikan Berita Harian

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, meminta penduduk mengamalkan minuman tanpa gula dikenali kopi pahit sebagai kempen mengurangkan pergantungan kepada bahan pemanis itu.

Katanya, walaupun negeri itu tidak menghadapi masalah bekalan berbanding Terengganu dan Lembah Klang, kempen pengurangan gula tetap dilakukan untuk menyedarkan penduduk mengenai kesan bahan itu kepada kesihatan.

"Masyarakat kini menjadikan gula seperti budaya dan kita patut mencuba budaya baru dengan mengambil minuman kopi pahit yang tidak dicampur gula.

"Walaupun peringkat permulaannya agak sukar, lama kelamaan kita akan menyukainya... saya sendiri suka minum kopi pahit," katanya mengulas isu kekurangan gula selepas melawat rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Mengkuang Layar, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, bekalan gula di Perlis mencukupi untuk menampung permintaan penduduk tetapi kerajaan negeri akan meneruskan kempen pengurangan gula di kalangan penduduk.

"Penduduk perlu mencuba mengurangkan pergantungan terhadap gula bermula dengan minuman dan seterusnya dalam pembuatan makanan, termasuk kuih-muih," katanya.

Shahidan juga tidak menolak kemungkinan masalah kekurangan gula berlaku kerana sikap panik penduduk serta tindakan pemborong atau peruncit yang didakwa menyembunyikan bahan itu.

Wednesday, June 14, 2006


Shahidan ‘hipokrit contoh’ Umno
Oleh : Nikon
Kategori : Berita

Kangar 14hb Jun : Sejauh manakah kebenaran dakwaan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap ikrar taat setianya menyokong kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipersoalkan.

Ini kerana disebalik ikrar taat setia beliau,papan tanda Bilik Gerakan BN Perlis berhampiran bangunan Tabung Haji di sini,masih mengekalkan gambar beliau dan Tun Mahathir walaupun sudah hampir tiga tahun Tun melepaskan jawatan Pengerusi BN Malaysia.

Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan laporan Shahidan Kassim meminta ahli Umno supaya tidak melabelkan diri sebagai ‘orang Pak Lah’, ‘orang Mahathir’ atau ‘orang Shahidan’ demi kepentingan parti itu.

Shahidan yang memang dikenali sebagai penyokong kuat Tun Mahathir jelas menunjukkan sikap hipokritnya apabila menggunakan ayat al-Quran untuk menunjukkan taat setianya kepada kepimpinan Pak Lah.

Mengulas laporan Utusan itu,Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Ahmad Adnan Fadhil mengingatkan Shahidan supaya tidak mempermainkan ayat al-Quran demi kepentingan politik beliau.

“PAS sering dituduh Umno sebagai pihak yang suka menggunakan al-Quran dalam berpolitik walaupun ianya tidak berasas.Sekarang lihat contoh sikap hipokrit itu telah ditunjukkan oleh pimpinan mereka sendiri yang sanggup mempolitikkan al-Quran.

Siapa yang dia (Shahidan) taat sebenarnya? Pak Lah jadi ketua,gambar Mahathir masih dia kekalkan walaupun dah dekat tiga tahun.Takkan dia tak sedar?Patutlah Pak Lah nak buang dia masa pilihanraya baru-baru ni,”sindir Ustaz Adnan.

Beliau juga tidak yakin yang Umno akan selamat dari penyakit ‘team’ kerana parti Umno bukan parti yang diasaskan atas dasar persaudaraan seperti yang dianjurkan oleh Islam tetapi parti yang yang terasas atas dasar siapa yang boleh bagi projek.

Akhirnya beliau tidak melihat perbalahan dalam Umno itu melibatkan kepentingan rakyat tetapi hanya melibatkan kepentingan perut-perut mereka sahaja.

“Apa jadi dengan kenaikan harga minyak dan caj elektrik?Jangan rakyat tertipu dengan lakonan mereka ini,”nasihat beliau kepada orang ramai.

Thursday, June 08, 2006

Hentikan politiking dalam PAS

Oleh Bashir Ishak
ALOR SETAR, 8 Jun - Hentikan politiking untuk menjamin kestabilan di dalam PAS, demikian gesaan yang diutarakan perwakilan tuan rumah muktamar tahun ini semasa berucap membahaskan usul terima kasih ke atas ucapan dasar Presiden PAS hari ini.
Ir. Phahrolrazi Zawawi yang berucap mewakili Kedah membuat gesaan demikian kepada semua ahli agar tidak berlaku lagi politiking yang semakin ketara sepertimana menjelang pemilihan pimpinan parti tahun lalu.

Menurutnya, apabila berlakunya pertandingan di peringkat pucuk pimpinan seperti jawatan Timbalan dan Naib Presiden dan berlakunya politiking, maka sedikit sebanyak akan beri kesan kepada parti.

"Persaingan sengit dalam pemilihan boleh memjejaskan perpaduan dalam parti kita," katanya lagi. Diharap agar politiking dapat dikawal dan semoga dapat buat pemilihan yang sihat pada pemilihan tahun depan," katanya.

Bagi membendung masalah ini, beliau mencadangkan agar Majlis Syura supaya campurtangan jika berlaku sebarang kekeliruan dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Untuk itu, penyelesaian awal perlu diatur untuk memastikan pemilihan pimpinan dapat berjalan lancar.

"Jangan tunggu hingga saat akhir untuk mendapat kata sepakat," tambahnya.

Selain itu PAS katanya, menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran. Cabaran dalaman yang utamanya ialah penyatuan fikrah di kalangan ahli dan pimpinan khususnya di peringkat pusat.

"Jika tiada penyatuan fikrah, pimpinan akan bergerak ke haluan sendiri, maka ahli di bawah akan bercelaru, pemikiran pimpinan pusat yang berbeza akan menyebabkan ahli-ahli tidak dapat tumpukan perhatian kepada perjuangan" katanya.

Timbalan dan Naib Presiden perlu ada agenda bantu Presiden

Oleh Bashir Ishak
ALOR SETAR, 7 Jun - Timbalan Presiden dan Naib Presiden perlu mengambil agenda besar masing-masing dalam membantu tugas Presiden PAS berdasarkan Fasal 23 Perlembagaan PAS.

Perwakilan negeri Perlis Zolkharnain Abidin menyatakan demikian ketika mengusulkan ucapan terima kasih kepada Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS kali ke 52 di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.

Dalam ucapannya, Zolkharnain mencadangkan usaha meningkatkan keberkesanan pasukan kepimpinan sedia ada dengan mengemukakan berberapa cadangan termasuk mengusulkan peranan khas kepada Timbalan dan Naib Presiden.

"Empat jawatan utama parti selepas Presiden ialah Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden yang mana fungsinya sama mengikut perlembagaan PAS iaitu membantu tugas presiden," katanya memetik perlembagaan PAS Fasa 23.

Namun begitu katanya, dua penjawat utama jawatan selepas Presiden parti kurang dilihat membantu tugas presiden.

Baginya, dalam usaha meningkatkan keberkesanan pasukan kepimpinan, Timbalan Presiden dan tiga penyandang jawatan Naib Presiden perlu diberikan peranan besar dalam membantu Presiden.

Perwakilan Perlis ini turut menggariskan dua perkara utama iaitu mempertahan dan memperkukuhkan kerajaan Kelantan dan memulihkan demokrasi yang mana peranannya diberikan khusus kepada dua orang Naib Presiden.

“Naib Presiden dari Kelantan perlu menjadikan agenda mempertahan dan memperkukuhkan kerajaan Kelantan sebagai agenda parti, Naib Presiden dari Pulau Pinang mesti merakyatkan agenda memulih demokrasi".

"Naib Presiden yang seorang lagi, dari negeri Selangor, kami sebenarnya belum nampak apa agenda besarnya dalam menjalankan tugasnya sebagai Naib Presiden iaitu membantu tugas-tugas Presiden," katanya.

Turut dicadangkan ialah agenda parti dalam hubungannya dengan bukan Muslim dengan mencadangkan PAS mempelopori secara serius dan tersusun apa yang diistilahkan sebagai ‘Dialog Antara Agama’.

"Agenda ini perlu ditangani oleh orang yang benar-benar berwibawa dan pada pandangan kami orang yang layak menangani agenda ini ialah Timbalan Presiden kerana sehingga kini kami juga belum nampak dengan ketara apa agenda besar Timbalan Presiden dalam menjalankan tugasnya membantu tugas-tugas Presiden," katanya lagi

Wednesday, June 07, 2006

UKJ: Arau raih saguhati di Muktamar Pemuda

JERAI, 6 Jun - Dewan Pemuda PAS (DPP) kawasan Arau merangkul hadiah saguhati kategori Unit Kerja Jemaah (UKJ) sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat kali ke- 47 yang berlangsung di Sekolah Agama Integrasi Faizin (SAIF), Guar Chempedak dekat sini.

Anugerah khas UKJ ini diberikan kepada DPP kawasan di seluruh negara berdasarkan kategori tertentu seperti keahlian, organisasi dan sebagainya.

Tempat pertama dimenangi DPP kawasan Baling, diikuti oleh DPP Gombak dan DPP Kuala Kedah di tempat ketiga.

Lapan DPP kawasan mendapat hadiah saguhati iaitu DPP kawasan Kuala Terengganu, Marang (Terengganu); Shah Alam, Tanjung Karang (Selangor); Padang Serai, Sik(Kedah); Maran(Pahang) dan Arau sendiri.

Sementara itu, Kedah selaku tuan rumah Muktamar kali ini merangkul tempat pertama kategori keahlian pemuda teramai.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa yang hadir merasmikan muktamar tersebut.

Muktamar: Jom pakat pi Kedah

KANGAR, 5 Jun - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin mengajak semua ahli PAS khususnya di negeri ini agar turun beramai-ramai ke Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke- 52yang akan berlangsung di Kedah hari ini.

Menurutnya, para ahli PAS tidak sepatutnya melepaskan peluang ini memandangkan muktamar pada kali ini diadakan dekat dengan Perlis.

“Selalunya Muktamar diadakan di Taman Melewar atau di PUTIK, Kelantan. Kali ini jangan lepaskan peluang untuk ke Muktamar di Kedah yang dekat dengan kita,” katanya.

Baginya, walaupun tidak menjadi perwakilan, ahli-ahli boleh ke sana untuk menjadi pemerhati.

Katanya lagi, ahli-ahli PAS boleh melihat sendiri cara perjalanan muktamar dan juga mendengar sendiri Ucapan Dasar Presiden serta perbahasan.

"Biar kita beramai-ramai di sana untuk menyerikan lagi di samping memberikan sokongan yang padu kepada parti," katanya.

Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung pada 7 hingga 9 Jun ini di Kompleks PAS Kedah, Batu 9 Jalan Alor Setar-Sungai Petani.

Friday, June 02, 2006

Kaji balik kebenaran iklan arak di media massa


Oleh: Wartawan Harakah

KANGAR, 1 Jun - Dewan Pemuda PAS Perlis menggesa Kerajaan Islam Hadhari yang diterajui Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji balik kebenaran iklan minuman keras dalam di media cetak.

Ini berikutan laporan penyiaran iklan arak yang dimuatkan bersebelahan dengan muka Abdullah sendiri dalam akhbar New Straits Times (NST) seperti yang dilaporkan oleh laman web Agendadaily baru-baru ini amat memalukan dan mendapat bantahan dari kalangan orang-orang Umno sendiri.

Dalam laporan tersebut, Kelab Senator yang terdiri dari kalangan pemimpin Umno peringkat Bahagian, kesal dengan tindakan NST menyiarkan iklan sedemikian.

Pelbagai pihak tampil memberikan respon termasuk PM yang melahirkan rasa terkejut beliau.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkata, isu iklan yang diletakkan di sebelah gambar Abdullah sebenarnya lebih kecil berbanding penguatkuasaan yang amat longgar apabila gejala meminum arak dari kalangan umat Islam sendiri berleluasa.

"Banyak perkara lain berkaitan arak yang perlu di pandang serius oleh kerajaan.

"Itu bukan pertama kali iklan tersebut disiarkan. Dah berapa lama NST menyiarkannya. Mungkin Kelab Senator tidak perasan atau buat-buat tak perasan. Bila dah diletak sebelah gambar 'bos' barulah nak bising," katanya.

Dengan sikap pemimpin Umno yang double-standard, beliau berkata, ia membuktikan Islam Hadhari masih lagi bercelaru dan boleh dianggap sebagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja.

Katanya lagi, Kelab Senator sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah hukum halal-haram arak, lebih-lebih lagi disiarkan oleh akhbar yang dikaitkan dengan kepentingan Umno di dalamnya.

"Bagaimana masa tidak ada gambar Abdullah di sebelahnya (iklan), kenapa tidak bising-bising? Apakah orang Umno masih meneruskan tradisi memuja pemimpin?," soalnya.

Sehubungan itu Pemuda PAS Perlis katanya, menggesa kerajaan mengkaji balik penyiaran iklan arak khususnya di dalam akhbar arus perdana.

"Selain menghina Islam Hadhari, kita perlu prihatin dengan sumber haram yang diperolehi daripada pengiklanan arak yang sekaligus akan melibatkan ramai orang Islam," tegasnya

Thursday, June 01, 2006

MPK diseru atasi masalah vandalisme


Oleh Wartawan Harakah
KANGAR ,1 Jun - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diseru untuk memantau dan membersihkan setiap kemudahan awam yang telah dicemari oleh vandalisme berbentuk grafiti (contengan).

Ketua Dewan Pemuda PAS Kangar, Ustaz Yaakub Abu Seman membuat gesaan demikian berikutan banyak kemudahan awam terutamanya pondok bas telah dicemari oleh elemen tersebut.

Menurutnya, MPK perlu bertindak pantas kerana selain contengan tersebut mecemarkan pandangan, ianya juga mencemarkan imej Perlis di mata orang luar.

"Sayangnya, pondok bas yang dibina dengan harga yang begitu mahal kini dicemari oleh grafiti sedemikian. MPK perlu bertindak cepat dan bukan hanya bertindak pantas mengoyak poster-poster yang ditampal parti pembangkang," katanya.

Tinjauan Harakah mendapati bayak pondok bas "mewah" yang dibina dengan kos melebihi RM20 ribu telah diconteng oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, ustaz Zolkharnain Adibin melihat perkara ini sebagai satu budaya baru yang menular di negeri ini.

Beliau percaya ianya dilakukan oleh golongan remaja yang terikut-ikut dengan budaya yan dibawa dari barat.

"Kita ingat benda ini hanya belaku di bandar-bandar besar, tapi kini dah sampai ke sini, ke kampung kita," katanya.

Menurutnya, perkara seperti ini berpunca daripada mereka yang kosong jiwanya dan tidak tahu mengisi masa dengan perkara-perkara yang lebih bermanfaat.

"Puncanya mudah, kerajaan yang Umno terajui lebih utamakan memberikan hiburan daripada membina sakhsiyah golongan remaja," tambahnya.

Tulisan Jawi hebat di kalangan bukan Melayu, luar negara

Oleh Wartawan Harakah

KANGAR, 31 Mei - Tulisan Jawi amat unik dan daripada dahulu mampu menongkah arus mengikut zaman, namun sayangnya ia telah terhakis sedikit demi sedikit di negara ini.

"Tulisan Jawi turut diakui kehebatannya oleh pusat bahasa di negara luar seperti di England dan China," demikian kata bekas Imam Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian ketika mengulas tentang tulisan Jawi yang semakin terpingggir dan akhbar perdana Jawi,Utusan Melayu yang hampir pupus walaupun mula dihidupkan kembali baru-baru ini.

Menurutnya, asas Islam adalah bersumberkan al-Quran dan Hadis. Satu elemen daripadanya ialah huruf al-Quran atau huruf Arab yang lengkap dengan kaedah-kaedahnya seperti nahu,sharaf dan sebagainya.

"Inilah yang menjadi asas kepada huruf atau tulisan Jawi," katanya.

Bagi Ustaz Taib, perkembangan ilmu di alam Melayu bermula dengan ilmu yang dipelajari daripada huruf Jawi hingga tidak boleh dinafikan bahawa budaya dan kebangsaan Melayu itu juga berkait rapat dengan huruf Jawi.

"Ulama terkemuka di Nusantara seperti di Tanah Melayu, Pattani, Indonesia dan Borneo menggunakan huruf Jawi untuk mengajar dan mengarang kitab. Huruf Rumi hanya datang dan digunakan kemudiannya," katanya lagi.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan kuliah maghribnya di sebuah surau di sini melihat seni bahasa dan tulisan Jawi tidak dapat dipertikaikan keunikannya.

"Budayawan negara seperti Za'ba memperjuangkannya sehingga bahasa Melayu itu terkenal dengan tulisan Jawi," jelasnya.

Bukan sekadar itu, menurut Ustaz Taib lagi, bangsa asing seperti Tan Seng Giau (Ahli Parlimen Kepong) dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew juga dikenali sebagai individu yang mampu menguasai tulisan Jawi.

"Malahan ramai lagi, ini membuktikan bahawa tulisan Jawi mampu mengikut perkembangan arus zaman dan diterima pelabagai lapisan masyarakat. Alangkah ruginya kita orang Melayu mengesampingkan tulisan Jawi," katanya kesal.

Mengulas tentang beberapa individu atau parti politik yang kini ghairah menaja Utusan Melayu yang dihidupkan semula, Ustaz Taib melihat perkembangan ini sebagai suatu yang positif.

"Suka diingatkan, alangkah baiknya dalam sibuk menaja akhbar percuma ini, akhbar Jawi ini perlu terus diperkembangkan sehingga menjadi kebanggaan seperti dahulu",katanya.

Namun katanya lagi, contoh terbaik perlulah dilihat pada akhbar berbahasa Tamil atau Mandarin yang terus kekal dengan identiti mereka dan dapat bertahan lama.

"Orang Cina dan India di negara ini boleh berbahasa Melayu, Inggeris dari segi bacaan, tulisan dan pertuturan tetapi terus mengekalkan bahasa ibunda mereka namun, akhbar bahasa ibunda mereka terus kekal.

"Alangkah aibnya bangsa Melayu yang gagal mengagungkan tulisan Jawi sebagai tulisan bahasa ibunda," tambahnya lagi