Friday, August 03, 2018

Umno perlu segera mendakap mesej PAS

Keputusan PRU ke 14 suka tidak suka telah melakar lanskap baru politik Malaysia. Barisan Nasional 
yang berkuasa sekian lama diperingkat Persekutuan telah digantikan dengan kerajaan baru gabungan 
DAP, PKR, Bersatu dan Pan dalam satu pakatan yang dikenali PH. Pakatan ini turut berkuasa di tujuh 
buah negeri lagi di Semenanjung.
PAS walaupun tewas di beberapa kerusi yang ia kuasai di Pantai Barat namun berjaya menang di 18 
kerusi Parlimen dan bertahan di Kelantan serta menjatuhkan BN di Terengganu. Uniknya pakatan PH 
yang kuat berkuasa diperingkat Persekutuan dan tujuh buah negeri tadi langsung tidak memenangi 
walau satu kerusi Parlimen atau DUN pun di Kelantan dan Terengganu, negeri-negeri yang dikuasai 
PAS.

Lanskap baru yang dimaksudkan melihat PH berkuasa di Parlimen dengan 122 kerusi termasuk 8 dari 
Warisan. Selebihnya terdiri dari Gabungan Parti Sarawak atau GPS yang pro PH, 19 kerusi. UPKO, 
PBS, PBRS dan STAR dari Sabah masing-masing 1 kerusi serta 5 lagi dari Bebas.

Blok pembangkang di Parlimen pula kini dikuasai BN. BN mempunyai 54 kerusi iaitu 51 mewakili Umno, 
2 MIC dan 1 MCA. PAS sebagaimana yang dinyatakan punya 18.

Bagaimanakah PAS menghadapi lanskap politik yang berbeza ini?

Semasa PRU ke 14 lalu PAS melalui Gagasan Sejahtera menghadapi PH dan BN tiga penjuru 
dikebanyakkan kerusi yang dipertandingkan. BN ketika itu kerajaan Persekutuan manakala DAP dan 
PKR baru sahaja menendang PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan PH bersama PBBM dan 
Pan untuk menghadapi BN dan PAS.

PAS hampir keseorangan menghadapi dua musuh bertaraf gergasi namun demi mempertahankan dasar 
dan prinsip perjuangan Islam, PAS lalui juga PRU 14 dengan penuh berani. Kini ribut pertembungan 
PRU 14 telah berlalu, realitinya hari ini PH yang PAS musuhi kerana menolak dan mencabar dasar 
perjuangan PAS hari ini menjadi semakin gagah malah menggantikan kedudukan BN.

BN pula khususnya Umno, masih menjilat luka diseluruh badan yang ia perolehi hasil dari pertembungan 
PRU 14 yang sengit itu. Kekuatan yang ia miliki melalui kuasa hari ini sudah tiada, dan Umno semakin lumpuh, 
cuma mampu menggagahkan diri kerana masih bertahan pada 54 kerusi Parlimen yang di dalam tangan, itupun 
belum tahu angka berkenaan dapat terus bertahan atau bakal susut satu demi satu apabila ada yang melompat 
parti.

Yang masih bertenaga diperingkat blok pembangkang ternyata adalah PAS. Diperinglkat negeri Kelantan dan 
Terengganu, kedua-dua negeri ini menyaksikan penubuhan kerajaan negeri antara yang terawal berbanding 
negeri-negeri lain termasuk diperingkat Persekutuan. Ini membuktikan betapa stabil dan lancarnya kemenangan 
PAS di kedua-dua buah negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan pada hari ini buat pertama kali dalam sejarah Malaysia Merdeka bukan lagi kerajaan 
dominan Melayu. Dari 122 kerusi PH termasuk Warisan, ahli parlimen bukan Islam adalah seramai 63 orang, ini 
bermakna kuasa politik bukan Islam begitu dominan di peringkat Persekutuan selain di kebanyakkan negeri-negeri 
yang mereka kuasai.

Perubahan lanskap ini membuka cabaran yang besar buat kesinambungan survival politik Melayu Islam dalam 
negara. Ia boleh terus tidak menganggu  jika kelompok dominan ini tidak meletakkan kepentingan dalam isu 
Melayu Islam, akan tetapi DAP contohnya sudah pasti mahu menegakkan dasar dan prinsip perjuangannya dalam 
pentadbiran sekali gus akan memberi tekanan besar pada kerajaan agar mengikut telunjuk mereka.

Belum pun genap 100 hari pentabdiran mereka diperingkat Persekutuan kita telah menyaksikan beberapa 
perkembangan yang mula meresahkan orang Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara hasil 
dari kesungguhan DAP mahu menegakkan agenda mereka.

Isu perlantikkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara selain kuota tambahan matrikulasi untuk keturunan Cina, 
pengiktirafan sijil UEC dan peruntukkan kerajaan ke sekolah-sekolah Cina adalah sebahagian contoh-contoh yang
 terang. Selain itu agenda Malaysia Sekular yang didokong DAP juga banyak diyakini mempengaruhi beberapa isu 
berkaitan agama dan kepentingan  Islam selama ini.

DAP comtohnya mahu Dr Zakir Naik dihantar kembali ke India kononnya dikaitkan dengan kumpulan pengganas, 
mereka juga mahu menyemak semula kepentingan JAKIM dan beberapa institusi agama yang dikatakan 
membebankan kerajaan dari sudut perbelanjaan.

Institusi Raja-raja Melayu juga sudah mula dipertikaikan dengan kritikan lantang dari pelbagai pihak selain mengiktiraf 
golongan liberal dan LGBT yang songsang dan menyesatkan itu.

Atas perubahan lanskap inilah maka PAS bangkit untuk mengambil kedudukan baru. Dalam PRK Sg Kandis yang 
sedang berlaku contohnya PAS bersedia mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN, suatu tindakan yang besar 
dan tidak pernah dilalukan sebelum ini semata-mata kerana menyedari arus politik telah banyak berubah pasca PRU 14.

Ancaman  terhadap kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu perlu dipertahankan dan ini hanya mampu dilakukan 
kiranya blok pembangkang bersatu membawa agenda yang sama. Umno yang hilang taring itu perlu segera mendakap 
mesej PAS ini dan bersedia untuk membuat perubahan. Jika Umno bersedia terutama dengan agenda mendokong dan 
memartabatkan Islam, PAS pasti terbuka dan lebih-lebih lagi bersedia.

PAS telah mulakan dengan langkah keterbukaan awal di PRK Sg Kandis. Umno sepatutnya menyambut inisiatif ini 
dengan beberapa langkah berani ke arah agenda yang sama. Usul yang dibawa ahli-ahli Dewan Undangan Negeri 
PAS Pahang umpamanya untuk mengisytiharkan cuti mingguan di negeri berkenaan pada hari Jumaat sebagaimana 
negeri-negeri majoriti Melayu yang lain perlu disokong sebagai tanda awal kesediaan Umno.

Biar mesej ini sampai kesemua pihak dan umat Melayu Islam di Malaysia akan mula terubat hatinya apabila melihat 
di sana ada kuasa politik yang sanggup berjuang dan membela nasib mereka. roslansms@gmail.com





Wednesday, July 25, 2018

PERJUANGAN PRU 15 BERMULA DI SG KANDIS

Tindakan PAS tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil DUN Sg Kandis, Selangor 
terus menjadi isu besar malah mengerhanai pertandingan sebenar dalam PRK 
berkenaan antara calon PKR, BN dan Bebas.
Kawasan DUN yang punya 75% pengundi Melayu Islam itu lazimnya kerusi yang di-
tandingi PAS dan memang dalam PRU ke 14 lalu kerusi berkenaan telah melihatkan 
pertandingan empat penjuru antara calon-calon PKR, PAS, BN dan PRM.

Namun demikian banyak telah berubah pasca PRU14. Pertama dan terbesar BN te-
lah berjaya digulingkan diperingkat Persekutuan dan Putrajaya hari ini melihat 
kerajaan baru iaitu kerajaan didokongi PH dengan bekas PM Tun Dr Mahathir se-
bagai Perdana Menterinya.

BN hari ini adalah pembangkang di Parlimen dan cuma bertahan sebagai kerajaan ne-
geri di Perlis dan Pahang sahaja apabila mereka turut hilang kuasa di negeri-negeri 
tradisional mereka yang lain.

Dalam PRU ke 14 lalu, secara bersendirian atas platform Gagasan Sejahtera PAS ber-
usaha merobohkan kerajaan BN yang ternyata pincang dan tempang, namun gagal 
menggantikannya dengan sistem yang diperjuangkan PAS apabila PH yang menang 
dan memegang teraju.

Pemerintahan BN tamat diperingkat Persekutuan namun atas robohan BN itu yang 
bangkit dan didirikan adalah sebuah kerajaan pro sekular, liberal yang tidak selari dengan 
perjuangan PAS dan lebih parah lagi didominasi pula oleh wakil-wakil bukan Islam yang 
bilangannya lebih ramai dari wakil-wakil Islam dalam kerajaan PH.

Atas realiti itu, pasca PRU 14, tugas PAS tidak terhenti. Agenda untuk menegakkan 
sebuah pemerintahan yang adil dan saksama berteraskan Islam sebagai prinsip dan 
dasar pemerintahan perlu diteruskan. Dan yang menjadi sasaran hari ini bukan lagi 
kerajaan BN Umno yang telah pun tumbang, tetapi yang perlu disasarkan adalah kerajaan 
PH yang didominasi DAP yang kuat dan jelas menentang perjuangan PAS.

Kerana itu perjuangan PAS konsisten. Dalam realiti pasca PRU 14 ini PAS dan BN kini 
duduk di blok pembangkang. Kecuali di Perlis dan Pahang dimana BN kerajaan dan di 
Kelantan dan Terengganu dimana PAS kerajaan, di negeri-negeri lain termasuklah peringkat 
Persekutuan PAS dan BN adalah pembangkang.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sg Kandis PAS mengambil kira realiti bahawa 
pertandingan terbaik menghadapi PH adalah satu lawan satu dan tidak sebagaimana 
PRU 14 lalu sehingga pertandingan pelbagai penjuru telah memenangkan PH. Pembang-
kang tidak boleh berpecah bertanding sesama sendiri dan akhirnya menguntungkan PH 
dan meneguhkan kuasa mereka.

Lalu PAS setuju Sg Kandis mesti melihat pertandingan satu lawan satu, dan setelah be-
runding sesama blok pembangkang, BN diberi laluan.

PAS tidak perlu berkerjasama politik dengan BN untuk memutuskan pertandingan di Sg Kandis. 
Persetujuan PAS memberi laluan bermakna PAS sedar dan akur pembangkang tidak boleh ber-
pecah menghadapi PH yang kuat cengkamannya di Selangor.

PAS mengharapkan blok pembangkang khasnya dalam kes ini di Sg Kandis akan menjadi 
semakin kukuh agar kerja-kerja semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan baik selain isu 
berhubung kepentingan Melayu dan Islam dapat diperjuang dan dipertahankan dengan lebih ber-
makna.

Kebelakangan ini pasca PRU 14, rakyat resah apabila isu-isu besar membabitkan kos hidup terus 
tiada penyelesaian yang tuntas dan bermakna sedangkan beberapa langkah kerajaan samada di 
peringkat Persekutuan mahupun negeri dilihat mula menganggu dan menggugat status quo serta 
kepentingan Islam dan orang-orang Melayu.

PH Selangor sudah punya majoriti dua pertiga dalam DUN Selangor. Memberi mereka 
kemenangan di Sg Kandis bermakna mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dewan sedangkan 
apa yang diperlukan adalah suara pembangkang yang lebih vokal. Menang pembangkang di 
Sg Kandis tidak menggugat majoriti dua pertiga PH tetapi sekurang-kurangnya ia memberi isyarat 
pada PH bahawa blok pembangkang bersatu menghadapi mereka.

Rakyat khususnya pengundi di Sg Kandis perlu dimaklumkan betapa pentingnya PH yang 
didominasi DAP itu tidak diberi undi dalam PRK ini. PH perlu diberi isyarat yang jelas bahawa 
majoriti rakyat Melayu Islam memang bencikan pemerintah yang tempang dan pincang namun 
dalam waktu yang sama mereka juga mahu kerajaan yang prihatin akan nasib mereka dan teguh 
membela kedudukan Islam dan bangsa Melayu serta Bumiputera.

Siapa lagi jika tidak 75 peratus pengundi Melayu Islam di Sg Kandis yang boleh bangkit dalam PRK 
ini memberikan isyarat yang jelas dan kukuh bahawa rakyat Melayu dan Islam tidak selesa dengan 
agenda DAP yang diberikan keutamaan oleh kerajaan PH sehingga meletakkan kedudukan Melayu 
Islam dalam ancaman.

Politik pasca PRU 14 ini telah jauh berubah. Jangan lagi kita terperangkap dengan suasana yang 
lama. Langkah berani dan benar perlu diambil demi menyelamatkan negara dan negeri dari jatuh 
menyembah di bawah telunjuk DAP.

Perjuangan bagi PRU ke 15 bermula di Sg Kandis. Bangkitlah saudara-saudara kita semua. 
 roslansms@gmail.com


Wednesday, July 11, 2018

PRK Sungai Kandis: Satu lawan satu

Pilihanraya Umum lebih dua bulan telah berlalu. Calon-calon yang 
memenangi kerusi-kerusi negeri mewakili parti masing-masing 
(termasuklah yang menang dan khianat serta lompat parti kemudiannya) 
telah pun mengangkat sumpah sebagi Ahli Dewan Negeri di negeri 
masing-masing, manakala yang memenangi kerusi Dewan Rakyat dijangka 
mengangkat sumpah mereka bulan Julai ini.

Barisan kepimpinan negeri-negeri telah pun dibentuk demikian juga diperingkat 
Persekutuan.

Walaupun tempoh mereka masih diperingkat terlalu awal, ditakdirkan Allah swt 
berlaku kekosongan di DUN Sg Kandis, Parlimen Kota Raja, Selangor apabila ADUN 
kawasan yang mewakili PH-PKR meninggal dunia.

Dengan kekosongan ini bermakna akan berlaku Pilihanraya Kecil iaitu yang pertama 
selepas PRU ke 14 dalam waktu yang terdekat.

Dengan perubahan besar pasca PRU ke 14 lalu sudah pasti “padang permainan” 
PRK ini berbeza sama-sekali dengan senario diwaktu sebelum dan semasa menghadapi 
PRU ke 14. Umum mengetahui “upset” terbesar PRU ke 14 adalah kalah dan tersungkurnya 
BN diperingkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang 
sahaja.

PAS walaupun tidak lagi sebahagian kerajaan di negeri Selangor, namun PRU ke 14 
membuktikan PAS masih relevan dan terus diterima rakyat khasnya di utara Semenanjung dan 
di Pahang serta Pantai Timur Semenanjung. Walaupun PH cemerlang di Pantai Barat dan Johor 
 namun di Kelantan dan Terengganu PH gagal memenangi walau satu kerusi DUN mahupun 
Parlimen dan PAS berjaya mempertahankan Kelantan serta menawan kembali Terengganu.

Ternyata politik Malaysia terbelah pada 3 penjuru sokongan iaitu PH, BN dan PAS yang 
menganggotai Gagasan Sejahtera, namun pasca PRU 14 baru-baru ini, BN khasnya Umno teruk 
“tercedera” dengan parti-parti komponannya berderu-deru berpaling tadah menjauhi gabungan 
tersebut yang kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, itupun entah berapa lama boleh bertahan.

Umno sendiri terus goncang apabila berlaku pengkhianatan dalam parti, dan pertandingan peringkat 
 kepimpinan baru-baru ini melihatkan parti Melayu tertua dalam negara ini terus berhadapan dengan 
pelbagai masalah dan delima.

Dan kini bakal berlaku pula PRK di DUN Sg Kandis.

Sg Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu merupakan pengundi 
terbesarnya iaitu 73.11% diikuti India 14.7% dan Cina 12.8%. PRU ke 14 lalu meyaksikan berlaku 
pertandingan 4 penjuru di DUN ini iaitu antara calon PAS, PH-PKR, BN-Umno, PAS dan PRM. 
Calon PH Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ternyata sebagaimana di kerusi-kerusi DUN yang lain yang majoriti pengundi Melayu di Selangor, 
pertandingan 3 penjuru atau lebih antara calon-calon PH, BN dan PAS telah menyaksikan sokongan 
pengundi Melayu itu berpecah tiga.

Kerana itu bagi menghadapi PRK Sg Kandis kali ini PAS melalui Mesyuarat Jawatankausa Pusatnya 
telah memutuskan hanya akan meletakkan calon kiranya berlaku pertandingan satu lawan satu iaitu 
antara calon PH dan PAS. Sikap ini penting kerana jika berulang pertandingan tiga atau lebih penjuru 
maka besar kemungkinan keputusan PRU 14 akan berulang kembali dan PH akan menang mudah.

Umno walaupun memperolehi 11,518 undi di Sg Kandis pada PRU14 lalu, iaitu kedua terbesar, namun
 ia hari ini berbeza dari Umno sebelum PRU 14. Umno hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah 
dan krisis, mereka ditolak rakyat pada PRU lalu dan bekas Presidennya pasca PRU ini telah diseret ke 
mahkamah dan akan menghadapi pelbagai pertuduhan bersabit skandal 1MDB yang banyak mencoteng 
arang ke wajah Umno.

Akaun Umno diperingkat pusat dan beberapa negeri termasuk Selangor pun telah dibeku pihak berkuasa 
yang sudah pasti melumpuhkan operasi Umno.

Lantaran itu, PRK Sg Kandis sepatutunya bukanlah masa sesuai buat Umno sertai. Dan tepatlah keputusan 
PAS Pusat bahawa sewajarnya PAS lah diberi laluan untuk menghadapi PH dalam PRK ini memandangkan 
PAS kekal relevan dan punya rekod yang baik serta masih boleh diterima rakyat, tidak seperti Umno diwaktu ini.

Hari ini setelah 2 bulan berkuasa, beberapa dasar dan program serta tindakan yang diambil kerajaan PH samada 
diperingkat Persekutuan mahupun Negeri Selangor mula digusari rakyat dan mula dipertikaikan.

PH menang Dewan Negeri Selangor pada PRU 14 lalu dengan begitu selesa iaitu menguasai 51 dari 56 kerusi 
DUN. BN-Umno menang 3 kerusi dan PAS cuma 1. Oleh itu PRK Sg Kandis ini adalah peluang buat rakyat untuk 
melontarkan wakil yang dapat bersuara mempertahan dan memperjuangkan hak dan kepentingan mereka agar tidak 
dieksploitasi dan didominasi oleh PH yang punya penguasaan dua pertiga di Dewan Negeri.

PAS dengan rekodnya yang diketahui rakyat Selangor berupaya menjadi benteng suara rakyat khasnya dalam 
mempertahankan kepentingan Melayu Islam sebagaimana yang pernah ia lakukan sejak PRU 2008 semasa di dalam kerajaan.

Semoga pihak lain khasnya Umno berbesar hati memberi laluan kepada PAS dalam PRK ini agar PAS dapat mengembeling 
kekuatannya menghadapi calon PH-PKR. Namun jika opsyen ini tidak berhasil, maka sebagaimana ditegaskan PAS Pusat, ketika 
itu suatu keputusan drastik perlu diambil demi kelangsungan masa depan dan perjuangan PAS.

Monday, July 09, 2018

Ayuh undi PAS di Sg Kandis

Ditakdirkan Allah swt baru dua bulan PH menang di Selangor, seorang ADUN nya, Tuan Hj Mat Shuhaimi
Shafie meninggal dunia. Akibatnya satu pilihanraya kecil terpaksa diadakan bagi mengisi kekosongan di 
DUN N.49 Sg Kandis.

Menurut pihak SPR penamaan calon akan diadakan pada 21 Julai ini manakala sekiranya ada 
pertandingan, hari mengundi adalah pada 4 Ogos, 2018. Sg Kandis mempunyai 50,800 orang pengundi 
berdaftar dan terletak di bawah Parlimen Kota Raja. Menurut rekod 73.11 % pengundinya atau 37,138 
orang merupakan pengundi Melayu. Selebihnya 14.7 % pengundi India dan 12.18% pengundi Cina. Pada 
PRU ke 14 lalu, Sg Kandis menyaksikan pertandingan 4 penjuru iaitu antara PH-PKR, BN-Umno, PAS dan 
PRM. Allahyarham wakil PKR memperolehi 23,998 undi mengalahkan 3 calon parti lain tadi yang masing-
masing memperolehi: BN 11,518 undi, PAS 7,573 undi dan PRM 76 undi. Undi rosak 305 undi. Ini bermakna 
PKR menang dengan majoriti 12,480 undi.

Itu PRU ke 14 lalu. Banyak faktor dan isu sudah berubah sejak dua bulan lalu. Jelasnya PH telah menang 
besar khasnya di Selangor dengan memenangi 51 dari 56 kerusi iaitu lebih ⅔ majoriti. Umno cuma 4 dan 
PAS 1. PH turut menguasai kerajaan Persekutuan dengan menumbangkan BN yang menguasainya lebih 60 tahun.

Bagaimana dengan PRK ini?

PAS merasakan peluang pembangkang lebih baik kiranya berlaku pertanding satu lawan satu iaitu antara PAS
dan PKR. Pertandingan 3 atau lebih penjuru hanya akan mengulangi keputusan yang lampau dan  menyulitkan 
harapan pihak pembangkang.

Lantaran itu Umno disyorkan agar tidak bertanding dan memberikan laluan pada PAS dalam PRK ini.

Mengapa Umno perlu berbuat demikian?

Kerana pasca PRU ke 14, Umno teruk terkesan. Ia kalah di peringkat Persekutuan dan hanya mampu bertahan 
di dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Pasca PRU ke 14 menyaksikan parti-parti komponan BN angkat
 kaki meninggalkan BN kecuali MCA dan MIC (itupun entah berapa lama). Begitu juga beberapa ADUN dan ahli 
Parlimen Umno sendiri, yang menang atas tiket BN turut berpaling tadah apabila melihat BN hilang tanpuk kuasa.

Umno goncang dan goyang, dan ditambah pemilihan partinya sejurus PRU lalu melihatkan Presiden Umno kini 
Datuk Seri Zahid Hamidi hanya memenangi jawatan Presiden dengan sokongan sekadar separuh dari bahagian-
bahagian Umno yang berpecah antara meyokong beliau, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh.

Dan lebih  parah lagi kerajaan PH terus menyeret bekas PM dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ke 
pengadilan angkara skandal 1MDB yang teruk mencalar dan mencoteng arang ke wajah Umno. Pihak berkuasa 
turut membekukan akaun-akaun Umno termasuklah Umno Pusat dan Selangor.

Ringkasnya Umno tenat dan dalam keadaan demikian lebih baiklah ia tumpu pada merawat semangatnya. Terjun
masuk ke PRK ini apalagi dengan mengwujudkan pertanding tiga penjuru hanya akan memusnahkan partinya.

Kenapa perlu beri laluan ke PAS?

Kerana ternyata PAS kekal relevan pasca PRU ke 14. Walau ia kalah teruk di Selangor dengan tidak lagi duduk 
dalam kerajaan namun pencapaian PAS secara keseluruhan dalam PRU lalu tetap baik iaitu dengan memenangi 18
kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN termasuk menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terenggganu.Pencapaian 
buruk khasnya di pantai barat Semenanjung dikaitkan dengan asakkan fitnah yang dilancarkan pihak parti lawan 
sehingga mendorong pengundi yang ghairah mahu menjatuhkan BN dan PM Najib untuk turut menolak calon-calon 
PAS atas dasar kononnya PAS bersekongkol dengan Umno dan menerima wang Umno.

Calon-calon PAS yang berwibawa dan cemerlang di Selangor ditolak semata-mata kerana termakan propoganda pihak 
musuh. Kini rakyat sudah mula sedar. Dan PRK ini adalah peluang buat mereka untuk menebus kembali segala tohmahan 
dan persepsi jahat terhadap PAS.

Ternyata nasib dan masa depan Melayu dan Islam hanya mampu diperjuangkan PAS, dan ianya terbukti sejak PAS menjadi 
sebahagian kerajaan di Selangor sejak 2008 lalu.

PH sudah memiliki majoriti terlalu besar dalam DUN Selangor. Apa yang kurang adalah suara pembangkang yang perlu kuat 
khususnya dalam menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan negeri ini.PAS satu-satunya parti pembangkang 
yang bersih dan komited dalam menjalankan tugas-tugas ini dan para pengundi juga tahu.

Kerana itu PAS perlu diberi laluan bertanding satu lawan satu menentang PH tambahan kerusi Sg Kandis ini mempunyai majoriti 
besar pengundi Melayu. PAS sendiri sudah lama bertapak di sini dan mempunyai lebih 20 cawangan dan kekuatan keahlian yang 
agak besar.

Kita yakin dan percaya para pengundi di Sg Kandis tertunggu-tunggu untuk mengundi PAS demi memastikan PH tidak memilik 
penguasaan mutlak di Selangor sehingga tidak memperdulikan suara dan kepentingan rakyat lantaran majoriti besar itu.

Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, kekuatan seluruh jentera PAS dari seluruh pelusok negara akan dikerahkan ke Sg Kandis 
dan tidak mustahil PAS boleh mencetuskan “upset” di sini.

Yang penting rakyat harus diberi peluang bersuara dan pertandingan PRK ini terjamin bebas dan adil tidak sebagaimana semasa 
kerajaan yang lampau.

Ayuh undi PAS di Sg Kandis

Wednesday, July 04, 2018

Apa yang boleh diharapkan lagi?

Pilihanraya Umum ke 14 lalu sudah jauh meninggalkan kita hampir 2 bulan. Kita telah menyaksikan runtuhnya kerajaan BN diperingkat Persekutuan yang telah berkuasa sejak 6 dekad lalu. Melainkan kerajaan negeri-negeri Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, yang lain-lain turut menyaksikan robohnya penguasaan BN di negeri-negeri berkenaan termasuklah Terengganu yang kini digantikan PAS.

Bukan mudah merebahkan BN yang laksana menongkat langit itu, tetapi akhirnya atas asakkan persepsi dan fitnah selain tempang dan pincangnya BN itu sendiri, ia menjadi realiti dan ramai masih terlonjak-lonjak gembira hingga ke hari ini, selain ada yang berterusan meratap-tangis.

Itulah keupayaan demokrasi, melalui suara rakyat, ia boleh meroboh dan menegakkan sesebuah kerajaan, asalkan berjaya dan bijak mempengaruhi pemikiran rakyat samada dengan fakta dan kebenaran atau sebaliknya.

Kini 2 bulan telah berlalu. Segala asap dan debu yang berkepul-kepul menyelubungi udara hasil pertembungan dan pertarungan sengit PRU ke 14 itu telah pun reda dan berlalu di bawa angin.

Hari ini kita medakap realiti kerja tangan dan kehendak hati kita masing-masing. Keghairahan demokrasi membawa kita ke situasi semasa, apa yang ada hari ini adalah cetusan kehendak sebahagian besar kita.

PAS sesungguhnya telah melahirkan kebimbangan jauh sebelum PRU ke 14 dahulu bahawa sebarang perubahan yang mahu dilakukan janganlah sampai merobek dan mencacatkan “status quo” yang ada.

Kedudukan Islam yang diletak tinggi dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan, selain Institusi Raja-raja Melayu dan kedudukan orang-orang Melayu dan Bumiputera jangan sampai diancam, apabila desakkan perubahan politik langsung tidak mengambil-kira status quo yang ada.

Orang Melayu Islam, suka ataupun tidak merupakan majoriti penduduk dalam negara. Jika kuasa politik mereka tergugat atau mengecil hasil keghairahan mengejar sesuatu agenda peribadi maka tatkala itu status quo yang ada akan tergugat

Apabila perubahan politik memberi kuasa kepada golongan minoriti mengatasi golongan majoriti, kita sesungguhnya telah membuka pintu pagar mengorbankan status quo tadi kerana taksub mengejar kepentingan dan agenda peribadi.

Hak demokrasi adalah hak yang dijanjikan buat rakyat, tetapi jangan sampai hak tadi terguna sehingga kita menggadaikan pula segala hak utama yang ada dalam tangan.

Akhirnya kita serupa si Kitol dan Pak Kaduk, perahu telah terlajak, maka rasalah azabnya kerana tidak panjang berfikir dan telah terpesona dengan fitnah dan persepsi jahat serta janji-janji kosong.

Pasca PRU14, kerajaan Persekutuan Malaysia kini berubah bentuk. Dari 222 ahli di Parlimen, kerajaan baru ini menguasai 124 kerusi (angkanya berubah-ubah kerana fenomena politik “lompat katak” yang diterima sebagai amalan biasa), Dari 124 itu, 58 diwakili ahli-ahli Parlimen beragama Islam manakala 66 yang lain pula bukan Islam.

Ini bermakna buat pertama kali dalam sejarah kerajaan Persekutuan Malaysia adalah kerajaan yang anggotanya majoriti bukan Islam. Ia tidak salah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan, tetapi ini bermakna segala status quo yang melibatkan kepentingan dan hak yang disebutkan di awal tadi kini berada di tangan mereka.

Kalau di zaman BN dahulu pun banyak usaha untuk memartabatkan Islam dan memperjuangkan nasib masyarakat majoriti Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan ditinggalkan, apakah yang boleh diharapkan dari kerajaan baru seumpama di atas?

Mungkinkah agenda melahirkan sebuah negara Malaysia yang lebih sekular dan liberal akan menjadi kenyataan kerana blok terbesar dalam pakatan parti pemerintah hari ini terdiri dari parti yang mempunyai agenda sedemikian?

Mungkinkah agenda “Malaysian Malaysia” yang sesungguhnya mengenepikan segala kontrak sosial yang lampau semata-mata kerana mahu menyama tarafkan semua kaum dalam negara akan menjadi realiti? Meritokrasi menjadi amalan dan kriteria penting kelayakan seseorang bukan lagi hak kaum atau golongan yang tercicir?

Ini bukannya hasutan atau usaha mengadu-domba, tetapi ini satu hakikat yang perlu disedari dan diinsafi terutama oleh masyarakat Melayu Islam, kerana apa yang ada hari ini adalah atas kehendak sebahagian besar kita.

Kita mahu meguji dan mencuba, lalu pikullah hasil ujian dan cubaan kita itu.

Sewajarnya kita insaf dan kembali bertaut mempertahan dan nanti mengembalikan status quo yang telah kita pelihara sekian lama. Mujurlah proses demokrasi berpilihanraya dalam negara berjalan setiap 5 tahun.

Bertahanlah kita atas kelalaian dan kealpaan ramai, tetapi jangan sesekali berputus-asa, bila tiba masanya nanti jangan lagi kita ulangi kesilapan yang sama. Biar si Kitol dan Pak Kaduk sahaja yang berterus-terusan menanggung derita kecelaruan nafsu mereka. Kita kekallah sebagai bangsa dan penganut yang berilmu dan bermaruah.

Perbetulkan kesilapan kita dan pastikan benteng dan maruah agama dan bangsa sentiasa berdiri kukuh dan teguh selepas ini, tiada lagi tergugat. roslansms@gmail.com