Pergi ke kandungan

Moshe Dayan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Moshe Dayan

Moshe Dayan adalah seorang panglima Pasukan Pertahanan Israel (Israeli Defence Forces) yang tersohor kerana kebijaksanaannya memimpin pasukan bersenjata Israel semasa Perang Enam Hari menentang pasukan-pasukan tentera Arab dalam tahun 1967. Dengan tutup matanya, Moshe Dayan menjadi lambang perjuangan Israel untuk mengekalkan kewujudannya di Palestin.

Di samping itu, Moshe Dayan juga seorang ahli politik terkemuka Israel. Moshe Dayan juga memperjuangkan keamanan di Timur Tengah dan menggunakan kebijaksanaan diplomasinya untuk akhirnya membantu merundingkan Perjanjian Damai Mesir-Israel

Hayat Awal

[sunting | sunting sumber]

Moshe Dayan dilahirkan di kibbutz Deganya Alef (Deganya 'A') di Palestin, berhampiran Kinneret (Laut Galilea), yang semasa itu masih menjadi jajahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

Bapanya Shmuel Dayan dan ibunya Devorah adalah pelarian Yahudi dari Ukraine (Ukraine ketika itu adalah jajahan takluk Empayar Rusia). Moshe adalah anak sulung kepada pasangan itu. Pada usia 14 tahun, Moshe menyertai Haganah kumpulan militant rahsia yang bergerak di “bawah tanah” dan memberikan perlindungan kepada penempatan Yahudi daripada serangan oleh orang-orang Arab. Ketika itu Haganah masih baru ditubuhkan.
Moshe mempelajari taktik peperangan gerila daripada Charles Orde Wingate, seorang Kapten Tentera British yang memimpin patrol malam yang dibentuk untuk menentang gerombolan penentang Arab. Moshe amat terpengaruh dan kagum dengan ajaran dan pegangan ekstremis pegawai Inggeris ternama Orde Wingate yang Pro-Zionis semasa Moshe menjadi seorang Sarjan sebelum Perang Dunia II.

Perang Dunia II

Moshe ditahan oleh pihak berkuasa British dalam tahun 1939 apabila pergerakan Haganah diharamkan oleh pihak British. Moshe dibebaskan dalam tahun 1941, apabila Haganah memperbaharui kerjasama dengan pihak British dalam penentangan menentang Kuasa-Kuasa Paksi semasa Perang Dunia II.
Moshe menjadi pegawai sangkut dengan Divisyen ke-7 Infantri Australia menentang pasukan tentera Perancis Vichy di Syria. Semasa kempen ini, Moshe kehilangan sebelah matanya apabila terkena peluru yang ditembak oleh seorang penembak hendap (sniper) ketika membuat pemerhatian dengan binokular. Disebabkan keberanian yang ditunjukkan oleh Moshe, seorang Pegawai Australia mengesyorkan Moshe diberikan pingat keberanian. Moshe Dayan diberikan anugerah Distinguished Service Order (DSO), salah satu anugerah keberanian tertinggi yang diberikan kepada anggota Tentera British.


Panglima Tentera

[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Arab Israel 1948 (juga dipanggil Perang Kemerdekaan Israel) . Moshe Dayan mengetuai pasukan pertahanan penempatan Yahudi di Lembah Jordan. Selepas kejayaan awal, Moshe diberikan kepimpinan satu batalion pejuang Haganah yang membuat serangan ke atas kota Lydda (kini Lod) dan membantu menyekat kemaraan askar-askar Mesir di medan pertempuran selatan.

Tuduhan Kegiatan Zalim Batalion 89

[sunting | sunting sumber]

Moshe Dayan mengepalai Batalion 89 dalam serangan ke atas Lydda dan Ramla. Kesan daripada serangan ini, lebih 250 orang awam di Lydda terbunuh, sedangkan pasukan Israel hanya mengalami korban 4 orang terbunuh. Persoalan ditanya mengapa ketidakseimbangan bilangan korban.
Pihak Arab mendakwa bahawa korban Arab bukanlah pejuang dan pelampau seperti yang didakwa oleh pihak Israel tetapi adalah orang awam yang diserang dan dibunuh di dalam Masjid Dahmash. Sebelum itu, orang Arab diberikan jaminan akan selamat sekiranya berkumpulan di masjid tersebut. Malangnya, satu letupan grenad mengakibatkan 4 orang askar Israel terbunuh. Tentera Israel membalas dengan membunuh lebih 100 orang yang berkumpul di masjid. Penduduk Arab dikerah meninggalkan kampung halaman mereka, dan lebih 60,000 orang Arab terpaksa menjadi pelarian di Kem Ramallah. Semasa perjalanan ke Ramallah, lebih 350 orang Arab mati disebabkan keadaan uzur.
Oleh kerana Moshe Dayan memerintah Batalion 89, adalah mustahil baginya untuk tidak mengetahui kezaliman yang dilakukan oleh batalionnya pada malam kejadian. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan jenazah diambil ke atas mana-mana anggota batalion itu. Sekiranya Standard Yamashita (kadangkala dikenali sebagai Standard Medina) diambil pakai, Moshe Dayan juga tidak terlepas daripada tanggungjawab pemerintahan (command responsibility) kerana standard ini menyatakan “apabila tindakan dendam berlaku dan tiada percubaan dilakukan oleh pegawai pemerintah untuk mengetahui dan menghentikan tindakan jenayah itu, pemerintah itu adalah bertanggungjawab, sehinggakan boleh disabitkan jenayah”.

Naik Pangkat

[sunting | sunting sumber]

Dalam bulan Ogos 1948, Moshe Dayan dilantik menjadi panglima di medan pertempuran Baitulmaqdis. Dalam tahun1949, Moshe Dayan menyertai rundingan perdamaian dengan wakil-wakil Jordan di Pulau Rhodes. Moshe Dayan bersama-sama Shimon Peres amat disukai oleh Ben Gurion dan menjadi anak didik (protégé) Ben Gurion

Ketangkasan ketenteraan Moshe Dayan membolehkan beliau naik menjadi Pengarah Operasi di Markas Pusat Tentera Israel dalam tahun 1952. Dalam tahun 1953, Moshe Dayan dilantik menjadi Ketua Turus Angkatan Bersenajata Israel. Semasa Krisis Suez dalam tahun 1956, Moshe Dayan mengepalai sendiri angkatan bersenjata Israel mengalahkan pasukan tentera Mesir, Syria dan Jordan. Pasukan tentera Israel berjaya menakluk Semenanjung Sinai. (Mesir, Jordan dan Syria mempunyai pakatan dengan matlamat muktamad membawa kepada kemusnahan negara Israel).

Mencebur Bidang Politik

[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1959, Moshe Dayan bersara daripada perkhidmatan tentera dan menceburi bidang politik. Moshe Dayan menyertai Parti Buruh (Mapai) pimpinan Ben Gurionyang merupakan pergerakan politik berhaluan kiri. Dalam tahun 1959, Moseh Dayan dilantik ke Knesset (Parlimen Israel). Moshe Dayan dilatik menjadi Menteri Pertanian oleh Ben Gurion dari tahun 1959 sehingga tahun 1964.

Dalam athun 1964, Moseh Dayan meletakkan jawatan Menteri Pertanian kerana perselisihan faham dengan Perdana Menteri baru Levi Eshkol. Moshe Dayan menyertai Ben Gurion untuk mengasaskan parti Rafi (Perikatan Pekerja-Pekerja Israel - Alliance of Israel's Workers). Dalam tahun 1965, Moshe Dayan menang kerusi Parlimen Knesset di atas tiket parti Rafi. Parti Rafi kemudiannya menyertai semula Parti Buruh.

Walaupun Perdana Menteri Levi Eshkol tidak sukakan Moshe Dayan secara peribadi, Levi Eshkol memerlukan pengaruh dan sokongan popular terhadap Moshe Dayan. Dalam tahun 1967, Moshe Dayan dilantik oleh Levi Eshkol menjadi Menteri Pertahanan supaya moral orang ramai dapat ditingkatkan dan membolehkan sokongan kepada parti pimpinannya bertambah dengan wujudnya satu kerajaan perpaduan.

Fail:Arik Sharon with Bandage Dayan.jpg
Dayan dan Ariel Sharon (kepala berbalut) Semasa Perang Yom Kippur

Meskipun Moshe Dayan tidak terlibat secara langsung dalam perancangan persediaan untuk Perang Enam Hari dalam bulan Jun 1967, perlantikannya sebagai Menteri Pertahanan Israel dikatakan faktor penyumbang yang membawa kepada kejayaan Angkatan Bersenjata Israel. Apabila pihak Syria mula membedil perkampungan Israel di Galilee, Moshe Dayan tanpa teragak-agak membuat keputusan untuk menyerang Syria.

Selepas perang, Moshe Dayan, yang bukannya jenis orang yang merendah diri, tanpa segan silu mendakwa bertanggungjawab secara langsung ke atas perancangan yang membawa kejayaan besar tersebut. Reputasi Moshe dayan sebagai seorang pemimpin yang berkesan melonjak naik dan mengukuhkan lain kerajaan pimpinan Levi Eshkol. Moshe Dayan kemudiannya bertanggungjawab menamatkan pertelingkahan dengan Syria apabila menguruskan gencatan senjata dengan pihak Syria, proses yang dibuat melalui Ketua Turus Pasukan Pemerhati PBB Jeneral Odd Bull.

Moshe Dayan kemudian mengetuai golongan fahaman kanan dalam Parti Buruh yang menentang sebarang pengunduran ke sempadan asal sebelum Perang Enam Hari. Moshe Dayan sendiri lebih menyukai “Sharm-al-Sheikh tanpa keamanan” berbanding dengan keamanan tanpa “Sharm-al-Sheikh” . Moshe Dayan bertukar prinsip ini pada kemudian hari (yang membolehkan beliau merundingkan keamanan dengan Mesir kelak).

Dalam temu ramah tahun 1976 dengan wartawan Israel Rami Tal, Moshe Dayan mendakwa bahawa 80 peratus daripada pertempuran di seberang perbatasan sebenarnya adalah disebabkan oleh provokasi oleh Israel dan bukannya disebabkan tindakan ganas Syria. Moshe Dayan berkata, “Saya silap kerana membenarkan penaklukan bukit Golan. Selaku Menteri Pertahanan, saya boleh mengarahkan penghentian penaklukan itu, kerana ketika itu Syria tidak mengancam Israel.” [1] [2]

peta menunjukkan pergerakan tentera di Bukit Golan Semasa Perang Yom Kippur
peta menunjukkan pergerakan tentera di Semenanjung Sinai Semasa Perang Yom Kippur
Sinai Fasa II

Setelah Golda Meir menjadi Perdana Menteri berikutan kematian Levi Eshkol, Moshe Dayan dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan. Moshe Dayan adalah penyandang jawatan itu semasa negara-negara Arab melancarkan serangan pada 6 Oktober 1973 yang mencetuskan Perang Yom Kippur. Perang Yom Kippur bermula dengan keadaan getir untuk Angkatan bersenjata Israel. Agensi perisikan Israel termasuk agensi perisikan tentera (yang diletakkan di bawah tanggungjawab Moshe Dayan gagal mengesan persiapan dan persediaan yang dibuat oleh negara-negara Arab sebelum perang meletus. Perisik tentera dapat mengesan pergerakan Ketumbukan Ketiga Tentera Mesir sebelum serangan dilancarkan tetapi membuat kesimpulan pergerakan itu hanyalah persediaan untuk permainan peperangan yang sudah terjadual. Tambahan pula, penganalisis Israel menyangkakan negara–negara tidak akan berperang dalam bulan Ramadan Al Mubarak. Sebagai pegawai tertinggi terlibat dengan perancangan tentera, Moshe Dayan perlu memikul sebahagian tanggungjawab yang menyebabkan Israel tidak bersedia untuk Perang Yom Kippur. Beberapa jam sebelum serangan dilancarkan oleh tentera Arab, Moshe Dayan masih enggan menggerakkan pasukan tentera Israel ke tahap siaga yang lebih tinggi dan bersedia menghadapi serangan oleh Tentera Mesir dan Tentera Syria. Dayan menganggapkan bahawa walaupun diserang, Israel akan dengan mudah dapat mengalahkan tentera Arab. Tambahan pula, Moshe Dayan enggan Israel dilihat sebagai pihak yang memulakan perbalahan (aggressor) kerana ini akan menyebabkan Israel kehilangan sokongan daripada Amerika Syarikat. (Amerika Syarikat memberikan sokongan ketenteraan kepada Israel melibatkan penghantaran senjata dan bekalan perang melalui satu program angkutan udara yang besar melalui Operasi Nickel Grass. Oleh sebab kekurangan stok, Amerika Syarikat membenarkan pelepasan stok perang mereka daripada simpanan di Jerman untuk penghantaran ke Israel. Sokongan ini adalah kunci yang membawa kemenangan kepada Israel.)
Selepas kekalahan terus pada dua hari yang pertama Perang Yom Kippur, Moshe Dayan berputus asa dan mahu bercerita mengenai kejatuhan Saumaah Ketiga dalam satu sidang akhbar tetapi dilarang keras oleh Golda Meir. Moshe Dayan juga bercerita secara terang-terangan mengenai penggunaan senjata kemusnahan meluas (weapons of mass destruction) untuk menghapuskan orang-orang Arab. (Ini menguatkan pegangan bahawa Israel mempunyai senjata nuklear mulai tahun 1970-an. Kehilangan sebuah bom nuklear oleh Israel menjadi premis jalan cerita “Clear And Present Danger” tulisan Tom Clancy).)

Moshe Dayan melihat kepada beberapa pilihan, termasuk pilihan ekstrim melibatkan pengunduran ke Segenting Mitleh di Sinai dan pengunduran sepenuhnya daripada Bukit Golan di Syria supaya pertempuran boleh diluaskan ke Jordan. Ini bertentangan dengan doktrin pertahanan Israel yang menyatakan bahawa peperangan hendaklah dibawa ke wilayah musuh secepat mungkin.
Panglima tertinggi Israel David Elazar membantah keras opsyen yang dikemukakan dan membuat pilihan baru. Tindakan Elazar nyata tepat, dan Israel berjaya melepasi barisan pertahanan Mesir untuk menyeberangi terusan Suez dan mengasingkan dan mengepung Ketumbukan ke-3 Tentera Mesir (Egyptian 3rd Army). Serangan balas di Syria membolehkan tentera Jordan dan Syria dipaksa berundur sehinggakan pasukan artileri Israel boleh membedil Damascus. Ini memaksa Syria bersetuju dengan tawaran gencatan senjata oleh Israel. Moshe Dayan berjaya mengawal semula dirinya dan mengarahkan peperangan sehingga membawa kemenangan besar.
Selepas Perang Yom Kippur, Suruhanjaya Agranat dibentuk untuk mengenal pasti kelemahan persediaan Israel menghadapi Perang Yom Kippur, dan mendapati Golda Meir dan Moshe Dayan tidak boleh disalahkan ke atas keadaan kesediaan Israel semasa perang meletus. Sebaliknya Suruhanjaya ini menuding jari kepada kumpulan pegawai-pegawai perisikan termasuk Shmuel Gonen. Pelepasan tanggungjawab ke atas Golda Meir dan Moshe Dayan diikuti dengan bantahan ramai yang akhirnya memaksa Golda Meir dan Moshe Dayan meletakkan jawatan.

Menteri Luar

[sunting | sunting sumber]
Moshe Dayan dilantik oleh Perdana Menteri Menachem Begin menjadi Menteri Luar

Menurut kenalan rapat beliau, Perang Yom Kippur cukup menekan jiwa Moshe Dayan. Selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan, Moshe Dayan mengambil sikap menghilangkan diri dari percaturan politik. Dalam tahun 1977, Moshe Dayan dilantik oleh Perdana Menteri Menachem Begin menjadi Menteri Luar, walaupun Begin adalah dari Parti Likud. Moshe Dayan yang banyak berubah daripada pandangan politik ultra kanannya menerima perlantikan itu, dan dilihat sebagai penderhaka oleh ahli-ahli Parti Buruh.

Sebagai Menteri Luar, Moshe Dayan menggunakan kepintaran ketenteraannya untuk mencari kedamaian di Timur Tengah. Tetapi dalam tahun 1980, Moshe Dayan menarik diri (bersama-sama Ezer Weizman) kerana berselisih faham dengan Begin mengenai sama ada wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel dilihat sebagai masalah dalaman Israel. Perjanjian Kem David termasuk peruntukan untuk perbincangan dengan pihak Palestin, tetapi Begin yang tidak sukakan cadangan itu tidak meletakkan Moshe Dayan bertanggungjawab untuk membincangkan perkara itu.

Alam tahun 1981, Moshe Dayan menubuhkan parti Telem yang memperjuangkan pemisahan daripada Tebing Barat dan Segenting Gaza. Parti Telem berjaya memenangi dua kerusi Knesset. Tetapi Moshe Dayan meninggal dunia di Tel Aviv tidak lama selepas kemenangan itu akibat serangan sakit jantung. Moshe Dayan dikebumikan di Nahalal di moshav di mana dia dibesarkan.

Moshe Dayan dilihat sebagai seroang yang rumit dan penuh kontroversi. Dia tidak mempunyai pendapat dan pandangan semudah Hitam ataupun putih. Dia tidak ramai kenalan rapat. Kepintarannya diiringi dengan pandangan sinis dan kurang kawalan diri (emosi). Ariel Sharon berkata bahawa Moshe Dayan “boleh bangun pagi dan mempunyai 100 buah idea. Daripadanya 95 idea itu berbahaya, 3 lagi adalah idea yang teruk tetapi dua idea yang baki itu cukup cemerlang”

Dayan menggabungkan ide pemasyarakatan kibbutznik dengan sikap pragmatisme dengan kecintaan mendalam kepada negara Israel dan fahaman Yahudi. Selepas menawan Baitulmaqdis, Moshe Dayan melihat pengikut fahaman Yahudi berduyun-duyun ke Masjid al-Aqsa. Moshe Dayan melihat Masjid al-Aqsa hanya sebagai kepentingan sejarah untuk oang Yahudi tetapi sebagai tempat suci orang-orang Islam, dan menyerahkan pengurusan Masjid al-Aqsa kepada badan wakaf.

Moshe Dayan juag seorang pengkaji amatur arkeologi. Dia mengumpulkan banyak artifak, selalunya dengan bantuan askar-askarnya. Selepas kematiannya, kumpulan artifaknya dibeli oleh kerajaan Israel dan dijadikan khazanah negara.

Semasa hayatnya, Moshe Dayan mengarang 4 buah buku, Diary of the Sinai Campaign (1966), Mappah Hadasha-Yahasim Aherim (1969) mengenai masalah selepas Perang Enam Hari, Moshe Dayan: Story of My Life (1976) dan buku Breakthrough: A Personal Account of the Egypt-Israel Peace Negotiations (1981).

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Israel and Syria: Correcting the Record", Stephen S. Rosenfeld, Washington Post, December 24, 1999.
  2. ^ "General's Words Shed a New Light on the Golan", Serge Schmemann, New York Times, May 11, 1997.
  • Amdur, Richard. Moshe Dayan (World Leaders Past and Present. 1989. Chelsea House Pub.
  • Dayan, Moshe. Moshe Dayan : Story of My Life . 1992. Da Capo Press
  • Lau-Lavie, Naftali. Moshe Dayan; A Biography. 1969. Dodd Mead.
  • Slater, Robert. Warrior Statesman : The Life of Moshe Dayan . 1991. St. Martins Press.
  • Teveth, Shabtai. Moshe Dayan, the Soldier, the Man, the Legend. 1973. Houghton Mifflin Co.