Mitzvah
Para penganut agama Yahudi berpegang kepada perintah[1] (Ibrani: מִצְוָה, rumi: mīṣvā[1] disebut [mit͡sˈva] muf., מִצְווֹת mīṣvōt disebut [mit͡sˈvot] jam.; bahasa Inggeris: mitzvah ) dari Tuhan yang mesti dilaksanakan sebagai kewajipan mereka. Peraturan agama yang dimaktubkan sebahagian besarnya terdiri daripada perbincangan tentang perintah-perintah ini. Menurut adat agama, terdapat 613 perintah sedemikian.
Selain makna utamanya, perkataan mitzvah juga bermaksud pahala daripada melaksanakan perintah-perintah tersebut. Oleh yang demikian, perkataan mitzvah juga bererti tindakan kebaikan individu yang selaras dengan syariat Yahudi. Ia merangkumi perasaan ikhlas dalam perbuatan baik itu dan bukan sahaja ditunaikan kerana hukum-hakam semata-mata, seperti diperintahkan dalam ayat "Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri" (Imamat 19:18).[2]
Bagi sesetengah mitzvah, sebabnya dinyatakan dalam Taurat. Dalam Talmud, teks dengan ajaran para rabai, sesetengah rabai membahaskan jika sebab peraturan-peraturan ini penting difahami atau tidak. Sesetengah percaya mengetahui sebabnya akan membantu orang ramai menunaikan mitzvah dengan lebih baik. Yang lain bimbang jika orang tahu sebabnya, mereka mungkin menumpukan pada sebab itu dan bukannya mengikut perintah itu sendiri.
Mitzvah Rabai
suntingMitzvah-mitzvah dalam Alkitab dipanggil mitzvot d'oraita "perintah-perintah Syariat (Taurat)" dalam Talmud. Rabai-rabai kemudian membuat lebih banyak peraturan, yang dipanggil undang-undang rabai mitzvot derabbanan, yang serupa dengan konsep fatwa dalam Islam. Jenis hukum-hakam rabai ialah takkanah dan gezeirah.
Rabai zaman pertengahan pernah membincangkan mengapa seorang Yahudi wajib menunaikan mitzvah rabai, kerana ia bukan diperintahkan oleh Tuhan tetapi oleh rabai. Menurut Maimonides, orang yang mengikut mitzvah rabai sebenarnya mengikut perintah Alkitab agar mematuhi keputusan pihak berkuasa agama Yahudi (Ulangan 17:11, Ulangan 32:7)[3] Menurut Nahmanides, kewajipan mematuhi matzvah rabai tidak ada disebut dalam Alkitab.[4]
Di samping itu, banyak peraturan khusus daripada Alkitab hanya difahami melalui tafsiran oleh rabai menggunakan Taurat Lisan (Misynah/Gemarah); contohnya, doa tiga kali sehari dalam mana-mana bahasa dan bacaan Syema (Ulangan 6:4-7) dua kali sehari dalam mana-mana bahasa, pengikatan tefillin dan melekatkan mezuzah (Ulangan 6:8-9), dan ucapan doa selepas makan (Ulangan 8:10).
Tujuh mitzvah rabai
suntingTujuh mitzvah penting yang diberikan oleh para rabai adalah seperti berikut:[5]
- Membaca selawat untuk setiap kenikmatan
- Basuh tangan sebelum makan roti
- Menyalakan lilin Sabat
- Membina zon khas (eruv) supaya orang ramai boleh membawa barang pada hari Sabat di tempat awam
- Membaca mazmur Hallel pada hari-hari suci
- Menyalakan lampu Hanukkah
- Membaca Kitab Ester pada raya Purim
Tujuh perintah yang dibuat oleh rabai ini dianggap sangat penting, seperti perintah daripada Alkitab. Sebelum menunaikan setiap perintah, selawat istimewa diucapkan ("Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah kami, Raja alam semesta, yang telah memerintahkan kami ..."). Dalam gematria—kod yang mana setiap huruf diberikan nombor yang tertentu—menambah tujuh perintah ini kepada 613 perintah dalam Alkitab menjadi 620, sepadan dengan nilai frasa Keter Torah ("Mahkota Taurat").[6]
Enam mitzvah tetap
suntingDaripada 613 Mitzvah yang disebut dalam Taurat, ada enam mitzvah yang Sefer ha-Chinuch menamakan mitzvah tetap, "Kita ada enam mitzvah yang kekal dan tetap, terpakai pada setiap masa, sepanjang hari dalam hidup kita".[7]
- Mengenal Tuhan, dan bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu.
- Tidak mempunyai tuhan di samping Tuhan
- Mengetahui keesaan Tuhan.
- Bertakwa kepada Tuhan.
- Mencintai Tuhan.
- Jangan mengejar nafsu hati dan menyeleweng kerana pandangan mata.
Mitzvah dan syariat Yahudi
suntingMenurut pandangan rabai, perintah biasanya terbahagi kepada dua kumpulan: perintah positif (kewajipan, mitzvot aseh [מצות עשה]) dan perintah negatif (larangan, mitzvot lo ta'aseh [מצות לא תעשה]).
Halakhah ialah peraturan-peraturan yang menerangkan cara mengikuti perintah dalam agama Yahudi. Ia datang daripada perbincangan dan perbahasan teks-teks Yahudi seperti Misynah dan Talmud. Peraturan ini membimbing cara orang Yahudi tradisional menjalani kehidupan mereka.
Lihat juga
sunting- Dharma (Hindu/Buddha/Sikh)
- Fardhu (Islam)
- Tujuh Hukum Nuh
- Tao (Cina)
- Kesukarelawanan
Rujukan
sunting- ^ a b "mitsvah". Leksikon. Alkitab SABDA. 2005. Dicapai pada 2024-10-20.
- ^ "Definition of MITZVAH". www.merriam-webster.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2019-12-17.
- ^ Sefer HaMitzvot, Shoresh 1; see also Shabbat 23a
- ^ Nahmanides, Hasagot to Sefer HaMitzvot
- ^ This list is first mentioned in Keter Torah by R' David Vital, and later in the Tanya.
- ^ Vital, Dovid bar Shlomo (1536). כתר תורה [Keser Torah] (dalam bahasa Ibrani). Istanbul. Dicapai pada January 15, 2013.
- ^ Sefer Hachinuch, pengenalan