KALAU kenyataan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi, hendak dipercayai dan media massa melaporkannya dengan tepat maka punca prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu adalah sabotaj...perbuatan khianat.
Abdullah dilaporkan berkata begitu dalam sidang akhbar selepas majlis penerangan untuk jentera penerangan parti dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara semalam (Ahad).
Bernama dan Malaysiakini memetik Abdullah sebagai berkata kerana perbuatan khianat dalam Umno sendiri parti itu mengalami kekalahan.
[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
Kekalahan? Betulkah Perdana Menteri berkata begitu? Kalau tidak silap saya, beberapa hari lalu media massa melaporkan beliau sebagai berkata Umno dan Barisan Nasional menang besar – lapan kerusi lagi dapat dua pertiga di Dewan Rakyat.
Malaysiakini memetik Abdullah sebagai berkata sabotaj oleh ahli sendiri adalah punca Umno “menderita kekalahan teruk.”
Bernama seterusnya melaporkan yang tindakan disiplin akan diambil ke atas ahli parti yang mensabotaj calon BN di 14 kawasan Parlimen yang gagal dipertahankan dan sekali gus menafikan BN kemenangan lebih dua-pertiga di Dewan Rakyat.
Abdullah berkata berdasarkan analisis parti, beberapa buah daripada 14 kerusi itu adalah kawasan putih (selamat) yang sepatutnya dimenangi BN.
Katanya BN juga kehilangan Kedah dan Perak akibat sabotaj dalaman di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri yang dikenal pasti selamat.
Media massa tidak pula menyebut sama ada Abdullah mengulas mengenai kekalahan BN di negeri kelahirannya sendiri, Pulau Pinang, dan di Selangor atau tidak.
"Jika tiada masalah ditimbulkan (oleh anggota Umno) di dalam negeri-negeri berkenaan, 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi DUN yang dikenal pasti selamat, kita sepatutnya menang lebih dua pertiga, tidak hilang Kedah dan Perak," katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengapa ada anggota sanggup mensabotaj calon parti sendiri sehingga mengakibatkan BN gagal memperoleh kemenangan dua-pertiga, Abdullah enggan mengulas lanjut.
Katanya dia tidak perlu menyatakan sebab-sebab ahli terbabit bertindak demikian pada masa ini, sebaliknya akan memberi maklumat yang diperlukan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno untuk tindakan sewajarnya.
Oleh sebab Perdana Menteri enggan mengulas mengapa ahli Umno mensabotaj calon parti mereka sendiri maka kita hanya mampu terus bertanya dan membuat andaian.
Misalnya, adakah mereka mensabotaj calon sendiri kerana:-
1. Marah atau tidak setuju atau kedua-duanya sekali dengan dasar, program, perwatakan dan perbuatan lepas cakap kepemimpinan Umno dan BN;
2. Tidak bersetuju dengan calon-calon yang diletakkan, khasnya calon pilih kasih, calon anak emas, calon payung terjun dan calon dari negeri lain;
3. Tidak puas hati kerana digugurkan atau kerana tidak dipilih menjadi calon;
4. Tidak puas hati dengan prestasi Pentadbiran Abdullah sejak empat tahun lalu;
5. Kelambatan menerima wang dan bahan-bahan kempen kerana peneraju Ibu Pejabat Umno sibuk berkempen sebab mereka juga menjadi calon; dan
6. Paling teruk apabila pembesar-pembesar Umno sendiri saling mensabotaj untuk memperkukuhkan kedudukan masing-masing, khasnya sebagai persiapan menghadapi pemilihan parti.
Bernama melaporkan yang tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli Umno yang mensabotaj calon Barisan Nasional (BN).
Menurut Bernama lagi, Perdana Menteri menyifatkan pihak-pihak yang menuduh menantu lelakinya, Khairy Jamaluddin, sebagai “orang yang menentukan segala-galanya" sebagai suka membuat tuduhan tanpa batasan dan bersikap terus menghentam.
Laman Web akhbar The Star pula melaporkan serangan Abdullah terhadap Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim kerana mengkritik kepemimpinannya.
Dia menuduh Dr Mahathir menyekat media massa daripada membuat laporan mengenai bekas Perdana Menteri Hussein Onn dan bertanggungjawab ke atas Operasi Lalang pada tahun 1987. Abdullah juga berkata masalah kehakiman bermula pada zaman Dr Mahathir.
Mengenai Tengku Razaleigh, Abdullah menasihatkan ahli Parlimen Gua Musang itu agar “mencerminkan” diri.
"Dialah yang asalnya menjadi punca Barisan (Nasional) kehilangan Kelantan,” kata Abdullah sambil menambah bahawa Tengku Razaleigh “tidak membuat apa-apa” untuk menawan semula negeri itu.
Mengenai Anwar, Abdullah berkata bekas Timbalan Perdana Menteri itu boleh menunggu sesuka hatinya untuk kembali berkuasa.
"Dia mungkin Perdana Menteri menanti (Prime Minister-in-waiting) tetapi saya adalah pemimpin hari ini,” katanya.
Abdullah juga menuduh Anwar cuba mengawal media massa ketika dia menjadi orang nombor dua negara.
Jelas Abdullah bukan lagi mengamalkan sikap "elegant silent" -- kebisuan yang indah. Apa kata Musa Hitam yang memberi label itu kepada beliau?
Dari Laman :A Kadir Jasin